Sunday, February 22, 2009

Diari 32 - Forum Sihat di Kerinchi

Hari ini, Sabtu 21 Febuari 09, saya menghadiri Forum di PPR Kerinchi Lembah Pantai. Anjuran JKP Kebajikan & Masyarakat Kolej ke Enam Universiti Malaya.

Forum yang sepatutnya mula pada pukul 9 malam dianjak hingga ke 9.40. Ini kerana pada malam ini hujan lebat dan padang tempat sepatutnya forum disempurnakan dipenuhi air. Jadi, ia terpaksa dipindahkan ke tepi kawasan jalan tempat kediaman.

Malam ini Forum bertajuk "Sihat Rohani, Jasmani dan Mental. Secara keseluruhannya, Forum ini membincangkan bahawa sihat bukan sahaja sihat badan, tetapi perlu juga sihat rohani. Ini kerana jika seorang itu hanya sihat badan tetapi tidak sihat rohani, ia menjadikan kehidupan ini juga pincang.

Orang yang sakit jantung tidak akan membunuh orang lain. Tetapi orang yang mempunyai hasad dengki boleh membunuh orang lain.

Selain itu, di dalam forum ini, saya membincangkan bahawa, sakit hanyalah rencam kehidupan. Ia tidak membawa kematian. Kita mati apabila tempoh hidup kita telah habis. Ia seperti lampu minyak. Apabila minyak telah habis, maka lampu akan padam dengan sendirinya. Jadi, kita tidak perlu takut pada sakit. Yang kita perlu risau ialah persediaan kita untuk ke akhirat.

Menyentuh mengenai usaha menjaga kesihatan, ia adalah perintah dari Allah dan Rasul. Usaha kita menjaga itu diberi pahala padahal, sihat dan sakit itu adalah anugerah dari Allah.

Kita jangan persoalkan hak Allah yang ingin memberikan sihat atau sakit pada kita. Yang disuruh kita perhatikan ialah usaha kita menjaga kesihatan itu. Semakin kita berusaha mematuhi Allah di dalam meningkatkan usaha, semakin ia akan mengundang keredhaanNya.

Sahabat ahli panel saya malam ini ialah Ustaz Mohd Roslan Mohd Nor dari Akademi Islam. Antara kupasan menarik beliau ialah mengenai hubungan solat dengan kesihatan. Dengan mengetahui solat boleh mencegah dan mengubati penyakit, kita akan merasakan berharganya anugerah solat itu kepada kita.
Saya senang dengan Ustaz Roslan ini. Oleh kerana dia dari Universiti, jadi dia faham akan perjalanan forum. Ada sesetengah ustaz yang semangat nak bercakap, hinggakan forum jadi macam ceramah. Setiap pusingan dia seorang sampai 40 hingga 50 minit. Saya pernah berforum dengan seorang Ustaz yang mungkin kurang mahir di dalam berforum, pengerusinya pun tidak menjadi penjaga masa yang baik, akhirnya, ia berakhir pukul satu lebih. Penonton sampai tersengguk-senggguk mendengar. Tapi berforum dengan orang melayu, walaupun tersengguk, tetap setia mendengar. Kalau di negara Arab saya rasa tinggal ahli Panel sahaja yang bercakap.
Saya teringat satu kisah pembentangan satu kertas kerja. Seorang pembentang, sangat lama memberikan hujahnya hingga hanya tinggal beberapa orang sahaja di dalam dewan. Setelah habis membentang, dia turun dari pentas, dan bersalaman dengan hadirin yang tinggal dengan berkata, "terima kasih kerana mendengar ucapan saya hingga akhir". Salah seorang dari hadirin pula berkata, "terima kasih kerana menghabiskan ucapan awak, sebab lepas ini, giliran saya pula naik ke pentas dan membentang kertas kerja". Rupanya yang tinggal hanyalah pembentang seterusnya.
Seni forum berbeza dengan seni berpidato maupun syarahan. Soal masa amat perlu di jaga. Seorang ahli panel hanya boleh bercakap di dalam lingkungan 10-15 sahaja. Jika nak bercakap lebih panjang, forum bukan tempatnya. Ia perlu disampaikan di pentas syarahan atau pidato.

Kesimpulan dari forum ini ialah sakit dan sihat itu dari Allah. Yang kita disuruh jaga ialah usaha kita. Hendaklah kita meningkatkan kesihatan sama ada badan, akal dan hati. Semoga dengan kesihatan, semakin banyak ibadah yang boleh dilakukan.
Forum dimulakan dengan laungan Asma al-Husna. Semua ahli panel dan penonton berdiri melaungkan bersama-sama.
Selepas itu, ia disulami dengan nasyid yang disampaikan oleh kaum ibu penduduk di sini.
Forum ini membincangkan mengenai kesihatan. Ia anjuran Kolej Ibnu Sina Universiti Malaya iaitu kolej untuk para pelajar perubatan Universiti Malaya.
Ahli panel pertama ialah Ustaz Mohd Roslan Mohd Nor dan ia dipengerusikan oleh Sharul Hafiz Ali, pelajar perubatan Universiti Malaya.
Di akhir forum, para pendengar disajikan dengan nasyid dari Muadz. Nasyidnya bagus, ada identiti tersendiri iaitu liriknya dari hadith-hadith Nabi.
Syabas dan tahniah pada penganjur. Walaupun hujan, tetapi majlis forum dapat disempurnakan dengan baik.

1 comment:

Hunny said...

Salam,

Lagu syurga untuk ustaz,

Hidup ini bagai lampu dinding,
Yang dinyalakan di malam hari
Apabila minyak sudah kering
Iakan pasti padam sendiri..

Nyanyian Hijjaz.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...