10 Mac 2011, pagi ini, setelah kami menziarahi masjid al-Khalil, perkampungan Nabi Ibrahim a.s. Tengah hari kami makan di Bethlahem, tempat kelahiran Nabi Isa a.s pula. Saya ingin kongsikan bagaimana Baitul Maqdis boleh diserahkan pada orang Islam buat pertama kalinya.
Rujukan kisah ini ialah dari kitab “Falastin, al-Tarikh al-Musawwar oleh Dr. Tariq Suwaidan”, saya juga sempat kongsikan dengan beberapa rujukan yang saya beli.
Kota Jerusalem dan Bethlahem telah di serahkan kepada Islam dengan cara rundingan. Pada 16 Hijrah/637 Masihi, Saidina Abu Ubaidah al-Jarrah, general umat Islam di dalam operasi Syam, telah mengepung kota ini.
Selepas 4 bulan dikepung, ketua Greek Ortodok, Patriarch Sophronius yang merupakan pemimpin kota ini bertemu dengan Abu Hurairah dan bertanya: “Mengapa engkau mahu menakluki tanah suci ini? Barangsiapa inginkannya pasti berdepan dengan kemarahan Allah dan maut.” Abu `Ubaidah menjawab: “Ini adalah tanah yang diberkati. Nabi kami naik ke langit daripada negeri ini. Negeri ini adalah asal usul tempat para nabi dan makam mereka berada di sini. Kami akan berjihad untuknya sehinggalah Allah memberikannya kepada kami sebagaimana Dia telah memberikan negeri-negeri lain kepada kami.” Ketua Paderi bertanya: “Apa yang kamu mahu dari kami?”
“Salah satu dari tiga perkara,” jawab Abu `Ubaidah, “sama ada kamu masuk Islam, bekerjasama dan membayar cukai, atau perang.” Ketua Paderi memilih bekerjasama tetapi dia menetapkan satu syarat, bahawa tiada seorang pun dibenarkan memasuki Baitul Maqdis sebelum masuknya Amirul Mukminin Umar Ibn al-Khattab.
Saidina Abu Ubaidah al-Jarrah, menyampaikan utusan kepada Saidina Umar dan Saidina Umar bersetuju untuk datang.
Saidina Umar tidak datang dengan kemegahan tetapi hanya menaiki seekor unta yang dikongsi dengan khadamnya. Ketika memasuki Jerusalem, giliran Saidina Umar untuk memimpin unta dan paderi Patriarch Sophronius hampir tertukar antara Saidina Umar dan khadamnya. [1]
Beliau mendekati tentera dengan memakai pakaian yang sangat sederhana. Dari tembok-tembok kota Baitul Maqdis, penganut Kristian sangat takjub melihat orang yang amat sederhana itu adalah pemimpin tentera yang lengkap bersenjata.
Ketika melalui tebing-tebing Jerusalem, yang penuh dengan tanah, pembantunya cuba menaikkan Umar ke atas unta untuk menghalang tanah lumpur daripada terkena pada pakaiannya, namun Umar menyuruh dia yang naik unta itu.
Pembantu tersebut patuh lalu mengambil rantai haiwan itu, membawanya masuk ke tebing. Beliau membuka kasutnya, memegangnya dan berjalan kaki sambil diperhatikan oleh mata-mata masyarakat yang sangat kehairanan dan takjub. Abu `Ubaidah tidak dapat menahan diri melihat kerendahan hati lalu bersegera mendapatkan Umar sambil berkata: “Hai Amirul Mukminin! Hari ini tuan telah mengerjakan suatu perbuatan aneh di depan orang ramai, barangkali tuan...?”
Umar menampar pipi Abu `Ubaidah lalu berkata: “Hai Abu `Ubaidah, aku ingin orang lain yang mengatakan itu, bukan kamu. Kita adalah orang-orang yang hina lalu Allah memuliakan kita dengan Islam. Kita lemah, kemudian Dia menguatkan kita.”
Ketua Paderi melihat peristiwa itu, dia merasa sangat takjub dan mula tertarik kepada Islam. Kemudian dia berkata kepada kaumnya bahawa tiada seorang pun di dunia ini yang dapat berdiri di hadapan orang-orang itu. Dia menasihati mereka agar menyerah diri supaya selamat dan dia menandatangani suatu perjanjian dengan kaum Muslimin.
Umar pula, beliau menjamin keselamatan bagi mereka di Baitul Maqdis dan melindungi agama, gereja dan tempat-tempat suci mereka, melarang kaum Muslimin daripada menghancurkan.
Umar terus berjalan mencari Baitul Maqdis. Bila tidak menemuinya, beliau bertanya kepada ketua paderi yang kemudian menunjukkan jalan pada beliau. Bila beliau sampai, beliau dapati ia telah dijadikan tempat pembuangan sampah. Umar menggulung lengan bajunya lalu menyapu dan membersihkan kawasan itu.
Kaum Muslimin, para jeneral tentera dan askar-askar segera menyertai beliau dan bersama-sama membersihkan tempat tersebut, bahkan sahabatnya yang paling dekat pun turut mengambil bahagian.
