Sunday, March 20, 2011

Universiti Kehidupan 191 – “Berbicara Dengan Jin Di Kota Mekah….”

Jumaat 18 Mac 2011 jam 9.00 malam, saya telah berada di Mekah. Baru sahaja memulakan makan malam, telifon saya berbunyi…

“Mmm, Haji Azman dari Tiram Travel” bisik hati saya. Baru petang Jumaat tadi seorang Jemaah Tiram Travel meninggal di dalam masjid al-Haram menghadap Kaabah sejurus selepas menunaikan solat Asar. Saya ada di sisi arwah ketika arwah di sahkan meninggal. Untungnya arwah…

Saya mengangkat telifon…

“Ustaz, nak minta tolong boleh, seorang jemaah saya kena rasuk” kata Haji Azman.

“InsyaAllah Haji, habis makan kita jumpa di Bab Fatah ye” kata saya yang tidak tahu di mana hotel yang disebutkan oleh Haji Azman.

Saya diiring oleh Haji Azman, ayah pemuda ini dan seorang anak murid saya, Adam yang mengikut ibunya ke Mekah.

Saya melangkah masuk ke bilik pemuda ini, dia menjeling saya dan terus berpura-pura tidur. Saya terus mendirikan solat dua rakaat bermunajat pada Allah. Selesai solat saya membetulkan duduk betul-betul menghadap katil pemuda ini.

“Sini, turun sini, ustaz nak ajak bual ni” kata saya.

Tiba-tiba dia bingkas bangun dan duduk betul-betul di hadapan saya.

“Uii… taat, ikut cakap ustaz ni..” kata ayah pemuda ini.

“Sapa nama ni” tanya saya.

“Asyuk” katanya.

Di dalam bilik ini ada datuk pemuda ini, beliau kemudian mencuit saya dan mengatakan, “kalau ikut bahasa orang asli, “Asyuk” bermaksud anjing”

Saya berbual panjang dengan Asyuk mengenai latar belakangnya. Dan di akhir perbicaraan saya mengajak Asyuk untuk masuk Islam.

“Tak mahu, nanti tuan saya marah” kata Asyuk.

“Tak apa, kita Islam bersaudara” kata saya lagi.

Asyuk tidak mahu masuk Islam tetapi banyak tahu pasal Islam, dia boleh membaca ayat-ayat al-Quran tetapi jika sampai pada kalimah Allah atau sifat Allah seperti al-Rahman, Asyuk tidak boleh membaca.

Air zam-zam dan kurma ajwa yang diminum oleh pemuda ini di Madinah juga menyebabkan dia sakit perut katanya.

“Hari tu, masuk masjid Nabi tak?” tanya saya.

“Tak masuk” kata Asyuk.

“Kenapa? banyak orang jaga ke?” tanya saya,

“Mmm”, kata Asyuk sambil menganggukkan kepalanya, tapi dia begitu teruja menceritakan pada saya mengenai masjid Nabi, makam Nabi dan laluan dari Bab Salam ke Bab Baqi’.

“Mana kamu tahu semua ni, kata tak masuk” tanya saya.

“Baca buku” cepat-cepat dia mengeluarkan buku dari sebuah beg mengenai keadaan masjid Nabi.

“Habis, kalau si fulan (nisbah nama pemuda ini) pergi masjid, kamu ikut tak? tanya saya lagi.

“Tak,.. pergi duduk dekat pasar dan kedai” katanya pula.

“Ada jumpa kawan-kawan kamu? Tanya saya lagi.

“Ada, tapi tak faham, dia cakap Arab” katanya pula.

Di akhir perbualan, saya menyuruhnya tidur dan insyaAllah, pagi esok pemuda ini akan menguasai kembali.

Perbualan kami berlangsung hampir setangah jam.

Ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan di sini.

1. Perkara ghaib benar-benar ada, ia termasuk kewujudan jin walaupun ada sesetengah kita menolaknya, tetapi ia benar-benar ada kerana ada disebut di dalam al-Quran.

2. Jin tetap kena tunduk pada manusia kerana manusia adalah khaliafah muka bumi.

3. Di dalam hidup kita, memang kita perlu mengamalkan ayat-ayat al-Quran sebagai pelindung yang Allah berikan. Jangan dah kena baru nak berubat, kalau berubat, insyaAllah baik, cuma agak lambat sikit.

4. Ada doa-doa yang Nabi ajarkan pada kita untuk menjadikan para jin dan syaitan menjauhi kita. Kalau seseorang itu di dalam badannya ada jin atau syaitan, jika dia bersama dengan isterinya, sudah tentu jin atau syaitan itu menyertainya, sebab itulah ada doa minta perlindungan dari syaitan dalam semua perkara termasuk ketika bersama dengan isteri.

5. Apa pun, dia tetap makhluk Allah yang lemah dan kita akan lebih kuat jika kita menguatkan tauhid kita kepada Allah.

Pengalaman berbicara dengan jin di kota Mekah bukan saya lalui seorang diri. Ia disaksikan oleh empat orang lain termasuk anak murid saya Adam yang baru di tahap tingkatan empat, beruntung dia kerana terdedah dengan dunia lain dalam usia yang muda ini.

Apa pun, kita tetap khalifah di muka bumi dan dengan iman, kita akan tetap mulia dan dipelihara oleh Allah, jadi, hendaklah kita sentiasa beramal dan berdoa untuk melindungi diri kita dari perkara yang tidak kita ingini ini.

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hotel Manazil Walid Mekah Mukarramah

15 Rabiul Akhir 1432/ 20 Mac 2011 jam 12.50 tengah malam

4 comments:

mumtazah said...

Terima kasih atas ilmu ustaz.

nailofar09 said...

salam Ustz...pengalaman yg boleh dikongsikan... T kasih...

Rodzianah said...

Terima kasih atas perkongsian Ustaz..

Azly VanDyk said...

Banyak ilmu.. terima kasih. .