Thursday, February 26, 2009

al-Ijabah 6 - Harapan Yang Tertunai

25 Febuari 09, jam 12 tengah hari, selepas pengajian hadith bersanad di Yayasan Restu, saya dan beberapa orang anak murid, pergi ke rumah Abg Rosli dan Kak Safiah. Kak Safiah yang memang gemar memasak menghidangkan nasi Arab kepada kami.

Hari ini merupakan hari yang mengharukan bagi saya. Ini kerana cita-cita untuk memiliki bas bagi rumah al-ijabah hampir dikabulkan. Hasil usaha sahabat-sahabat seperjuangan, hari ini kami dapat membayar bas yang kami tempah. Ada sedikit baki insyaAllah akan diusahakan kemudian.

"kita tidak mampu untuk berbuat kerja yang besar-besar, mudahan sedikit usaha yang kita buat hari ini mengundang redah Allah"

Sedikit cita-cita yang tersemat adalah, untuk mendidik anak-anak ini agar berjaya seperti mana orang yang ada ayah. Bagi anak-anak tahfiz, semoga mereka menjadi ahli agama di dalam berbagai bidang.

Alhamdulillah, sebelum saya berangkat ke Rusia, urusan bas ini dipermudahkan Allah.

Pengalaman saya ketika menziarahi Pusat pengajian Darul Mustafa di Hadramaut Yaman pada 2005, pengasasnya Habib Umar bin Hafiz berpesan agar hendaklah sentiasa menjaga keberkatan di dalam hidup, ia akan menjadikan hidup kita sentiasa dibantu Allah.

Menyentuh pengalaman beliau ketika mengasaskan Darul Mustafa, ia dipenuhi dengan ujian dan dugaan. Kekangan kemampuan menyebabkan sering pengasasnya hanya makan, baki dari makanan anak-anak didiknya.

Pernah satu ketika pada musim sejuk, anak muridnya mengetuk rumah Habib Umar dan meminta selimut. Habib memberinya selimut. Kemudian, sekali lagi anak muridnya mengetuk rumah Habib untuk meminta selimut. Di berikan lagi selimut cuma kali ini selimut kedua agak berbau hancing.

Keesokkan paginya barulah anak muridnya tahu bahawa selimut pertama adalah selimut Habib sendiri dan selimut kedua adalah selimut anaknya. Pada malam tersebut, anaknya tidur di dalam pelukkan Habib bagi menahan kesejukkan.

Saya teringat, pada awal peringkat awal al-Ijabah, saya hanya menjaga 6 orang dan mereka duduk di rumah masing-masing. Kita hanya menjaga keperluannya untuk persekolahan mereka.

Habib Umar orang pertama yang mencadangkan pada saya untuk mengambil rumah dan mendudukkan anak-anak ini berdekatan dengan saya.

Pada ketika itu, saya berkata padanya, "saya tidak mempunyai kemampuan tuan".

Habib menjawab, "kamu kena dudukkan anak-anak ini dekat dengan kamu, saya akan doakan, insyaAllah, Allah yang akan mencukupkan".

Sebelum pulang, Habib memberikan saya beberapa kitab, memakaikan saya serban, mengijazahkan beberapa wirid serta mendoakan agar segala usaha dibantu Allah. Saya mencium tangannya dan memeluknya.

Sebelum saya berangkat pulang, Habib berpesan, "didik mereka cintakan Allah dan Rasul, bacakan pada mereka kitab sirah Nabi dan selawat-selawat".

"InsyaAllah, saya usahakan", kata saya

Sekembalinya saya dari Hadramaut Yaman, saya telah mendapat sebuah rumah untuk disewa. Anak-anak ini mula saya dudukkan berhampiran dengan saya dan selain dari bersekolah, mereka akan diberi kuliah-kuliah.

Semakin hari semakin ramai. Bermula tahun 2007, kita mula mengambil anak Yatim perempuan, bilangannya semakin ramai dan sekarang telah ada tiga buah rumah.

Setelah berlalu beberapa ketika ini, kita memerlukan kenderaan sendiri dan pada hari semalam, ia telah mula dapat dibayar.

Ketika saya menyerahkan cek untuk urusan bas ini, saya terimbau kata Habib Umar,

"kamu kena dudukkan anak-anak ini dekat dengan kamu, saya akan doakan, insyaAllah, Allah yang akan mencukupkan".

Ijabah milik semua, ia milik sesiapa sahaja yang ingin sama-sama berbakti.

Penyerahan cek untuk pembelian bas
Sama-sama menyatakan kesyukuran pada Allah di atas bantuan yang diberikan
Di sinilah ia bermula. Habib Umar pada hari akhir saya bertamu dirumah. Pesanannya agar membela anak Yatim dan orang susah serta mendidik masyarakat.
Habib memberikan saya kitab-kitab dan berpesan untuk menjaga anak-anak Yatim dengan baik.
Beliau memakaikan saya serban agar saya selalu ingat perjuangan menjaga agama.

7 comments:

Hunny said...

Salam ustaz,

Wah! bolehlah ramai2 gi umah saya 6.3.09 ni naik bas baru.. huhuu.. syoknyer! Saya tumpang gembira dengan anak2 yatim ini. Boleh tumpang bas?

pantun untuk semua:

Ada lori ada bas,
Semua yang baik hati pasti Allah balas..
Amin..

