Saturday, February 21, 2009

Tarbiah dan Dakwah 12 - Perantis Pewaris Nabi

Baru-baru ini, saya ada dihubungi dengan seseorang yang berfikir mengenai bab "Ulama Pewaris Nabi". Siapakah mereka dan apakah sifatnya. Dia seorang pelajar agama dan ingin tahu bagaimanakah yang dikatakan Ulama Pewaris Nabi itu. Kesempatan kali ini, kita akan bicarakan tajuk ini.

Di dalam pengajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, sifat yang wajib pada Nabi ialah :-

1. Siddiq (benar)
2. Amanah (jujur)
3. Tabligh (menyampaikan)
4. Fathanah (bijaksana)

Seorang Nabi merupakan seorang yang amat benar dari segi perlakuan dan percakapannya. Seorang Nabi juga perlu amanah di dalam menunaikan tanggungjawabnya dan juga bersifat Tabligh iaitu senitiasa menyampaikan, tidak menyembunyikan segala risalah dan juga Fatanah iaitu bijaksana di dalam merancang, meneliti dan menilai bagi menjayakan perjuangan tauhid.

Ketika kewafatan Nabi saw, maka tamatlah salsilah kenabian. Jika ada orang yang mengaku Nabi maka orang itu adalah pendusta.

Bagi memastikan risalah yang diturunkan oleh Allah ini berterusan, maka Nabi mengamanahkan penerusan risalah ini kepada para Ulama'. Dalam hal ini, Rasullullah saw bersabda bahawa :-

"Ulama itu pewaris Nabi"

Apabila disebut dengan Ulama itu pewaris Nabi, ia tidak bermakna satu perkara yang boleh dibanggakan oleh orang yang mempunyai ilmu agama. Ia merupakan satu amanah yang amat berat untuk dipikul di dalam memperbaiki masyarakat.

Jika ada para Nabi yang dibunuh, maka ulama perlu bersedia menghadapi kemungkinan ini. Jika ada Nabi yang difitnah, maka ulama perlu bersedia menghadapi perkara ini, jika ada para Nabi yang dibenci, dipukul, disakiti, diaibkan maka para pewaris Nabi perlu memahami, perkara ini juga mungkin akan berlaku kepada dirinya.

Para Nabi ada berbagai keadaanya sama seperti para ulama juga ada berbagai keadaanya.

Tidak semua Nabi yang menjadi pemimpin seperti mana tidak semua Nabi yang terhina dan terbunuh.

Nabi Musa dapat menggerakkan perjuangan menumbangkan kerajaan Firaun yang zalim, Nabi Daud dapat menggerakkan perjuangan mengalahkan Raja Jalut, Nabi Sulaiman dapat menggerakan perjuangan mengislamkan Ratu Balqis dan Nabi kita Muhammmad dapat menggerakkan perjuangan Islam ini hinggalah Rom dan Parsi jatuh ke tangan Islam.

Apa kelebihan yang ada pada Nabi yang berjuang dan mengubah dunia ini? Ia adalah sifat Fathanah (kebijaksanaannya).

Bagaimana ingin mendapatkan Fathanah (kebijaksanaa). Mari kita bincangkan.

Fathanah (bijaksana) ialah gabungan di antara cerdik dan pandai. Seseorang akan menjadi pandai jika dia banyak belajar. Semakin banyak dia belajar semakin pandai dia. Cerdik pula akan datang hasil interaksi seseorang dengan alam. Ia dipanggil pengalaman. Semakin banyak pengalaman seseorang itu semakin cerdik dia.

Sebab itu, ada orang yang pandai kerana tinggi pengajiannya tetapi tidak cerdik. Walaupun pandai tetapi tetap kena tipu, tetapi tidak mahir mengurus rumah tangga, perniagaan dan sebagainya. Ada orang yang darjah enam pun tak lulus, tetapi oleh kerana banyak pengalamannya dia menjadi cerdik di dalam menyelesaikan segala permasalahan hidup. Kadang kala, orang seperti ini leih menonjol dari orang yang pandai.

Bijaksana pula ialah gabungan di antara pandai dan cerdik. Seorang yang mempelajari ilmu dan sentiasa meningkatkan ilmunya dalam waktu yang sama mencari pengalaman dan sentiasa meningkatkannya. Jika kita perhatikan, di dalam al-Quran Allah ada menyuruh kita belajar dan juga ada ayat yang menyuruh kita berjalan untuk melihat agar dapat menimba pengalaman.

Tradisi ulama terdahulu mereka belajar dan terus belajar dan juga mereka mengembara dan berhubung langsung dengan masyarakat untuk meningkatkan pengalaman. .

Setelah kita tahu, bagaimana ingin mendapatkan bijaksana, kita bincangkan, apakah setinggi-tinggi kebijaksanaan.

Setinggi-tinggi kebijaksanaan ialah apabila kebijaksanaan itu dipimpin oleh Allah. Ketika itu, setiap apa yang dilakukannya akan sentiasa terkehadapan dan para musuhnya tidak dapat membaca segala pergerakkannya.

Kita lihat bagaimana Rasullullah membuka kota Mekah, kita lihat bagaimana Sultan Salahuddin al-Ayubi mengalahakan tentera salib dan cuba kita lihat sejarah bagaimana Sultan Muhamad al-Fateh menumbangkan kota Konstantinople. Semua ini hanya beberapa cebis sejarah dari jutaan yang ada. Selain dari perancangan yang luar biasa, ia sentiasa dibantu gerak hatinya oleh Allah. Nabi saw pernah bersabda

"takutlah kamu firasat orang mukmin, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah".

Berbalik kepada perbincangan kita, semua kita boleh mengusahakan kebijaksanaan, tetapi bagi orang agama yang ingin membahu perjuangan Nabi, merekalah satu golongan yang perlu lebih tekun meningkatkan diri.

Sesungguhnya, warisan perjuangan Nabi bukannya ringan. Ia perlu kepada Fathanah (kebijaksanaan) yang dibantu Allah. Ini kerana, di ketika umat semakin rosak, sepatutnya usaha memperbaiki perlu lebih hebat.

Jika Islam itu sifatnya global, maka dakwah juga perlu bersifat demikian. Mari sama-sama kita membahu perjuangan Nabi. Sekurang-kurangnya, jika kita tidak mampu buat semua, kita tidak meninggalkan semuanya.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...