Hari ini 20 Jun 09, saya dijemput untuk menyampaikan sebuah ceramah di Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBES) di USJ 5 Subang Jaya.
Pukul 9 pagi lagi, urusetia program telah menghubungi saya.
“Ustaz, jangan lupa ye program hari ini.”
“InsyaAllah, pukul berapa program kita mula?” Kata saya.
“Slot Ustaz jam 10.15 pagi”, jawab urusetia program ini.
Jam 9.30 pagi hujan turun dengan agak lebat di sekitar Subang Jaya. Saya dan beberapa orang sahabat sedang sarapan pagi. Saya merenung hujan yang turun dengan lebat ini.
“Hmm, dah lama saya tidak memerhatikan hujan pada waktu pagi. Alhamdulillah. Semoga setiap titisan yang turun, sebanyak itulah jugalah rahmat Allah yang diturunkan untuk umat manusia di sini, amin” bisik hati saya.
Jam 9.50 pagi, saya mula bergerak dari rumah. Saya sampai di USJ 5 Subang Jaya lebih kurang jam 10 pagi. Kali ini, saya pula yang menghubungi urusetia:-
“Assalamualaikum, program kita ok ye?” Tanya saya.
“Ok ustaz, tapi mungkin slot ustaz lambat sikit, sebab, pembentang pertama lambat mula” Jawab urusetia tersebut.
Saya memang dah mengagak, biasanya program seperti ini, akan lambat dari masa sebenar yang dijadualkan.
Saya sampai di Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBES) jam 10.10 pagi. Hujan masih lagi turun, tetapi tidak selebat setengah jam sebelumnya. Saya meletakkan kereta saya ditempat letak kereta di tengah-tengah kawasan sekolah ini.
Sekali lagi saya menghubungi urusetia:-
“Assalamualaikum, Alhamdulilah, saya dah sampai ni”
“Baik ustaz, sekarang saya akan ambil ustaz” kata urusetia ini.
15 minit telah berlalu, tidak ada seorang pun datang mengambil saya. Saya mengambil telifon dan menghubungi urusetia. Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi.
“Assalamualaikum, mmm, program di mana ye?”
“Ye ustaz, kami datang sekarang. Ustaz naik van putih kat tengah tu ye? Yang side mirror dia sedang bergerak tu
“Dik., side mirror saya tak bergerak, agaknya kamu maksudkan “wiper” kot, kalau wiper betullah, yang sedang bergerak”, Yang bersama saya semuanya tergelak.
Tak lama lepas itu datang seorang remaja lelaki bersama payung. Dia membawa saya ke tempat program.
Program hari ini di anjurkan oleh Persatuan Bekas Pelajar SAMBES. Tajuk yang saya bincangkan hari ini ialah “Matlamat Akidah Islamiah”.
Saya memulakan dengan menghuraikan maksud dua kalimah syahadah. Ini kerana, dari dua kalimah syahadah inilah, terbentuknya asas akidah Islamiah.
Orang Melayu kita menterjemahkan kalimah Lailahaillahllah, dengan maksud, tiada tuhan melainkan Allah. Sebenarnya makna Ilah di sini jauh lebih luas. 99 nama Allah itulah Ilah.
Jadi, Lailahaillahllah itu memberi makna:-
Tiada yang mengasihi melainkan Allah
Tiada yang memberi rezki melainkan Allah
Tiada yang membela melainkan Allah
Tiada yang menyelamatkan melainkan Allah
Tiada yang ditakuti melainkan Allah
dan sebagainya…
Orang putus asa di dalam hidup dia kerana dia lupa bahawa tiada yang membantu melainkan Allah.
Orang yang membuat maksiat di dalam hidupnya kerana dia lupa bahawa tiada yang benar-benar memerhatikan melainkan Allah
Orang yang risau mengenai rezkinya kerana dia lupa bahawa, tiada yang memberi rezki melainkan Allah.
Muhamadur Rasullullah pula memberi makna:-
Muhamad itu pesuruh Allah (Ali Imrah 144)
Muhamad itu penutup semua Rasul (al-Ahzab ayat 40)
Muhamad itu untuk seluruh manusia ( al-Anbiya 107)
Muhamad itu pembawa perkhabaran dari Allah yang perlu kita yakini (Muhamad 2)
Dan lain-lain lagi..
Sebagai penutupnya, setelah kita mengetahui makna dua kalimah Syahdah ini maka Allah menyatakan dalam al-Quran, bahawa ikutlah agama ini secara keseluruhannya, bukan sebahagian-sebahagian (al-Baqarah ayat 208)
Matlamat akidah Islamiah untuk kita mencari keredhaan Allah, agar selamat kita di dunia dan selamat kita di akhirat.
Kuliah ditamatkan pada waktu yang ditetapkan iaitu jam 12.20 tengah hari.
Apa pun, syabas saya ucapakan pada yang menganjurkan program pada hari ini. Semuda mereka sudah berfikir untuk mengadakan program untuk Islam. Satu hari nanti, semoga, ketika menjadi orang-orang besar dalam Negara, roh Islam itu terus subur dalam diri mereka dan mereka akan menganjurkan program Islam dalam skala yang lebih besar lagi, amin..
“Diari, Merakam Sejarah Mencatata Kenangan”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
20 Jun 09, jam 5.30 petang.
1 comment:
slm ustz,
anak bungsu sy belajar kt SAMBES
moga mereka jd antara yg terbest
amin..
Post a Comment