Thursday, February 4, 2010

Universiti Kehidupan 136 – Kenapa Iblis dan Jin Mengganggu?

“Ustaz, saya nampak perempuan berambut panjang di dalam bilik ini” kata seorang kakak yang bekerja malam ini.

“Selalu ada terutama kalau waktu bulan mengambang” kakak ini menambah.

Di bahagian yang lain,

“ Di sini ustaz, ada orang melihat sesuatu sedang main baling-baling”

Teringat saya pada cerita P.Ramli, “Aik, engkau main baling-baling mambang..”

Saya diajak lagi melawat sekitar kilang ini,

“Di tempat ini ustaz, ada pekerja Indon mati, dan sering pekerja di sini melihat bayangan seorang pekerja dengan memakai topi putih kontraktor, melambai-lambai mereka”

“Di sini pula, kadang-kala terdengar suara anak-anak menangis”

Saya ditunjukkan di satu ruang yang lain.

Beginilah kisah-kisah seram yang terdapat di Kilang Panasonic di Senai Johor ini.

Hari ini, 3 Febuari 2010, jam 9.30, selepas menyampaikan kuliah di Surau 2 di Panasonic di sini, saya diajak untuk melawat kawasan-kawasan kilang ini kerana akhir-akhir ini berbagai kisah misteri berlaku.

Apa yang boleh kita ulas dari kisah ini.

Mungkin ada di antara kita yang berkata:-

“Ahhh, perasaan aje kot, mana ada benda macam tu zaman moden ini….”

Mungkin ada di antara kita yang kurang percaya dengan cerita seperti di atas.

Apa kata al-Quran…

Di dalam al-Quran, Allah memang memberitahu kita mengenai kewujudan makhluk jin dan iblis ini, Mereka memang ada dan ada di kalangan mereka yang beriman dan ada di kalangan mereka yang kafir

(Rujuk surah al-Jin).

Mereka golongan yang diperintahkan Allah untuk beriman. Yang beriman akan beramal dan taat seperti kita dan yang kafir akan menurut langkah-langkah syaitan.

Mereka yang kafir dan jahat ini akan menjadi tentera syaitan untuk mengganggu manusia.

Persoalannya, kenapa jin kafir dan syaitan ini mengganggu seseorang? Kandang kala kita pelik, yang kena hysteria adalah di sekolah-sekolah agama, yang nampak dan kena rasuk adalah orang-orang Islam.

Kenapa dan Mengapa?

Sebenarnya, jin kafir dan syaitan ini, mereka mempunyai satu matlamat. Mereka merasuk bukannya sebab mereka saja-saja.

Matlamatnya ialah untuk menyesatkan dan mensyirikkan seseorang kita.

Jika berlaku kerasukkan, katakanlah kita memanggil seorang bomoh. Bomoh ini pun membuat upacaranya yang kadang-kala bertentangan dengan syarak. Di hujung upacara, bomoh memberikan tangkal dan azimat untuk diletakkan di sana dan sini.

Kemudian, kita lihat, keadaan menjadi baik, tak ada dah gangguan, tak ada lagi kerasukkan. Kita pun bukan main percaya lagi dengan tangkal yang diberikan.

Kenapa tidak ada lagi gangguan setelah kita meletakkan tangkal ini? Ini kerana, ketika kita mula mempercayai tangkal, maka iman kita telah rosak, kita telah syirik pada Allah.

Apabila iman kita rosak, maka matlamat syaitan untuk menyesatkan seseorang itu telah berjaya. Maka sudah tentu mereka tidak akan mengganggu lagi, mereka akan meninggalkan orang yang telah rosak imannya itu. Kenapa? Kerana, memang matlamat syaitan adalah untuk merosakkan akidah setiap anak Adam. Matlamat mereka telah berjaya.

Sebab itulah, jika berlaku gangguan jin dan iblis ini, cara menanganinya ialah dengan menggunakan al-Quran dan Hadis, lambat sikit tak apa, asalkan, akidah kita selamat dan jin serta iblis itu pasti binasa dengan keagungan Allah melalui kalam sucinya.

Kegerunan jin dan Iblis adalah kerana kita membacakan ayat-ayat mengagungkan Allah. Rasa mengagungkan Allah akan menyebabkan jin dan Iblis itu takut dan lari.

Sebab itu, jika kita lihat, ayat-ayat yang hebat di dalam al-Quran, semuanya adalah ayat-ayat Tauhid, iaitu ayat mengangungkan Allah.

Cuba lihat makna ayat Kursi, ayat seribu dinar dan sebagainya. Ayat-ayat itu adalah ayat mengagungkan Allah. Jika kita baca dengan perasaan mengagungkan Allah, maka Allah akan letakkan rasa gerun jin dan Iblis itu dan mereka akan lari meninggalkan kita.

Oleh yang demikian, jika terdapat ganguan, maka berubatlah dengan al-Quran. Antara ayat yang boleh kita amalkan ialah ayat kursi, dua ayat akhir surah al-Baqarah, 10 ayat pertama dari surah al-Kahfi.

Mudah-mudahan, Allah memelihara kita jika kita terus menjaga iman kita. Sesungguhnya, tiada segala-galanya di dunia ini melainkan datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad Abdullah

Skudai Johor

4 Febuari 2010 jam 8.00 pagi

IMG_6634

melawat sekitar Panasonic Senai Johor

IMG_6667

Sedikit ucapan agar terus mentauhidkan Allah

IMG_6710

Di bahagian yang lain

IMG_6715

tidak ada yang memudharatkan dan memberi manfaat melainkan semuanya dari Allah.

3 comments:

mr edz said...

saya setuju... masyarakat kita suka sangat jumpa bomoh.. satahu saya sesiapa yang pergi berjumpa bomoh(yg guna jin sbg pembantu) tidak diterima solatnya

Naz said...

Assalamualaikum ustaz Amin... ada 1 amalan org2 kita yg membawa lada hitam bertujuan utk mengelakkan ganguan syaitan terhadap bayi. adakah perbuatan ini dibolehkan atau tidak dlm Islam? terima kasih...

Anonymous said...

assalamualaikum

please do not called our name as 'indon' ..muslim not insult each other, it's better called indo or indonesia, those fair name for us.despite we working in your country we still have dignity
thanks

wassalam