Azri said...

Salam Ustaz,

Memanglah kita mesti hormat ulamak. Tetapi kekadang tu macam iras iras hindu ke keristian ke yang ...kena jumpa sami, pope untuk dapat doa mustajab.

Ulamak tu tak ape pun tapi yg anak murid ni ditakuti over pulak. Ana bukan maksud ustaz lah tapi kalau habib ni datang berebut lah nak suruh pakaikan serban...penat pak habib nih. Zaman dulu tak ada simpan gambar ke lukisan tapi zaman sekarang siap ada potrait murshidnya. Kena hati hati bab ni. Pakaikan serban ni sunah ke ustaz ?

Ustaz Amin said...

Kena hati-hati dan minta pimpinan dari Allah.

selalu rasa bersalah di hadapan Allah lebih baik dari kita sentiasa merasa betul. Kesalahan itu ada yang nampak dan ada yang tersembunyi.

Menjadi tawadhuk lebih payah dari menjadi sombong. Kita hanya perlukan sesaat untuk mendabik dada, tetapi belum tentu setahun itu sudah cukup untuk menjadikan kita seorang yang tawadhuk.

Saya perlu terus berkelana,untuk mendidik diri ini. Bagi anda yang mungkin telah memperolehinya, syabas saya ucapkan.

Sama-sama kita doa agar Allah membimbing kita.

Jawaban yang tuan tanya, saya rasa ada di dalam artikel saya "Jom Kongsi Pengalaman 2 - Yaman" pada 23 September 2008.

Jika masih ada pertanyaan bolehlah diajukan lagi.

Azri said...

Salam ustaz,

lebih dulu asif, minta maaf ni soalan sensitif sikit. tapi perlu. ada yang tanya ustaz bukan kakitangan universiti malaya. tapi macam mana pulak ustaz jadi wakilnya ke rusia tu..kenapa bukan staff univeristi. Tolong jelaskan.

Azri said...

Salam Ustaz,

Ana kurang faham apa yang tersirat dlm komen ustaz diatas.Adakah ia satu teguran untuk ana , kalau ya adakan komen ana itu menyombong diri? Tak dak lah. Ana mengaji pun tak habis apa lak nak menyombong nya.

Ana suka baca blog ustaz ni mungkin salah satu sebabnya ia tak complicated. Ada blog yang panjang berjela dan pening kepala nak di faham kan. Jadi bila dapat baca yang senang boleh lah berinteraksi sikit. Ana terpangil utk beri komen kalau ana setuju atau pun tidak. Dah di beri peluang utk komen kan.


Ustaz tulis "Saya perlu terus berkelana,untuk mendidik diri ini."
Kenapa perlu berkelana meninggalkan anak bini dirumah lama lama. Adakah mereka yang kurang mampu duduk di kampung macam di puchong ni tak leh didik diri untuk jadi orang yg bertakwa dikasihi Allah. Adakan orang yg cacat tak boleh berjalan tak leh didik dirinya. Adakah sijil sijil, degree, master, PHD ukuran nya.
Mumkin ana tak faham hasrat ustaz. Memahami hasrat ni memang ana selalu fail sebab otak dah program macam robot - yes or no aje.
Tulisan ustaz dibaca ramai orang yang berbagai background dan kalau penyampaian nya terlalu high level takut disalah ertikan. Jangan lupa ramai yg tak belajar sastera macam ana masa sekolah..baca kartun MAD ade le. Jelaskan lah.

Ustaz Amin said...

Allah jadikan manusia ini tidak sama. Ada orang makan sikit dah kenyang. Ada orang, makan banyak pun tak kenyang-kenyang.

Begitu juga proses mendidik diri. Setiap orang tak sama pendekatannya. Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad melalui proses berfikir dan bertafakkur baru kemudian Allah turunkan wahyu. Nabi Isa sedari kecil sudah diturunkan wahyu.

Imam Ghazali setelah menjadi alim masih terus beruzlah di Baitul Maqdis dan kemudiannya ke Masjid Umawi.

Imam Malik hanya duduk di Madinah.

Imam as-Syafie hingga akhir hayat terus menerus mengembara.

Melihat di atas, Allah tidak menjadikan manusia itu sama antara satu sama lain.

Yang penting kita berdoa untuk meningkatkan diri, nanti Allah akan permudahkan jalan kita.

Semoga saya, Azri dan semua pembaca terus meningkatkan diri. Yang penting, kita sama-sama berusaha menjadi hambaNya yang baik.

Segala teguran saya hargai, tidak semua usaha yang telah kita maksimakan hasilnya terbaik. Teruskan menegur. Semoga Allah menjadikan saya, Azri dan pembaca orang yang sentiasa memperbaiki diri hasil teguran orang lain.

Nik Firdaus said...

MasyaAllah..beruntungnya ustaz dpt brjumpa dgn al-alamah al-musnid al-habib umar bin muhammad bin salim bin hafidz..sya teringin sngt2 brjumpa dgn beliau dn menjdi ank murid beliau..:)mhon doa ustaz spya sya dpt brjmpa dn mnjadi ank murid beliau..:)

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...