Thursday, May 7, 2009

Diari 62 - Ukhwah Antara Benua

5 Mei 09, pukul 4 petang saya dijemput untuk ke Insya'at Institut. Ia merupakan tempat pengajian Islam bagi pelajar berumur 15 tahun ke atas. Pada pagi tadi saya telah melawat pusat pengajian bagi pelajar berumur 15 tahun ke bawah.

Seperti yang saya sangka, saya telah bertemu dengan sahabat saya dari al-Azhar Mesir iaitu Ustaz Urkhan Ghazi. Beliau juga di Kaherah dan tamat pada tahun 2003. Beliau menyambut saya penuh mesra dan ramah tamah. Saya dihidangkan dengan teh dan manisan Turki.

Setelah minum, tiba-tiba datang seorang pelajar membawakan pada saya jubah hitam dan serban para tok guru di Turki. Saya mengucapkan terima kasih tetapi sedikit terkejut. Rupanya dalam diam, ustaz Urkhan telah mengumpulkan para pelajarnya dengan mengumumkan seorang Ustaz telah datang dari Malaysia. Dia meminta saya menyampaikan kuliah pada para pelajarnya. Kuliah perlu di sampaikan dalam bahasa Arab.

"Hah.." saya terkejut.

Kalau di Malaysia ia perkara biasa. Dan ia tidaklah janggal kerana penyampaiannya dalam bahasa Melayu.

Jantung saya berdegup kencang apabila para Ustaz di sini mula mengiringi saya ke dewan kuliah. Lebih mendebarkan lagi apabila saya lihat puluhan pelajar-pelajar yang berserban dan berjubah dengan buku catatannya semua berdiri menyambut saya. Lagi mendebarkan apabila saya dijemput untuk duduk di atas tempat para Tok Guru mereka mengajar.

"Ya Allah, apa yang nak di sampaikan ni" bisik hati saya.

Majlis dimulakan dengan muqaddimah oleh Ustaz Urkhan. Selepas itu Ustaz Urkhan menjemput salah seorang pelajar untuk membaca al-Quran.

Kesempatan yang ada, terus saya capai pen, ambil buku saya, membaca fatihah dan berdoa dan terus saya tulis apa yang terlintas.

Tak sampai beberapa minit. Bacaan al-Quran tamat. Ustaz Urkhan menjemput saya menyampaikan kuliah.

"Ehem..." Saya membetulkan tekak. Hati saya hanya Allah yang tahu.

Saya memulakan dengan Salam dan muqaddimah kuliah. Kemudian saya membacakan sepotong ayat Quran:-

"Wahai manusia, sesungguhnya kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbagai kaum untuk kamu saling mengenali, sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa"


Saya mensyarahkan mengenai ukhwah di antara orang Islam. Saya bacakan Hadith mengenai :-

"tidak sempurna iman kamu hinggalah kamu mengasihi saudara kamu seperti kami mengasihi diri kamu sendiri"

Untuk membina ukhwah kita perlukan tiga perkara:-

1. Takhalus - saling ikhlas
2. Taaruf - saling mengenali
3. Taawun - saling membantu

Dengan ukhwah, para Sahabat r.a saling bahu membahu berjuang hinggalah kita dapat mengenal Allah, hingga hari ini kita dapat berkumpul dengan satu nama iaitu orang muslimin yang mencari keredhaan Allah.

Di hujung kuliah, saya menyatakan harapan, semoga kedatangan saya hari ini akan membuka pintu kerjasama pendidikan di antara anak-anak kita orang Islam di Malaysia dan di Turki.

Majlis diakhiri dengan doa.

Ya Allah, leganya hati saya. Sesungguhnya, Allah yang empunya ilmu dan sesungguhnya, kita hanyalah hamba yang lemah yang dipinjamkan pengetahuan kepada kita.

Ya Allah, kurniakanlah ilmu kepadaku dan pembaca yang berniat untuk meningkatkan ilmu. Ini satu perkataan yang keluar dari hati kecil saya ketika mengingati peristiwa semalam.


Selepas kuliah saya dijamu dengan minum petang di tingkat atas. Pemandangan sangat cantik. Institut Insya'at betul-betul terletak di teluk Golden Horn Istanbul. Burung pelaut terbang rendah. Kapal-kapal melintasi teluk ini.


Malam ini, saya bertamu di Institut mereka. Saya diberi satu bilik untuk berehat. Pada makan malam, saya dijamu dengan ikan bakar ala Turki. Rasanya boleh tahan. Kami membincangkan kerjasama pendidikan yang ingin dibuat. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Semoga kedatangan saya ke sini membuka ruang baru untuk pendidikan antara benua untuk kebaikan anak-anak Islam kita. Dengan ilmu kita akan menawan dunia dan dengan ilmu kita akan menawan akhirat.

"Diari, Merakam sejarah mencatat kenangan"

al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Istanbul Turki
6 Mei 09 jam 9.45 malam
Ustaz Urkhan, berdiri di sebelah saya mempengerusikan majlis
Sementara seorang pelajar membaca al-Quran, saya sibuk menyiapkan isi kuliah yang ingin disampaikan
Bergambar bersama para penuntut. Di kanan kiri saya para Ustaz dan guru di sini. Sesungghnya, Islam membentuk persaudaraan merentasi bangsa dan negara.

5 comments:

Anis Hartini Haron said...

wah... ad hoc speech.... dlm bahasa arab lagi.... bravo Utz Amin... you make the difference!

Hunny said...

salam ukhuwah dari benua asia..

Ustaz Amin said...

Bergoncang jantung siapa yang tahu...

Azri said...

Salam Ustaz

Ustaz tak tanya ke dia orang faham faham tak ? Gurau je ustaz.

Niat tu kena jaga. Macam kami yg keja biasa biasa ni kalu di suruh beri ucapan memang jantung berderau..tapi kalu dlm hati kita nak tunjuk kita terror, sia sia saja kan ?

Ustaz Amin said...

Terima kasih ingatkan. Semoga kita terus dibimbing Allah. Tanpa bimbingan Allah, sehebat mana manusia tetap akan hanyut juga.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...