Saturday, February 6, 2010

Bicara Ilmu 11 – Apa Yang Ada Di Dalam Solat?

Rabu 3 Febuari 2010, jam 6.15 petang, saya kini berada di Panasonic Senai Johor. Majlis bersama warga Panasonic hari ini dimulakan dengan bacaan Yasin dan Tahlil ringkas. Selepas solat Maghrib berjemaah, kami bersama-sama di dalam majlis ilmu bertajuk “Solat”. Di sini inyaAllah, kita akan kongsikan isi penting mengenainya.

Untuk meningkatkan kualiti solat kita, kita perlu mengetahui apa yang ada pada solat. Bak kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Begitu juga solat, jika kita tidak mengenali apa itu solat, maka kita tidak akan mencintai solat.

Di dalam solat ada 5 perkara yang penting.

1. Di dalam solat ada memohon hidayah

Hidayah maknanya petunjuk. Di dalam solat, Allah letakkan permintaan hidayah di dalam surah al-Fatihah ayat ke 6. Petunjuk Allah pada jalan lurus ini bukan sahaja di dalam bidang keagamaan, tetapi seluruh jalan hidup kita.

Kita selalu berhadapan dengan persimpangan yang memerlukan kita memilih. Kandang-kala, kita sendiri tidak tahu mana yang terbaik untuk keputusan di dalam hidup kita ini.

Jadi, dengan mendirikan solat, kita selalu memohon agar Allah berikan kita panduan terbaik untuk kita membuat apa-apa keputusan di dalam hdup ini.

2. Di dalam solat terdapat rangkaian doa.

Allah letakkan lapan rangkaian doa di dalam duduk di antara dua sujud. Lapan doa itu ialah

Rabbighfirli, Warhamni, Wajburni, Warfa’ni, Warzuqni, Wahdini, Waafini, Wa’fuanni

Ya Allah, ampunakan aku, kasihanilah aku, cukupkan aku, angkatlah (darjat) aku, rezkikan aku, hidayahkan aku, sihatkan aku dan maafkanlah aku.

Jadi, semakin banyak kita bersolat semakin banyak kita berdoa pada Allah untuk kebaikan diri kita.

3. Dalam solat ada ucapan syahadah.

Ucapan syahadah ialah ucapan ikrar bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhamad itu pesuruh Allah.

Dengan bersolat bermakna, tiap hari kita akan memperbaharui ikrar kita ini. Sebab itu di dalam hadis, Nabi menyatakan bahawa:-

Sesungguhnya, pembeza seseorang dengan syirik dan kufur adalah meninggalkan sembahyang (HR Muslim)

Orang yang mendirikan solat sentiasa memperbahrui ikrar syahadahnya.

4. Di dalam solat ada ucapan selawat pada Nabi.

Kita semua maklum bahawa ucapan selawat adalah satu amalan yang Allah dan para Malikat juga bersama-sama melakukannya. Di suruh kita juga selalu berselawat pada Nabi hingga di dalam hadis Nabi menyatakan bahawa:-

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali”

Jika Allah sendiri telah mengucapkan selawat dan salam kepada kita, maka sudah tentu kita akan terlindung dari semua marabahya dan perkara yang tdiak baik.

5. Di dalam solat ada ingatan kepada Allah.

Memang itu pun tujuan solat. Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa:-

Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingat Aku (surah Taha ayat 14).

Jika kita lihat bacaan dan gerakkan sembahyang, kebanyakkannya menyatakan ingatan pada Allah. Ucapan takbir, bacaan fatihah, dan sebagainya.

Jika kita sering ingat Allah, maka janji Allah seperti di dalam al-Quran:-

(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (surah al-Ra’du ayat 28)

Kesimpulannhya, jika kita mengetahui apa ada pada solat ini, sudah tentu akan lahir rasa ghairah untuk melaksanakan ibadah ini. Kita tidak akan menjadikannya sebagai program sampingan ketika sibuk membeli belah, maka kita lambatkan ia, ketika sibuk melihat TV, kita lambatkan dan sebagainya.

Semoga dengan mengetahui apa ada pada solat, akan menyebabkan kita rasa lebih seronok untuk bersolat, semoga Allah rezkikan pada kita menjadi hambanya yang sentiasa mengingatinya.

“Ilmu Pelita Hati”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad Abdullah

21 Safar/ 6 Febuari 2010

Dalam perjalanan ke Penang Jam 7.30 pagi.

IMG_6511

Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan Tahlil Ringkas

IMG_6574

Selepas solat Maghrib berjemaah, kami sama-sama berkuliah

IMG_6591

Ada lima perkara penting yang Allah letakkan di dalam solat

IMG_6617

Kenangan bersama warga Panasonic Senai

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...