Sunday, March 20, 2011

Diari 300 – “Hadiah Hari Lahir………”

20 Mac 2011 jam 8.00 malam, saya mengajak jemaah Umrah yang saya pimpin menghadiri majlis zikir dan selawat di Kota Mekah.

Duduk di dalam majlis mulia seperti ini menjadikan hati ini tenang membaca nama-nama Allah, selawat dan ayat-ayat al-Quran.

Sesungguhnya, Mekah penuh dengan ulama’ cuma kandang kala, kita datang ke sini hanya mengenali masjid al-haram sahaja, itu pun sebenarnya tidak betul-betul kenal.

Ketika saya mengajak jemaah saya melawat masjid al-haram, ramai yang belum mengetahui tempat-tempat sejarah di dalam masjid seperti tempat Nabi duduk, tempat peristiwa israk dan mikraj, tempat Nabi mengIslamkan  jin dan sebagainya.

Bak kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta, itu yang kadang kala datang ke sini tapi rasa malas nak ke masjid.

Kami serombongan menaiki bas ke Rusaifah, tempat majlis akan dibuat, beberapa ulama’, para Habaib dan Muhibbin al-Rasul ada di dalam majlis ini.

Di akhir majlis, beruntung para rombongan yang datang kerana telah diijazahkan dengan beberapa zikir dari Syeikh Alwi al-Haddad.

Ketika di hujung majlis, hidangan nasi kambing dihidangkan pada lebih 200 tetamu yang bersama di dalam majlis malam ini.

Ketika hidangan sedang di edarkan, saya dipanggil oleh seseorang untuk masuk ke ruang tamu Syeikh Muhammad Jaafar Jalamullail.

“Saya ingin ijazahkan satu zikir pada kamu” kata Syeikh Muhammad pada saya.

Dia merenung wajah saya, jantung saya berdegup, entah apa yang Syeikh sedang perhatikan…

Kemudian dia berkata, “hendaklah kamu sentiasa mendamaikan orang lain, selalu maafkan orang lain, dan jika orang berbuat jahat kepada kamu, jangan sekali-kali kamu berdoa keburukan pada orang lain” katanya pada saya.

Hati saya tersentak, tiba-tiba saya jadi hiba….

Memang, kadang kala di dalam apa yang sedang saya buat, ada orang yang cuba menyusahkan kita, sama ada usaha rumah anak yatim, rumah HIV atau apa pun yang saya buat.

Kadang-kala tekanan memang terasa hingga tidak ada siapa yang boleh saya mengadu. Kalau dahulu, ketika ayahanda saya ada, saya selalu kongsikan dengan beliau.

“InsyaAllah, zikir ini dapat menjadikan kamu orang yang sentiasa mempunyai kekuatan berbuat kebaikan” kata Syeikh Muhammad lagi.

Syekh Muhammad menghulurkan tangannya, cepat-cepat saya capai…

“saya ijazahkan pada kamu” kata Syeikh Muhammad.

“Saya terima” jawab saya sambil mencium tangannya tanda hormat kemudian saya memeluknya erat.

Terasa ketika saya memeluk ayahada saya dahulu.

“Alhamdulillah, terima kasih Allah…” bisik hati saya.

Barangkali, inilah hadiah hari ulang tahun saya tahun ini……

 

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hotel Manazil Walid Mekah Mukarramah

15 Rabiul Akhir 1432/ 20 Mac 2011 jam 1.30 pagi

IMG_7440

Majlis zikir dan selawat di Kota Mekah

IMG_7445

Lebih 200 orang bersama di dalam majlis ini

IMG_7447

antara tetamu yang hadir

IMG_7446

selepas majlis, hidangan nasi kambing di edarkan

IMG_7449

Tiga dari kiri, Syeikh Muhammad Jaafar bersama muridnya

IMG_7450

Jamuan nasi Kambing

IMG_7453

Para jemaah saya saya bawa bersama Syeikh Alwi al-Haddad.

6 comments:

Azlina Ahmad said...

Selamat Hari Lahir Ustaz. Doakan saya.

amieraman said...

assalam alaik sheikh.....muga dipermudahkan segala urusan, doa kan ana.

Anonymous said...

sama tarikh lahir...:)
moga saya jua diberi kesempatan utk menjejakkan kaki saya ke tanah suci...

Anonymous said...

salam ustaz, untung nya jemaah yg ikut rombongan ustaz...insyaallah ada rezeki nk ikut ustaz, nk bincang dgn suami. ustaz, jaga makan, jaga kesihatan, kami memerlukan ustaz utk membimbing kami dan menjadi contoh kpd kami...doa saya ustaz di beri kesihatan yg baik dan kekuatan oleh Allah swt utk meneruskan segala kebajikan amin...

Anonymous said...

apakah zikir yang ustaz terima utk diamalkan?

Abdul 'Aziz said...

Assalamu'alaikum Ustaz. Boleh saya dapatkan email ustaz untuk pertanyaan ziarah? Syukran..

Abdul 'Aziz

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...