Friday, February 19, 2010

al-Ijabah 49 – Rehlah Santai

Cuti raya Cina kali ini terasa agak lama kala ini. Sebahagian besar anak-anak Ijabah pulang bercuti. Tapi ada yang masih tinggal.

“Apa program yang nak diatur untuk yang tinggal ni?” bisik hati saya.

Ahad 14 Febuari 2010, saya dan anak-anak Ijabah yang tidak pulang memenuhi jemputan bacaan Maulid di rumah Nurhani Salwa di Kuala Selangor sempena hari lahir ibunda beliau.

Tamat program malam ini, saya terus meminta anak-anak Ijabah bersiap-siap.

“Hah, malam ni, kalau larat kita pergi rehlah di Gunung Ledang. Kalau tak larat, esok pagi ajelah kita bertolak, tapi malam ni semua tidur kat rumah saya” kata saya pada anak-anak Ijabah.

Mereka semua senyum lebar, agaknya terbayang bermandian di air terjun.

Sampai di rumah saya agak lewat, lebih kurang jam 12.30 tengah malam.

“Esok ajelah kita bertolak ye” kata saya.

Isnin 15 Febuari jam 10.00 pagi, sebuah van dan dua kereta bertolak dari Putra Heights ke arah Selatan. Saya ditemani dengan 2 ustaz dari al-Ijabah.

Sesampai di Alor Gajah, salah satu kerata kami berasap-asap. Jalan jem hari ini menyebabkan kereta wira yang dinaiki meragam.

“takpa-takpa, ini semua ujian” saya menenangkan semua.

Setelah menempatkan kereta ini ke bengkel berdekatan dengan Plaza Tol, kami pun agak bersesak dan meneruskan perjalanan ke Gunung Ledang.

Sesampai di Gunung Ledang, MasyaAllah, punyalah ramai manusia….

Ada kereta yang diletakkan hingga lebih kurang dua km dari pintu masuk. Kami terus ke dalam dan mengatakan kami ingin berkhemah di sini malam ini.

Semua chalet malam ini penuh. Yang tinggal hanyalah Cabin besi yang memuatkan 5 orang. Satu Cabin sewanya RM 50 semalam.

Kami mengambil satu cabin dan membentangkan dua khemah besar.

Bukan main gembira lagi anak-anak Ijabah ini. Petang ini juga ada yang dah terus terjun…

Maghrib, kami semua solat di surau di kawasan perkhemahan ini. Saya memberikan kuliah kepada anak-anak Ijabah agar mereka sentiasa berpegang kepada agama dan memperbaiki akhlak.

“Ilmu sahaja tidak cukup untuk menjadikan kamu semua berjaya, ia perlu dipakejkan dengan akhlak, kalau tidak nanti, jadilah orang yang berilmu tapi sombong, rasuah, ambil hak orang, tipu harta orang” saya memberi penekanan pada anak-anak Ijabah.

Yang ada menganggukkan kepala. Semoga dapat difahami.

Selepas itu, kami keluar makan di Pekan Sagil.

Malam ini, kami semua tidur ditemani bunyi air terjun yang mengalir. Satu perkara yang mungkin susah nak percaya ialah, malam ini, kami aman dari nyamuk. Pelek juga ye..

Pagi-pagi lagi saya telah kejutkan yang ada untuk solat subuh. Pagi ini, kami solat di atas batu besar di Gunung Ledang. Siapa mengantuk alamat terus tergolek dekat air sejuk yang mengalir.

Selepas Subuh, berkuliah ringkas dan sarapan dengan roti yang dibeli. Kemudian anak-anak ini ada yang mula turun ke air terjun di sini.

Dari pagi sampai ke tengah hari, tak henti-henti mandi, anak-anak Ijabah ini. Tengah hari, kami bersiap-siap untuk pulang. Ujian kedua pula datang. Van yang kami naiki pula tak hidup. Nasib baik insuran MAA Takaful yang diambil ada menyediakan perkhidmatan tow truck.

“Ini tahun harimau tadak bagus la.. dia ngap dua kereta saya hooo..” kata saya bergurau dengan pomen kedai kereta yang tak bercuti ni.

Melihat keceriaan bersama anak-anak Ijabah, pomen ini terus bercerita,

“Bagus la awak, saya sukalah tengok cara hidup orang Islam, happy, adik saya pun Islam juga, sekarang kerja besar dekat Pencegahan Rasuah”, dia agak kagum dengan gaya hidup orang muslim.

Alhamdulillah, semoga dia juga dikurniakan hidayah.

Semua anak-anak Ijabah selamat sampai apabila saudara saya di Melaka meminjamkan vannya untuk membawa semua pulang.

Alhamdulillah, inilah ujian, kita diuji untuk kita merasakan manisnya nikmat. Jika tanpa ujian, kita akan kurang menghargai nikmat disekeliling kita.

Nikmat itu banyak bentuknya, ada yang nampak dan ada yang tersembunyi. Kalau kita tidak berterima kasih dengan yang nampak, jangan harap kita akan berterima kasih pada yang tersembunyi.

Akhirnya benarlah firman Allah di dalam surah Saba’ ayat 13:-

“Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih”

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Universiti Malaya Kuala Lumpur

Jumaat 5 Rabiul Awal 1431/ 18 Febuari 2010

IMG_8228

Ujian pertama, satu kereta sempot…

IMG_8244

Terima kaih abang PLUS

IMG_8298

Kereta ditarik dengan bengkel berdekatan

IMG_8348

Rehlah santai di Gunung Ledang

IMG_8354

Sama-sama diajar membahu sesuatu tugas

IMG_8427

Lepas maghrib, kena ada kuliah, manusia akan selalu ingat perkara yang sering diulang pada mereka

IMG_8469

Subuh dibatu besar, siapa mengantuk, alamat terjunlah ke sungai

IMG_8477

Solat Subuh berjemaah

IMG_8509

Sarapan pagi sebelum bermandian

IMG_8533

Kedamaian Gunung Ledang di waktu pagi

IMG_8824

Bersiap untuk pulang

IMG_8828

Ujian kedua, sebuah lagi sempot…

1 comment:

Unknown said...

acik jon belom sampai gunung ledang lagi

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...