Mahu tahu perasaan ketika menatap dengan mata kepala sendiri terhadap kubah batu (Dome Of Rock) dan al-Aqsa.
Kalau budak-budak barang kali perasaannya macam makan ice cream…..
Tapi sebenarnya, ia satu perasaan yang tidak dapat digambarkan melainkan ketika kita menatap sendiri dengan mata kita.
Walaupun saya pernah menatap keindahan kota al-Hambra di Spanyol, keindahan Piramid di Mesir, keindahan eiffal Tower di Paris dan lain-lain tempat indah, ia tidak pernah sama dengan berada di kawasan al-Aqsa.
Barangkali kerana keberkatan yang ada di sini, ribuan Nabi pernah ke sini, tidak kurang 16 ribu sahabat pernah ke sini, puluhan ribu syuhada pernah gugur di sini di dalam peperangan salib, dan banyak lagi kisah yang berkaitan rapat dengan tempat ini.
Tapi, satu tanggungjawab yang saya rasakan perlu untuk diselesaikan ialah, misteri batu tergantung yang dipercayai oleh masyarakat kita di Malaysia. Saya pernah membahaskannya dua tahun dulu ketika kunjungan pertama saya ke sini, tapi rujukan ketika itu terhad.
Ketika kami balik tahun 2009 lalu, Dato’ Yahya A.Jalil yang bersama rombongan kami menghabiskan 7000 USD hanya untuk membeli buku rujukan yang boleh digunakan. Tidak termasuk yang lain. Kami merasakan terlalu baik kalau segala kisah di sini dapat dikongsikan bersama. Rujukan yang ada barangkali boleh membantu sesiapa yang ingin membuat kajian mengenai tanah yang penuh barakah ini.
Sejak pertama kali saya memandang kubah yang disalut dengan warna emas ini pada tahun 2009, saya selalu tertanya, dari mana asalnya perkataan yang mengatakan ia adalah satu batu yang tergantung.
Di tengah kesibukan menyelia tugasan mengenai rumah anak yatim dan rumah HIV, perlahan-lahan saya membuat rujukan dari buku yang dibawa pulang.
Akhirnya saya temui sumber asal perbahasan ini…..
Al-Imam Abu Bakar Ibnul 'Arabi1, ketika membuat penjelasan (syarah) Kitab al-Muwaththa’ karya Imam Malik menyebutkan bahawa:
“Sesungguhnya batu besar di Baitul Maqdis adalah suatu keajaiban Allah SWT. Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi.
"Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Nabi s.a.w. berpijak untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas kehebatan baginda s.a.w maka batu itu tergantung, saya sendiri takut untuk berada di bawahnya, kerana takut batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya.
"Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain."
Inilah antara kisah yang diceritakan oleh seorang ulama besar ini. Daripada sinilah timbul cerita demi cerita yang menyatakan batu tempat Nabi Muhammad SAW hendak bermi’raj ke langit itu, tergantung-gantung.
InsyaAllah, kisah mengenai tempat ini akan saya bahaskan dengan detail di dalam buku yang sedang saya siapkan.
Menurut Prof. Dr. Tala'at Muhamad Afifi, dari Universiti al-Azhar:
“Qubbat al-Sakhra' itu bukanlah terapung di atas udara sebagaimana dinyatakan sebahagian orang, akan tetapi hujungnya luas dari tapaknya yang menjadikan ianya seperti tergantung.”
Saya telah memasuki tempat ini, berpeluang melihat batu itu dan masuk ke bawahnya. Memang batu itu benar-benar wujud dan terletak di tengah-tengah bangunan. Gambaran yang boleh dikatakan ialah, batu itu jika dilihat daripada bawah, seolah-olah seperti sebuah payung besar, seperti gua yang kita berada di bawahnya.
Merenung batu itu dengan cermat, saya dapati ia bersambung dengan sebahagian yang tertanam dibumi. Di segenap arahnya berpijak ke atas bumi.
Di dalam ribuan ulama’ kita, hanya beberap orang sahaja yang menulis mengenai batu ini dan mengatakan ia tergantung.
Pendirian saya, tak kan ulama besar ini membuat satu pembohongan. Mungkin batu ini benar-benar tergantung, tetapi tidak semua orang direzkikan untuk melihatnya.
Kerana kita melihat dengan mata kasar, dan di sana terdapat banyak lagi perkara aneh dan pelik yang tidak diperlihatkan pada kita.
Apa pun, kewujudan tempat berkat ini sepatutnya menjadikan kita semakin menghampirkan diri pada Allah. Bukan batu itu yang penting, tetapi perasaan iman yang akhirnya menyebabkan kita merebahkan dahi untuk memperbanyakkan solat di dalam al-Aqsa. Sesungguhnya, solat di dalam al-Aqsa bersamaan dengan 500 solat ditempat lain.
“Ilmu Pelita Hidup”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Hotel Manazil Walid Mekah Mukarramah
11 Rabiul Akhir 1432/ 16 Mac 2011 jam 11.30 malam
1 Dari kitab al-Isra’ wa al-Mikraj oleh Khalid Saiyyid Ali di halaman 82, atas tajuk yang bermaksud 'Tempat Nabi bermikraj.'
Tempat berkat biasanya menjadikan kita tenang berada di sekitarnya, seperti Mekah dan Madinah
Di sini, saya suka duduk dan memandang al-Aqsa dan Kubah Emas ini..
Di dalam Dome Of Rock
Satu lagi kisah masyarakat setempat, batu mar-mar yang terdapat di dalam Dome Of Rock seakan muka orang, biasan dari wajah Salahuddin al-Ayubi, pembebas al-Aqsa…
Suasana dalam yang sangat indah
halaqah ilmu para muslimah
Burung merpati jug tenang di dalam kawasan ini
Tempat yang penuh Barakah
Semoga ia akan kembali ke pangkuan umat Islam seluruhnya tidak lama lagi…. amin…
3 comments:
Assalamualaikum Ustaz Amin
terima kasih berkongsi cerita dan gambar yang amat-amat berharga ini...
BHS dapat rasakan kesyahduannya Ustaz Amin dan rombongan sekeliannya...
moga suatu hari nanti impian BHS kemari akan menjadi kenyataan...Insya ALLAH ...Amin....
Assalamu'alaikum Ustaz,
Terima kasih di atas usaha ustaz berkongsi cerita dan gambar2 yang amat menyentuh jiwa dgn cerita2 yg ustaz tuliskan di sini.
Semoga Allah sentiasa berkati ustaz dan keluarga ustaz. amin..
ustaz....saya nak tanya....ada yang kata masjid yang berbumbung emas adalah bukan al aqsa yang sebenar...yang sebenarnya adalah berbumbung hijau.....
Post a Comment