Saturday, June 13, 2009

al-Ijabah 8 - Syukur PadaMu Ilahi

Pejam celik, pejam celik, cuti sekolah dah hampir berlalu. Apa yang paling menyentuh saya kali ini ialah, setelah beberapa ketika mengusahakan, maka pada hari ini, Sabtu 13 Jun 09, bas untuk anak-anak yatim dan tahfiz dapat beroperasi.

Saya ingin kongsikan kisah pengangkutan anak-anak yatim dan tahfiz kita ke sekolah mereka.

Pada Disember 07, saya dan beberapa orang sahabat yang membantu mengangkut anak-anak kita ke sekolah, telah bermesyuarat mengenai pengangkutan. Ini kerana bagi tahun 2008, kemasukkan pelajar dan anak-anak yatim bertambah.

Sebelum ini mereka menaiki dua buah van dan dua buah kereta untuk ke sekolah. Van dan mula macam sadin. Penuh dan agak merbahaya.

Maka pada awal Januari, saya berbincang dengan sebuah syarikat bas. Kos pengangkutan adalah hampir RM 5000 termasuk pengangkutan untuk sembahyang Jumaat.

"Mahal tu Ustaz, kita mana ada duit nak bayar semua ni", kata salah seorang dari sahabat saya.

Saya merenung jauh. Dalam hati saya berbisik,

"Tuhan, tunjukkan aku jalan bagi perkara ini".

Saya menarik nafas panjang. Kemudian, dengan yakin saya katakana:-

"Tak apa, jika akhir bulan, kita tidak mampu bayar, maka tambang bas yang diberikan pada kita ni, mahal. Jika cukup untuk bayar, maknanya, ia tak mahal"

Semua yang hadir dalam mesyuarat ini diam, tanda bersetuju atau tak tahu apa yang nak dikatakan.

Saya pun tak tahu antara kedua itu, mana satu yang mereka fikirkan.

Bas mula beroperasi. Setiap dari awal bulan, saya mula mengumpul sedikit demi sedikit kewangan untuk menampung sewa bas yang dipersetujui. Setiap awal bulan, tidak lewat sehari, pengusaha bas akan menghubungi saya dan Alhamdulillah, kita dapat mengusahakannya.

Bulan pertama berlalu. Maknanya, bas ini tidak mahal. Ini kerana ia telah dicukupkan oleh Allah.

Kewangan dari Yayasan al-Ijabah tidak ada. Ia tidak mampu untuk menampung keperluan bas ini. Sahabat-sahabat dari pihak Yayasan juga tidak mengetahui operasi bas ini. Tetapi urusan bas satu keperluan. Ia mesti diuruskan. Sahabat-sahabat dan anak-anak murid terdekat membantu untuk mencukupkan bayaran setiap hujung bulan.

Pejam-celik, sudah setahun bas beroperasi. Disember 08. Kemasukkan anak yatim bertambah. Bas yang kami sewa juga sebenarnya telah lebih muatan dari yang sepatutnya.

Hujung bulan Januari 09, saya bersama beberapa orang anak murid menunaikan umrah. Di Mekah kami ada berbincang mengenai pengangkutan anak-anak yatim dan tahfiz ini.

Pada ketika itu, salah seorang dari mereka mencadangkan untuk kami membeli sahaja bas. Salah seorang mereka tahu, di mana ingin membeli bas dengan harga murah.

Pada bulan Febuari, urusan pembelian mula dibuat. Kewangan diusahakan dan dengan izin Allah, pada Mei 09, harga bas dapat dibayar. Permit perjalanan juga diusahakan dan pemandu dicari

Alhamdulillah, hari ini 13 Jun, bas yang diusahakan sejak awal Febuari membelah jalan dari Puchong ke Subang Jaya dan seterusnya ke Sekolah di Sunway.

Laluan telah dijelaskan kepada pemandu, dan lusa, hari Isnin 15 Jun 09. Buat pertama kalinya, anak-anak yatim dan tahfiz al-Ijabah akan menaiki bas mereka sendiri.

Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh yang membantu di dalam mengusahakan bas ini, sama ada yang mengusahakan kewangannya, yang memberi laluan, yang menyokong.

Sesungguhnya, yang mencukupkan adalah Allah. Kita hanya mengusahakannya. Semoga usaha yang dimaksimakan mengundang perhatian Ilahi. Kalau mahu tunggu semua dah cukup, baru nak usahakan sesuatu, maka sampai hari ini, Rumah Anak Yatim Dan Tahfiz al-Ijabah tidak akan wujud.

Semoga sedikit usaha ini mendapat keredhaan ilahi, amin..

“Mencari Kepulangan Yang Diredhai”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
13 Jun 09, jam 3.00 petang.

5 comments:

Anonymous said...

SAHABAT

Syukur Alhamdulillah, moga dipermudahkan Allah akan segala usaha dan ikhtiar.

naaziz said...

Salam Ya utaz, saya berminat nak derma, InsyAllah. bagaimanakah caranya.

Ustaz Amin said...

insyaAllah, nanti saya akan umumkan kemudian,

apa pun terima kasih kerana ingin sama berbakti

Shahabudeen Jalil said...

tahniah..

ustaz bagi no. fon orang yang patut dihubungi saja.. mudah untuk orang yang hendak sama2 berjuang menderma.

Hunny said...

Salam Ustaz,

Alhamdulillah.. Tercapai hasrat nak sediakan bas untuk anak-anak tu.. tahniah :)

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...