Tuesday, February 17, 2009

Tarbiah dan Dakwah 11 - ia mudah jika dipermudahkan Allah

Alhamdulillah, saya selamat sampai ke tanah air jam 2.45 petang. Sesampainya saya di rumah, saya terus bersiap-siap ke ofis di Shah Alam melihat beberapa urusan yang mungkin tertangguh sepeninggalan saya ke Guang Zhou China.

Malam ini, insyaAllah saya akan mengadakan pertemuan dengan sahabat dari Yayasan al-Ijabah untuk membincangkan perjalanan anak-anak yatim al-Ijabah, pembelian bas dan sebagainya.

Seminggu saya tiada, kebetulan banyak perkara yang berlaku di rumah al-Ijabah, dengan seorang yang patah jari kerana main bola, yang bergaduh berasal dari gurauan yang lebih dan sebagainya.

“Hmm.. anak-anak yang disayangi, besar sungguh perhatian yang perlu diberikan pada kalian ni.. semoga kalin semua menjadi orang hebat satu hari nanti,” amin..

Ramai orang yang mengatakan bahawa beruntung orang yang menjaga anak yatim, ini kerana Nabi saw telah bersabda,

“aku dan penjaga anak yatim begini di syurga, sambil baginda menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya”.

Nampak hadith ini seakan memberitahu kita akan peluang yang mudah ke syurga. Tetapi, apabila kita menemui hadith-hadith mengenai peluang masuk ke syurga, fahamilah bahawa, di sebalik galakan itu, ia juga memberitahu kita bahawa cabarannya sangat besar, ujian hebat dan badainya menggulung.

Syurga tidak semudah yang kita sangkakan. Kalaulah bukan dengan bimbingan dan rahmat dari Allah, amat payah untuk kita ke sana.

Berbalik dengan penjagaan anak yatim, ia berkaitan dengan lima perkara:-

1. anak itu sendiri
Biasanya, anak-anak yatim adalah golongan yang kurang perhatian. Mereka agak nakal. Ini kerana mereka tidak ada ayah dan penjagalah yang mengambil tugas sebagai ayah. Sebagai ayah, kita kena fikirkan bagaimana mereka boleh Berjaya di dunia dan di akhirat. Kita kena fikirkan bagaimana akhlak dan sikap mereka. Jika mereka nakal, macam mana hendak didik mereka. Ini cabaran yang besar untuk anak-anak ini.

Ramai orang boleh ambil anak yatim, bawa ke KFC,makan dan hantar balik, tetapi tidak ramai yang sanggup duduk bersama mereka, makan bersama mereka dan didik mereka secara langsung.

Kaedah yang saya gunakan untuk anak-anak al-Ijabah ialah dengan mengaturkan mereka menghafal al-Quran, hadith dan selalu membaca selawat dan nazam-nazam mengenai Nabi.

Dengan keberkatan al-Quran dan Selawat serta bantuan dari Allah, biasanya, anak-anak kita di al-Ijabah lebih lembut dan mahu mendengar arahan para guru dan penjaga di sini.

2. waris anak
Ada waris yang seperti mahu buang anak ini, ada yang terlalu tinggi harapan, ada yang hanya ingin mencari salah dan sebagainya. Para waris kadang-kala lupa bahawa kita hanya membantu anak-anak ini. Peranan waris juga perlu membantu. Bukan ditinggalkannya anak ini begitu sahaja.

3. masyarakat
Ada masyarakat yang membantu, ada yang mencebek, ada yang memandang rendah usaha ini, dan ada yang memandang serong. Sebab itu, yang mengurus, jangan terlalu sensitif kerana takut orang kata. Antara ciri orang beriman, Allah menyatakan

“dan mereka tidak takut celaan orang yang mencela”.

Kehinaan tidak datang dari manusia seperti mana kemuliaan tidak datang dari mereka. Ia dari Allah.

Saya biasa denga sindiran yang tajam dalam hal ini. Dan yang aneh, sindiran ini biasanya datang dari orang yang tidak membantu, orang yang berusaha apa-apa. Yang sama-sama membantu biasanya akan terus membantu walaupun orang tidak tahu. Ini kerana, mereka faham, yang memuliakan bukan dari manusia, tetapi Allah.

