Wednesday, May 27, 2009

Universiti Kehidupan 74 - al-Aqsa Dalam Lipatan Sejarah

"Ustaz, banyak lagi ke cerita pasal Palestin ni?" Saya ditanya oleh seorang anak murid saya di Shah Alam.

"Banyak, larat atau tak nak tulis sahaja lagi. Perjalanan hari tu, banyak yang saya pelajari dan banyak perkara yang boleh dikongsi." Jawab saya.

Baiklah, hari ini, kita nak cerita sikit mengenai sejarah al-Aqsa dari zaman Saidina Umar hinggalah ia ditawan oleh Israel pada peperangan tahun 1967.

Pada ketika Saidina Umar r.a, menerima kunci Jerusalem, beliau masuk dan melawat sekitar Jerusalem termasuk al-Aqsa. Beliau masuk ke al-Aqsa dan mendapati ia, satu tanah kosong dengan kesan runtuhan bangunan. Pada tahun 70 masihi, seorang panglima Rom bernama Titos telah menghanguskan seluruh kota Jerusalem dan menghambat keluar Yahudi dari kawasan ini. Yahudi hanya mulai balik ke Jerusalem pada ketika Salahuddin al-Ayubi berjaya mengambil kembali Jerusalem dari tangan tentera Salib pada tahun 1187. Ini bermakna lebih kurang seribu tahun Yahudi bersepah di merata dunia dan tidak berani kembali ke Jerusalem.

Saidina Umar bersama para sahabat yang lain, membersihkan kawasan al-Aqsa yang telah menjadi kawasan pembuangan sampah. Beliau mendirikan bangunan sementara al-Aqsa dan beliaulah orang pertama di kalangan para Sahabat memulakan sembahyang di masjid yang mulia ini. Tapak tempat beliau bersembahyang dinamakan sebagai Masjid Umar, di bahagian kiri, 150 meter dari mimbar al-Aqsa sekarang.

Masjid Al-Aqsa Pada Pemerintahan Khalifah Umayyah

Pada tahun 74 H, bersamaan dengan tahun 693 M, Khalifah Abdul Malik bin Marwan dari Khilafah Umawiyah, membangunkan dengan baik masjid ini bersama Kubbah as-Syakhra. Seluruh pembangunan ini selesai pada zaman anaknya iaitu Khalifah al-Walid bin Abdul Malik bin Marwan pada tahun 86 H/705 M. Dana pembanguan masjid ini diambil dari cukai orang Mesir selama 7 tahun. Pada zaman ini, orang Mesir antara wilayah Islam yang kaya kerana suburnya tanah yang diairi oleh Sungai Nil ini.

Masjid Al-Aqsa Pada Pemerintahan Khalifah Abasiah.

Pada tahun 154 H/774 M, di zaman pemerintahan Khalifah Abasiah, Khalifah al-Mansur, masjid al-Aqsa telah rosak akibat gempa bumi yang besar yang meruntuhkan banyak bangunan di Jerusalem. Sebahagian besar dari masjid ini turut runtuh. Al-Mansur memerintahkan untuk menambah kelebaran masjid ini serta mengurangkan panjangnya. Pembinaan itu dilakukan pada tahun 163 H/780 M.

Masjid Al-Aqsa Pada Masa Al-Fathimiyah.

Pada penghujung tahun 425 H/1033 M, sekali lagi, masjid ini digegarkan oleh gempa bumi yang besar. Terjadi kerosakan teruk pada struktur masjid ini. Ia diperbaiki lagi pada tahun(426 H/1034 M)tanpa menambah apa-apa pada sturktur bangunan masjid.

Masjid Al-Aqsa Pada Masa Perang Salib.

Ketika para tentera salib menjajah Madinah al-quds pada tahun 492 H/1099 M,mereka merubah petunjuk-petunjuk masjid, dan menjadikan salah satu bahagian masjid ini sebagai gereja. Ia di bahagian timur masid. Tentera Salib juga menjadikan sebahagian masjid ini tempat untuk meletakkan kuda bagi pasukan berkuda mereka. Mereka menjadikan bahagian barat sebagai gudang untuk bekalan mereka.

