Friday, May 29, 2009

Universiti Kehidupan 75 – Wabak Yang Melanda Manusia

27 Mei 09, pukul 4.30 petang, saya bertolak ke Guangzhou China untuk menguruskan beberapa urusan. Perjalanan menaiki Air Asia ini mengambil masa hampir empat jam. Ada beberapa orang Melayu di dalam kapal, selainnya Cina, sama ada dari Malaysia ataupun dari negeri China sendiri.

Di dalam kapal terbang, tidak ada apa yang dibuat, hanya membaca surat khabar yang dibeli di LCCT tadi. Bayangkan, selama hampir 4 jam, dari kulit ke kulit saya membaca semua berita yang ada. bagaikan seorang pelajar pondok yang membaca kitab lama.

Jam 8.15, kapal mulai merendah dan jam 8.25, ia menjejakkan tayarnya ke bumi yang pernah di jejaki oleh seorang sahabat Abi Waqqas r.a.

Kapal telah benar-benar berhenti. Kami mendapat arahan untuk terus tetap berada di dalam kapal. Rupanya, pihak kerajaan China mensyaratkan bahawa, mana-mana pengunjung akan diperiksa dahulu suhu badannya. Naik lima orang pegawai dengan bertutup muka. Dua darinya berbungkus dengan baju makmal putih siap dengan corong oksigen di muka.


Dia mengeluarkan satu alat seperti pistol berwarna putih. Kemudian, dia meletakkan alat ini ke dahi dan menekannya.

'tit' alat itu berbunyi menandakan telah tamat diperiksa.

Setelah semua penumpang diperiksa, barulah kami dibenarkan untuk turun.

Begitulah, manusia cukup khuatir dengan penyakit yang berasal dari babi yang sedang melanda dunia pada waktu ini. Penyakit yang telah mengorbankan banyak nyawa ini sedang merebak di merata dunia melalui hembusan nafas orang yang dijangkiti. Begitu berhati-hatinya manusia mengawal segala penyakit berjangkit.

Saya melangkah masuk ke kawasan Imigresen, beratur dan menunggu giliran untuk diperiksa.Terfikir saya, manusia cukup berhati-hati terhadap penyakit lahirnya, tetapi berapa banyak manusia yang lupa bahawa penyakit hati itu lebih meluluasa dan semakin meningkat masa kini.

Penyakit ini juga boleh berjangkit. Orang yang hasad dengki, boleh mempengaruhi orang lain untuk membenci seseorang lain. Orang yang sombong, boleh mempengaruhi orang lain untuk berlagak sepertinya. Orang yang sakit hati dengan suaminya, boleh mengajak orang lain juga turut memandang serong pada suaminya.

Alangkah banyaknya orang yang berpenyakit hati tetapi tidak ramai orang yang mencari ubat untuk menyembuhkannya.

Di dalam al-Quran, Allah menyatakan:-

'Di dalam hati mereke penyakit maka Allah akan menambahkan lagi penyakit hati pada mereka'

Penderitaan penyakit zahir jika tidak diubat akan semakin parah, akhirnya membawa kematian jasad. Penderitaan penyakit batin jika tidak diubat juga akan semakin parah, akhirnya akan membawa kepada mati hati.

Orang yang mati jasad, tamatlah hubungannya dengan manusia yang lain, tetapi orang yang mati hati, akan tetap berjalan, bertemu manusia, mempengaruhi manusia lain dan akan terus menderita dengan sakitnya.


Semoga, wabak yang melanda dunia ini akan menghampirkan kita dengan Allah dan semoga kita memahami sindiran Tuhan ini bahawa, sehebat mana wabak penyakit zahir ini, jauh lebih hebat wabak penyakit hati yang sedang melanda kita. Mudah-mudahan kita terus dibimbing untuk menjadi hambaNya yang soleh dan solehah.


'Universiti Kehidupan, Universiti Sepanjang Hayat'



Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Guangzhou China

29 Mei 09 jam 7.20 pagi

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...