4. Kemampuan
Kita tidak mampu untuk menguruskan semua keperluan mereka tetapi yakinlah bahawa, yang mencukupkan mereka bukan kita, tetapi Allah. Allah sebut di dalam al-Quran:-

“Tidakkah dia mendapati engkau yatim maka dia mencukupkan” surah ad-Dhuha ayat 6

Kita sebagai pengurus sahaja, tetapi keperluan dari Allah. Kita cuma tolong usahakan. Itu sebabnya kadang-kala saya rasa hairan, Allah cukupkan itu dengan berbagai cara yang tidak disangka-sangka.

Sebagai contoh, bayaran bas untuk anak-anak al-Ijabah ialah RM 4500 sebulan, setakat ini, tidak ada sebulan pun yang tersangkut, sampai masa boleh dibayarkan. Itu belum keperluan-keperluan yang lain.

5. Diri sendiri.
Ini yang paling payah, menyayangi orang lain yang kita tidak mempunyai kepentingan kepadanya. Mengorbankan harta, masa dan diri untuk orang yang kita tidak mengharapkan apa-apa balasan dari mereka.

Ramai orang yang boleh jaga anak yatim, tetapi menyayangi tidak semua yang mampu. Tidak ramai orang yang boleh menangis kerana melihat akhlak mereka teruk dan pelajaran mereka teruk. Ini yang paling susah.

Jadi, jika Nabi bersabda,

“aku dan penjaga anak yatim begini di syurga, sambil baginda menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya”.

Ia juga bermakna, ketahuilah bahawa, ujiannya juga besar, kerana perkara yang berkaitan dengan syurga memerlukan pengorbanan yang besar.

Tetapi, walau sebesar mana ujian, ia akan jadi mudah jika dipermudahkan oleh Allah…

6 comments:

Azri said...

Salam Ustaz,

Ana doakan ustaz dan mereka yg menguruskan Ijabah tabah dan tak putus asa. Kalau ada apa apa bantuan di perlukan beritau lah . insyaAllah

Hunny said...

Salam Azri,

Rupanya anta boleh juga bagi komen baik2. Berbeza betul komen u dalam blog I. Tak ada pulak nak doakan kita, padahal objektif kitorang sama jer, kebajikan untuk orang Islam juga. Ini tak adil. Nak jadi pemimpin kenalah adil.Lebih baik kalau dapat bekerjasama. Barulah mudah dan dipermudahkan Allah. Amacam?

Azri said...

Waalaikumsalam ustazah.
mukaddimah blog anti kan berpesan pesan. itu lah yang ana dah buat. ana tolong pesan mana yang tak betul.kuman di seberang nampak ! komen ana tak baik ke ustazah?

ana doakan anti bahagia selalu dan segera dapat suami yg beriman. tapi jangan goda ustaz amin tau. dia nak pergi belajar tu !

Hunny said...

Salam Azri,

Wah! dalam sopan ada gak kurangnya.. Tetiba plak ana goda Ustaz Amin. Fitnah ni. Ini soal maruah dan harga diri saya. Ini dah lebih.. Menjaga maruah adalah salah satu maksud syariah. Kalau ikut undang-undang Syariah, boleh kena dakwa atas kesalahan qazaf, kerana memfitnah wanita Muslim, tanpa mendatangkan saksi. Orang kata, kerana mulut badan binasa.. hati2 dengan tulisan anta, dan beradablah dalam perkataan anta, supaya tidak ada maruah yang tercemar dan tercalar disebabkan penulisan anta.

Azri said...

Salam ustazah.

Maaf lah kalau tersinggung. Ana gurau aje. Ana tak kat anti dah goda. Ana kata jangan goda. Macam kata..jangan merokok tak bermaksud kita tuduh dia dah merokok. Ana pun boleh jadi loyar juge..loyar buruk je. Sorry lah ye kalau ana kurang sopan ..tak perasan tu...

Hunny said...

Salam Azri,

Saya maafkan. Tapi peringatan, jangan diulang lagi. Manusia akhir zaman ni, suka sangat sebarkan gossip, yang belum tentu benar.Gurau, gurau juga, tapi ada batasnya.. Wallahua'lam. Mudah2an, kita dilindungi Allah dari fitnah manusia.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...