Hal ini sama sahaja seperti di Rusia, ketika pengamalan agama diharamkan di negara tersebut. Masjid-masjid dijadikan gundang penyimpanan barang.

Masjid Al-Aqsa Pada Masa Shalahuddin Al-Ayyubi.

Ketika Shalahuddin al-Ayyubi berjaya merebut kembali al-Quds pada tahun 538 H/1187M. Fungsi Masjid al-aqsa dikembalikan semula, mihrab masjid diperbaharui kemudian dihiaskan dengan batu marmar kecil yang berwarna-warni, berwarna emas. Di datangkan mimbar yang di buat oleh Nuruddin Mahmud bin Zengki dari Halab, Syria. Ia merupakan mimbar terindah pada zaman itu dengan hasil tangang yang sangat halus. Mimbar itu rosak ketiak Yahudi membakar al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 M, dua tahun setelah Jerusalem ditawan oleh Yahudi.

Masjid al-aqsa Pada Masa Mamalik.

Terjadi beberapa kali pembaikan masjid al-Aqsa pada masa Mamalik. Yang terbesar adalah perbaikan yang dilakukan oleh raja Muhammad bin al-Mansur Qalawuun pada tahun antara 729-731 H/1328-1330 M. Raja Muhammad memperbaharui kubah Masjid al-Aqsa dan membina jendela-jendela pada bahagian kanan dan kiri mihrab.

Masjid al-aqsa Pada Masa Turki Utmaniah.

Pada masa pemenrintahan Turki uthmani, terjadi beberapa kali pembinaan, yang terbesar adalah kerja membaik pulih kubah yang dilakukan pada tahun 1233 H/1817M.

Selepas Masa Turki Uthmaniah

Selepas tahun 1922 M, terjadi beberapa kali pembangunan sebagai berikut:

1.Memperkukuh bahagian-bahagian yang rosak pada tahun 1922-1927 masihi, dengan menggantikan tiang-tiang penopang kubah masjid yang lemah dengan tiang yang baru. Memperbaiki laluan di sebelah barat daya yang hampir roboh dan juga atap-atapnya. Kos pembinaannya turut mendapat wakaf dari orang ramai seluruh dunia. Ia diketui oleh seorang arkitek Turki Jamaluddin Bek bersama beberapa orang arkitek dari palestin.

2.Pembianaan semula masjid as-aqsa pada tahun 1357-1363 H/1938-1943 Masihi, di bawah pengawasan al-Majlis al-Islami al-A'la dan dilaksanakan oleh para arkitek Mesir, setelah dua kali gempar bumi yang terjadi di negara tersebut pada tahun 1927-1936 M. Masjid al-Aqsa diterangi dengan menggunakan tenaga ekektrik untuk kali pertama pada tahun 1364 H/1945 M, yang mana sebelumnya hanya menggunakan minyak dan lilin sahaja.

Pembangunan Masjid Al-Aqsa Tahun 1969 M.

Terjadi peristiwa pembakaran masjid Al-Aqsa pada 21-8-1969 Masihi, yang mengakibatkan terbakarnya mimbar yang penuh sejarah, dan menghanguskan bahagian selatan serta melenyapkan kubah bahagian dalam dan zakharif (hiasan bunga dan al-Quran) yang menghadap mihrab. Sebahagian besar jendela-jendela masjid juga turut hangus. Sebuah organisasi setempat ditubuhkan yang diberi nama dengan "Organisasi Pembangunan Masjid al-Aqsa" yang berusaha untuk mengumpulkan dana dan sumbangan untuk pembangunan masjid. Hingga sekarang, masih terdapat organisasi yang menjaga al-Aqsa dan masjid-masjid sekitar yang menerima wakaf dari orang ramai.

Demikianlah, suka duka al-Aqsa. Semoga ia terus dipelihara Allah dan Allah datangkan orang-orang yang akan terus mengimarahkan masjid ini.

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"
Al-fakir ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
26 Mei jam 10.00 pagi

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...