Kemudian Umar membuka jubahnya, solat di atasnya. Itu merupakan solat pertama kaum Muslimin di dalam masjid Baitul Maqdis sesudah Nabi Muhammad. Beliau melakukan dua sujud. Semasa rakaat yang pertama, beliau membaca surah Sad yang menceritakan tentang Nabi Daud. Dalam rakaat kedua, beliau membaca surah al-Isra’.
Umar cepat-cepat memerintahkan agar masjid itu dipelihara semula. Kaum Muslimin bekerja keras membina masjid itu semula dari kayu untuk memuatkan kira-kira 3,000 jemaah solat. Kemudian mereka mula mengerjakan solat di tempat suci tersebut.
Kemudian, Saidina Umar diajak untuk melawat gereja salib (Church of Holy Sepulchre) di dalam kota Jerusalem ini, (bagi fahaman kristian Nabi Isa di salib, di dalam Islam Nabi Isa di angkat ke langit ) masuk waktu Asar, Saidina Umar dipersilakan untuk bersolat di dalam gereja ini, dan Saidina Umar menolak, dia enggan kerana khuatir orang Islam nanti akan mengambil gereja ini menjadi masjid.[2] Beliau keluar dan melangkah sejauh 40 langkah, di sanalah beliau mendirikan solat.[3] Tempat di mana Saidina Umar Solat didirikan sebuah masjid bernama masjid Umar.
Selepas itu, Saidina Umar di bawa ke Bethlahem di Church of Nativity. Bagi orang Kristian, ditempat inilah Nabi Isa di lahirkan. Di dalam al-Quran, tidak disebutkan tempat lahir Nabi Isa secara tepat, hanya disebutkan satu tempat yang jauh.
Maka Maryam mengandungnya, lalu ia menyisihkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh (surah Maryam ayat 22)
Di dalam tafsir al-Qurtubi menyatakan bahawa, tempat yang jauh itu ialah satu wadi di Bethlahem yang jauhnya empat batu dari Jerusalem.
Ketika Saidina Umar sampai di gereja ini, beliau sekali lagi di jemput oleh Paderi Patriarch Sophronius untuk mendirikan solat di dalam gereja ini, Saidina Umar dijemput untuk bersembahyang di bahagian selatan gereja, Patriarch Sophronius menurunkan gambar-gambar salib di tempat itu sebagai menghormati Saidina Umar r.a.[4] Saidina Umar keluar sedikit ke arah Selatan dan bersolat di sana.
Sekarang tempat Saidina Umar sembahyang telah ditutup dan orang Islam tidak boleh masuk lagi ke dalamnya, sebagai alternatifnya, dibina sebuah lagi Masjid dalam 300 meter dari gereja ini.
Setelah itu, satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Umariyyah dibuat yang menjamin keselamatan orang Kristian di Jerusalem. Perjanjian itu terus pengang hingga ke hari ini sehinggakan ketika perang Salib kurun ke 11 Masihi, orang Kristian Jerusalem berada di sisi Salahuddin al-Ayubi menentang tentera Salib dari Eropah kerana setia di atas perjanjian Umar.
Begitulah sifat tawaduk yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Islam. Sesungguhnya kita mulia mereka Allah inginkan kita mulia dan kita disanjung oleh orang lain kerana Allah menuntup keaiban kita, jika Allah membuka keaiban kita, tidak ada lagi kemuliaan di sisi manusia.
Baikilah diri dengan iman dan taqwa, semoga kemuliaan sentiasa bersama kita, amin…..
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Hotel Shubra al-Khalil
Mekah Mukarramah
16 Mac 2011 jam 5.30 petang
[1] Ali Qleibo. Jerusalem In The Heart. A Kloreus Pullication, Jerusalem, 2000. hal 38
[2] Daniel Jacobs. The Rough Guide To Jerusalem. Rough Guides. 2nd edition 2009 Hal 66
[3] opcit. Jerusalem In The Heart. hal 39
[4] Mitri Raheb, Fred Strickert(1998) . Bethlehem 2000 Past and Preset, Palmyra Publishing House, Heidelberg Germany, Hal. 99
Pintu masuk ke sini sengaja di buat rendah, tujuannya adalah supaya pengunjuang akan tunduk terhadap salib besar yang berada betul-betul selepas pintu ini
Teknik ini dipakai oleh orang Mesir ketika membuat laluan di dalam Piramid, saya yang memang telah mengetahui teknik ini, berjalan mengiring.
Saidina Umar dan beberapa sahabat besar pernah melawat tempat ini
Beberapa mazhab di dalam kristian berkongsi tempat ini
Di dalam Church of Nativiti
Tempat Nabi Isa dilahirkan (wallahualam)
sekarang ia telah diletakkan batu mar-mar
Di satu sudut, tempat Nabi Isa di susukan (wallahualam)
Suasana di dalam tempat ini.
Dalam 300 meter, bertentangan dengan gereja ini, terdapat masjid Umar, di dirikan kerana Saidina Umar pernah bersolat di kawasan ini.
1 comment:
salam wrt ustaz, minta copy sebhngn dari post ini untuk program utk Palestine..jazakallahu khayr.
Post a Comment