Wednesday, March 9, 2011

Diari 298 – “Destinasi Jordan Untuk Hari Pertama…”

Perjalanan hari pertama seolah-olah tidak ada rehat jika ditakrifkan bahawa rehat itu adalah tidur di atas katil.

8 Mac 2011, pagi ini, kami solat subuh di Queen Alia International Airport. Kami serombongan terus di bawa ke Imperial Palace Hotel untuk sarapan pagi.

Makan pagi ini, seperti budaya Arab, hanyalah roti dengan berbagai jem.

Jam 9.00 pagi, kami mula berkemas, beg-beg besar ditinggalkan di hotel ini agar perjalanan ke Jerusalem esok tidak membebankan.

Jam 9.15 pagi, kami mula bergerak ke makam Nabi Syuaib, ayah mertua kepada Nabi Musa a.s.

IMG_6685

(Di makam Nabi Syuib a.s)

Perjalanan disulami dengan penerangan dari pemandu pelancong berbangsa Arab. Dia memberi penerangan mengenai negara Jordan ini di dalam bahasa Inggeris.

Nabi Syuaib adalah salah seorang dari 4 Nabi berbangsa Arab. Nabi lain yang berbangsa Arab ialah Nabi Soleh, Nabi Hud dan Junjungan Nabi kita Muhammad SAW.

IMG_6689

(Kenangan bersama rombongan “Mencari Keberkatan Tiga Masjid”)

Jam 10.00 pagi, kami melangkah masuk ke dalam masjid Nabi Syuib ini, kami ramai-ramai mendirikan solat sunat tahyatul masjid.

Menahan kesejukan bumi Jordan yang masih di dalam peralihan musim sejuk dan panas ini, menjadikan mengambil air wudhuk begitu mencabar dan membuatkan kita bersyukur dengan suasana di negara kita.

Jam 10.45, kami mula bergerak ke destinasi kedua iaitu gua Ashabul Kahfi.

Dalam sejam perjalanan, kami telah sampai ke destinasi kedua ini. Gua Ashabul Kahfi, adalah tempat bersejarah seperti yang tertulis di dalam al-Quran surah al-Kahfi.

IMG_6692

(di hadapan pintu masuk Ashabul Kahfi)

Ia mengisahkan sekumpulan pemuda yang beriman yang telah Allah tidurkan mereka selama lebih 300 tahun.

Sekumpulan pemuda yang kuat imannya ini, tetap mempertahankan iman walaupun diburu oleh pemerintah yang kafir lagi zalim.

Kami solat di masjid Ashabul Kahfi ini, waktu zohor di Jordan kala ini ialah jam 11.45 pagi dan sekali lagi menahan kesejukan ketika mengambil wudhuk.

Jam 12.15, kami bertolak ke destinasi ketiga iaitu Madaba, bandar yang sejak ribuan tahun dahulu terkenal dengan kesenian mozak dan ia masih diwarisi hingga sekarang.

Jam 1.30, kami sampai di bandar ini tersimpan berbagai ukiran mozak termasuk peta asal kota Jerusalem.

Kota Jerusalem hampir-hampir pupus ketika panglima Rom, Titus menghanguskannya pada tahun 70 masihi kerana pemberontakan Israel terhadap Rom.

Dengan peta kuno dari mozak yang terdapat di Madaba ini, ia dapat dibangunkan kembali seakan asal.

Tengah hari ini, kami makan di restoran El Cardo atau di dalam bahasa Arabnya al-Darab. El Cardo adalah nama satu jalan di tengah-tengah kota Jerusalem.

Ia sangat terkenal kerana petanya yang terukir dengan mozak terdapat di Madaba sejak ribuan tahun dulu, lebih tepat sebelum kelahiran Nabi Isa a.s lagi.

IMG_6701

Di restoran El Cardo

IMG_6698

(Hiasan dalaman seperti restoran zaman dahulu)

Kami meninggalkan kota 15 gereja ini jam 2.30 petang sebelum melalui pergunungan Nebo, bumi kewafatan Nabi Musa a.s.

Walaupun tempat ini adalah tempat di mana Nabi Musa wafat, tetapi tidak seorang pun mengetahui di mana makamnya secara tepat, ini kerana, Nabi Musa telah ditinggalkan oleh kaumnya bersendirian setelah memimpin kaumnya keluar dari bumi Mesir.

IMG_6725

(Kenangan di atas pergunungan Nebo)

Pihak pengurusan telah mencadangkan agar kami tidur di hotel berhampiran dengan laut mati, tanah paling rendah di muka bumi iaitu 410 meter dari paras laut.

Alasannya, kerana dari laut mati ke sepadan Palestin hanya tidak sampai setengah jam. Esok pagi-pagi lagi, kami kena bersedia di sepadan Palestin-Jordan, agar rombongan seramai 53 orang ini dapat memasuki sepadan pada awal pagi.

Jam 3.15 petang, kami bergerak menujuk ke laut mati.

IMG_6752

(Dead Sea SPA Hotel berhampiran dengan laut mati)

Program mencari keberkatan tiga masjid ini adalah program umrah dan ziarah al-Aqsa, Mekah dan Madinah, satu program berdasarkan hadis Nabi,

“Tidak perlu kamu bersusah di dalam perjalanan melainkan untuk pergi ke tiga masjid, al-Aqsa, masjid Haram dan masjid an-Nabawi”

Semoga, segala urusan dimudahkan Allah, amin…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Dead Sea SPA Hotel Jordan

3 Rabiul Akhir 1432/8 Mac 2011 jam 7.35 malam

2 comments:

boxhousestudio said...

ustaz amin

nak ikut lain kali ...teruja ... :)

Unknown said...

assalam ustaz, terasa 2tahun yg lepas kami d sana...kirim salam pd semua terutama jiran2 kami dari sec 11, shah alam

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...