Wednesday, February 24, 2010

Universiti Kehidupan 139 – “Pelajarilah Perkara Ini….”

Sebelum bertolak ke Korea ini, saya  bertemu dengan Saudara Kamil, Presiden Pelajar Malaysia di Korea ini. Beliau akan bersama di dalam beberapa program yang diatur di Korea ini.

Pada hari ketiga saya di sini, Saudara Kamil tidak mempunyai kesempatan untuk bersama saya. Dia meminta sahabatnya Hafizul untuk bersama saya.

Setelah beberapa urusan, kami pergi ke tempat sukan Ski, ada beberapa babak yang ingin diambil oleh Helmee. Beliau datang ke sini bersama saya untuk membuat beberapa pengambaran.

Tempat yang kami tuju ialah jalan ke Ildong, iaitu Bearstown yang terletak di Naechon. Ia lebih kurang hampir sejam perjalanan dari Seoul. Kami sampai ke tempat ini pada jam 2.30 petang.

Hafizul membawa kami ke sebuah kedai menyewa peralatan yang biasa disewa oleh orang Malaysia. Sewanya Sewa pakaian tebal ini ialah 20 Won bersamaan dengan RM60.

Saya diberikan pakaian tebal, dengan kasut khas terasa macam memakai pakaian angkasawan pula. Sampai di kaki bukit di Naechon ini, kami solat zuhur dahulu.

Hafizul mengajar kami cara meluncur.

“Ada dua perkara ustaz yang perlu tahu, pertama jangan jatuh, kalau jatuh kena ada caranya, kedua, bagaimana nak bangun kalau jatuh” kata Hafizul.

Memang susah sukan ini, tapi susah bukan kerana benda ini, tetapi kerana tidak biasa.

Apabila papan luncur ini tegak, ia akan terus meluncur tanpa brek. Memang beberapa kali jatuh.

Jika ingin memberhentikan papan, kaki kita hendaklah membuat seolah-olah huruf A

Sukan ini akan senang dikuasai jika seseorang itu mempunyai asas sukan yang berasaskan kaki seperti pernah bermain skate board, roller skate, atau kuda-kuda dalam seni mempertahankan diri.

“Hati-hati ustaz waktu nak bangun, kaki tu jangan sampai terlipat macam tu, boleh patah tu” kata Hafizul ketika mengajar saya bangun setelah jatuh.

Hari ini saya betul-betul belajar beberapa perkara. Bukan luncur sukan ski ini, bukan seronok melihat orang jatuh atau sakit kaki dan punggung ketika jatuh. Tapi ada dua perkara besar yang boleh dipelajari.

1. Jangan jatuh, jika terjatuh ada caranya, kaki tidak boleh terkepak dan ia boleh menyebabkan cedera.

2. Mempelajari kaedah untuk bangun ketika telah jatuh, kena ada cara yang betul untuk bangkit setelah jatuh, kalau tidak, kaki boleh terkepak dan juga boleh cedera.

Ketika membawa papan luncur dengan berpeluh walaupun di dalam suasan sejuk, saya berfikir sendirian.

Sebenarnya, prinsip sukan salji ini boleh diaplikasikan di dalam kehidupan.

Di dalam rumah tangga, kita kena jaga jangan sampai rumah tangga itu hancur dan pecah. Tetapi jika itu keadaan dan ketentuannya, bagaimanan ingin membina kebahagiaan kembali setelah di hancur. Bagaimana untuk tidak terus kecewa dan terus menyalahkan orang lain. Bagaimana untuk membina kembali keyakinan diri.

Di dalam perniagaan, kita hendaklah belajar untuk tidak gagal di dalam perniagaan, tetapi jika gagal, bagaimana ingin bangun kembali setelah jatuh. Bagaimana untuk tidak merasa malu berpindah dari rumah banglow ke rumah teres kecil ketika rumah banglow terpaksa dijual untuk menyelesaikan hutang.

Dalam kerjaya, disuruh agar kita terus maju di dalam kerjaya, tetapi jika gagal, bagaimana ingin membina kembali jatidiri. Bagaimana untuk tidak merasa rendah diri dan sentiasa murung kerana gagal di dalam kerjaya.

Dalam belajar, kita disuruh untuk belajar bersungguh-sungguh kemudian lulus dengan cemerlang, tetapi jika tidak cemeralng, apa yang harus dibuat? Adakah lari dari kawan-kawan? Murung menangis di dalam bilik? Atau bangkit kembali membina semula?

Ramai orang mempelajari bagaimana ingin berjaya, tetapi tidak ramai yang mempelajari bagaimana ingin bangun setelah jatuh.

Kedua-dua perkara ini sama penting di dalam hidup kita.

Kehebatan seseorang bukan sahaja kehandalannya di dalam membina, tetapi kehebatan seseorang termasuk kehandalannya di dalam membina kembali setelah jatuh.

Carilah contoh tokoh hebat di dunia ini. Semua mereka mempunyai kedua-dua kemampuan ini iaitu kemampuan membina dan kemampuan bangun ketika jatuh.

Semoga, walau siapa pun kita, kita mempunyai kedua-dua kemampuan ini, agar apa keadaan sekalipun, kita akan sentiasa tenang, sentiasa tabah dan sentiasa sabar menghadapi ujian-ujian hidup.

Firman Allah:-

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita. (surah al-Ahqaf ayat 13)

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

10 Rabul Awal 1431/ 24 Febuari 2010

Jam 10.12 malam

IMG_9407

Ada perkara yang dapat dipelajari dari sukan luncur salji ini

IMG_9435

Kemampuan bagun setelah jatuh sama penting dengan kemampuan membina

IMG_9520 

Walau siapa pun kita, semoga kita mempunyai kedua-dua kemampuan ini.

2 comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...