Monday, November 30, 2009

Universiti Kehidupan 127 – Iktibar Van Jenazah

22 November 09, beberapa hari lagi, seluruh dunia akan berkumpul untuk menyempurnakan wukuf di Arafah.

Setiap subuh, saya akan turun ke Masjid al-Haram dan setiap kali juga saya akan melalui beberapa van jenazah yang membawa orang yang telah meninggal untuk disembahyangkan di Masjid al-Haram.

Setakat hari ini, sudah 20 Jemaah Malaysia yang telah kembali ke Rahmatullah.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi, kitab al-Qadr bab Ma Ja’a an al-Nafs Tamut Haisu Ma Kutiba Laha.

“Jika Allah menghendaki seseorang hamba itu mati di sesuatu tempat, akan dijadikan ia akan ke tempat itu kerana sesuatu hajat”

Saban tahun, bumi Mekah menerima ribuan jenazah untuk dikebumikan di sini. Alangkah untungnya mereka, jika niat mereka datang untuk beribadah kepada Allah, tetapi mereka dijemput oleh Allah swt, sudah tentu mati mereka di dalam keadaan yang baik.

Kita bagaimana?

Antara perkara yang disembunyikan Allah dari pengetahuan manusia ialah kematiannya. Bila dan di mana kita tidak tahu. Yang boleh kita usahakan ialah bagaimana kita mati.

Adakah mati kita di dalam keadaan yang baik atau mati kita di dalam keadaan yang dimurkai oleh Allah.

Masa terus berlalu dan ia tidak akan patah kembali ke belakang.

Saya, sidang pembaca dan semua manusia akan menempuhnya.

Melalui van jenazah membayangkan menyedarkan saya.

Hari ini, kita melihat orang dimandikan, dikafankan, diusung, disembahyangkan. Diletakkan ke liang lahad, ditinggalkan sendirian dan dikambus dengan tanah.

Satu hari nanti pasti, kita juga akan dimandikan, dikafankan, diusung, disembahyangkan. Diletakkan ke liang lahad, ditinggalkan sendirian dan dikambus dengan tanah.

Bila dan di mana kita tidak tahu, yang kita boleh usahakan ialah cara kita mati. Adakah ketika kita mati di dalam keadaan yang diredahi Allah atau sebaliknya.

Adakah kita mati sedang dengan memakan perkara yang haram, atau sedang mengusahakan yang halal walaupun susah.

Adakah kita mati di dalam keadaan menderhaka dengan suami atau berusaha mentaati suami kerana Allah.

Adakah kita mati dengan keadaan menzalimi isteri atau sedang berusaha menjaga isteri dengan kasih sayang.

Apa pun keadaannya, ada orang yang mati di dalam keredhaan Allah dan ada yang mati di dalam keadaan yang dimurkai Allah.

Kita mohon pada Allah agar, ketika kita mati, keredhaan Allah sedang kita buru, agar selamat kita di dunia dan selamat kita di akhirat.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah

23 November 09 jam 11.00 malam

Van Jenazah yang diletakakn di sekitar Masjid al-Haram

1 comment:

Hunny said...

Salam,

Ustaz menulis,;
"Adakah ketika kita mati di dalam keadaan yang diredahi Allah atau sebaliknya."

Rasanya "diredhai", bukan "diredahi". Walaupun silap ejaan, tapi harapnya, pembaca tak tersilap mengambil iktibar entry ini.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...