8 Mac 2011, Kami mula meninggalkan pergunungan Nebo jam 3.15 petang menujuk ke laut mati.
Menuruni bukit setinggi 817 meter dari paras laut ke tanah paling rendah iaitu 410 meter terbenam ke dasar dari paras laut. Inilah tempat di mana kaum Nabi Lut a.s diterbalikkan hingga kota Sodum yang sehebat Jerusalem satu ketika dahulu menjadi tanah rendah bertasik bergaram tanpa hidupan.
Sebahagian ulama’ memakruhkan tempat ini dikunjungi dan sesetengahnya mengharuskan jika ia dapat memberikan iktibar kepada yang melihatnya, ini kerana Allah telah berfirman di dalam al-Quran :-
Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul). (Surah an-Nahli ayat 36)
Di dalam surah Ghafir ayat 21 pula, Allah menyatakan bahawa :-
Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi, lalu memperhatikan betapa kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Mereka itu adalah lebih hebat kekuatannya daripada mereka dan (lebih banyak) bekas-bekas mereka di muka bumi, maka Allah mengazab mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan mereka tidak mempunyai seorang pelindung dari azab Allah
Saya memerhatikan di luar tingkap kami menuruni bukit bukau dengan berbagai warna. Sekali sekala kami melalui penempatan Badwi dengan belaan kambing biri-biri, anak-anak mereka gembira bergurau sesama mereka dan terbayang wajah kegembiraan mereka.
Kami mulai turun di bawah paras laut, kalau nak ikutkan seolah-olah sekarang kami sedang menyelam.
Bagi lesen asas “scuba diving” pun hanya 18 meter sahaja dibenarkan untuk menyelam dan banyangkan kami sedang menuruni kawasan serendah 410 meter.
Kini, di kawasan sekitar laut mati sudah terdapat hotel. Kita boleh menginap di sini. Di seberang sana adalaha negara jajahan Israel, kita boleh berenang untuk ke Israel kalau kita mahu tetapi penembak-penembak tepat Israel sentiasa berkawal bagi sesiapa yang cuba menceroboh ke sana.
Saya pernah berada di dua kawasan iaitu laut mati sebelah Jordan dan laut mati sebelah Israel, beza keduanya ialah laut mati sebelah Jordan tidak di jaga seperti di Israel sedangkan di Israel mereka membangunkan bangunan dan dijadikan tempat ini tempat pelancongan.
Dan yang paling menarik, di sebelah Israel, banyak di tanam pokok “Gharqad”, pokok yang pernah di sabdakan oleh Nabi SAW bahawa pokok ini sahaja yang akan menjadi persembunyian orang Yahudi ketika peperangan antara Islam dan Yahudi yang mereka dipimpin oleh Dajjal.
Kami mula diberikan kad kunci hotel, saya membelek kad ini, tertulis “Dead Sea SPA Hotel Jo”dan" nama hotel ini. Kebanyakkan pekerja hotel ini adalah orang Filipina
“Ya Akhuya (wahai saudara)” kata saya pada pengawai yang duduk di kaunter keselamatan.
“Di bilik ada internet tak?”
“Ada..” jawabnya bangga, kerana sebelum ini, walaupun kita duduk di hotel 5 bintang di Amman Jordan, penggunaan internet adalah caj tambahan.
“Ok, bagus, boleh kongsi kisah penggembaraan ini dengan para pembaca” bisik hati saya.
Tapi masih ada kesamaan antara hotel di Jordan, ketika kita makan mereka tidak akan menyediakan air walaupun air mineral, semuanya dalam caj yang lain. Hanya ketika sarapan sahaja ada disediakan teh atau kopi.
Tidur di sini tidak memerlukan air cond kerana ketika ini Jordan masih lagi di hujung musim sejuk. Saya yang memang tidak membawa baju sejuk terpaksa menahan kesejukan sendirian berbekalkan bacaan ayat al-Quran yang mudah-mudahan dapat memanaskan badan.
Semalaman hanya, menaip artikel baru sahaja. TV di hotel pula sibuk menceritakan kisah Muaammar Gadafi yang membunuh rakyatnya di atas nama memerangi pengganas al-Qaeda, satu alasan yang sama menghalalkan pembunuhan seperti yang digunakan oleh Amerika.
Saya diberikan bilik seorang diri, lebih aman rasanya untuk aktiviti menaip dan diluar, angin bertiup kencang sehingga mengeluarkan bunyi seakan kisah cerita hantu di tv untuk menjadikan perjalanan kisah seram lebih “real”.
Dan pagi ini 9 Mac 2011 jam 8.00 pagi, kami semua akan berkumpul di lobi hotel untuk bergerak ke sepadan Jordan-Palestin, semoga perjalanan di permudahkan Allah, amin..
“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Dead Sea SPA Hotel Jordan
4 Rabiul Akhir 1432/9 Mac 2011 jam 7.40 pagi
Selekoh-selekoh tajam menuruni ke laut mati
Kami melalui perkampungan Badwi dan anak-anak mereka begitu gembira bergurau antara satu sama lain
Pengembala kambing di kawasan ini
Hotel ditepi laut mati
kala ini, angin bertiup kencang di kawasan ini
Sebahagian ulama memakruhkan untuk berada di sini dan sebahagiannya mengharuskan jika kita dapat mengambil iktibar darinya
2 comments:
salaam ustaz, terima kasih berkongsi..teringat kenangan lama ketika berkunjung ker jordan suatu ketika dahulu..
seronok baca artikel mengenai perjalanan ustaz dan rakan2...seolah2 saya turut serta dalam rombongan ini...amat menarik dan menakjubkan..ada cerita2 yg tidak diketahui sebelum ini dapat saya ketahui..contohnya seperti tembok ratapan...dan lain2
Post a Comment