5 Mei 09, penerbangan saya dengan Turkish Airlines dari Amman ke Istanbul dijadualkan pada pukul 6.45 pagi. Saya bertolak dari Suwaileh Amman pada jam 4 pagi. Seorang bernama Abu Ahmad bersetuju menghantar saya ke Queen Alia Airport dengan bayaran 25 JD (Jordan Dinar). Satu Dinar Jordan bersamaan dengan RM 5.
Di kaunter imigresen, saya dikehendaki membayar 10 JD kerana bayaran visa. Ketika sampai di sini, saya masuk dengan Group Visa, tetapi keluar tidak bersama kumpulan. Jadi group visa saya tidak dikira.
Kapal terbang bertolak tepat pukul 6.45. Dari tingkap saya melihat perlahan-lahan kapal terbang meninggi meninggalkan kota Amman. Penerbangan dari Amman ke Istanbul mengambil masa dua jam.
Jarak di antara kota Amman dan Istanbul adalah 1345 km dan kapal terbang Airbus A-320-200 ini membelah awan dengan gagahnya.
Setelah hampir dua jam, kapal mulai turun merendah. Dari tingkap, saya melihat keindahan kota Istanbul, kota khilafah Uthmaniyyah. Bunyi tayar terbuka dari badan kapal menandakan ia hampir mencecah bumi dan pada pukul 8.45 pagi kami semua selamat mendarat. Waktu di sini sama seperti di Amman, cuma cuacanya lebih sejuk sedikit.
Saya tidak mengenali sesiapa di sini, hanya ada satu nombor sahaja, orang yang saya pernah berhubung melalui telifon, Sherif Cetosan. Ramai sahabat-sahabat ketika belajar di Mesir dulu ada di sini, tetapi kami tidak pernah berhubung.
Urusan imigresen berjalan lancar cuma setiap pengunjung diberi sebuah pamplet mengenai wabak Selsema Swine yang sedang melanda banyak negara.
Ketika sedang menunggu beg, Sherif Cetosan menghubungi saya. Rupanya, dia menunggu saya di luar. Keluar dari terminal saya melihat seorang yang berkopiah hitam, gelagatnya terintai-intai orang yang keluar dari terminal. Mungkin dia tidak perasankan saya. Ini kerana saya keluar dengan group dari Turkeministan. Agaknya, muka saya tak macam orang Melayu jika jalan dengan kumpulan ini.
Saya yang menegur dulu, dia terkejut dan terus memeluk saya. Kemudian, Sherif memperkenalkan saya dengan sahabatnya Ali Haidar. Saya dibawa terus ke Institut Quran, dekat dengan masjid Al-Fateh. Kehadiran saya ke Istanbul ini ialah untuk mengadakan MOU dengan pusat pengajian di sini untuk anak-anak Yatim dan Tahfiz al-Ijabah.
Semuanya berjalan lancar. Di institut Quran, pelajar-pelajarnya berumur 15 tahun ke bawah. Mereka semua menghafaz al-Quran. Ada juga beberapa orang yang berumur lebih menumpang menghafal sini. Sejuk hati saya melihat kesungguhan mereka menghafal al-Quran. Anak-anak sekecil 8 tahun yang sudah menghafal 15 juzuk, yang berumur 10 tahun sudah hampir habis menghafaz. Semuanya berjubah putih dengan serban di kepala.
Saya dihidangkan dengan sarapan roti bersama madu dan sayur goreng ala Turki. Kami semua berbual-bual mengenai keadaan Islam di Turki. Menurut mudir instituti ini, 10 tahun dahulu, kerajaan melarang secara rasmi pengajian al-Quran. Mereka semua belajar di rumah masing-masing. Sekarang, apabila parti Islam telah memerintah, tumbuh bak cendawan sekolah-sekolah agama. Ramai orang yang menghantar anak-anak ke sekolah agama. Pemakaian tudung juga telah meningkat dan masjid mulai hidup.
Saya melihat, kebangkitan Islam di mana-mana. Semua orang mahukan Islam. Di Malaysia sendiri, anak-anak muda, rata-rata mahukan Islam. Orang yang menolak Islam sudah mulai terpinggir. Bukan sahaja di Malaysia, malahan di dunia. Benarlah janji Nabi saw, Islam pasti akan gemilang sebelum kiamat berlaku.
Setelah semua selesai, saya diajak untuk berjalan-jalan di sekitar Istanbul. Sherif Citosan mengajak saya berjalan di Grand Bazar di sini.
“Berapa hari kamu akan berada disini? ” tanya Sherif
“Tiga” jawab saya.
“Itu tak cukup, kalau di sini paling kurang seminggu” Sherif menyambung.
“InsyaAllah lain kali. Kali ini saya hanya mahu ziarah pusat pendidikan sahaja” terang saya.
Sherif menganggukkan kepala tanda memahami hasrat saya. Petang ini, saya ada satu lagi pertemuan. Petang ini dengan pusat pendidikan untuk 15 tahun ke atas.
“Diari, merakam sejarah mencatat kenangan”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Istanbul Turki
6 Mei 09 jam 9.00 malam
Para pelajar berumur 15 tahun ke bawah di Institut al-Quran
Blog yang membicarakan mengenai perjalanan kembara dakwah, soal-jawab agama, masalah rumah tangga, keluarga dan rakaman rancangan Usrah TV9, Tanyalah Ustaz TV9, IKIM.fm Persona de Zahra, Al-Kuliyyah TV3, rumah kebajikan anak yatim dan hiv, juga undang-undang keluarga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...
-
Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr . Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara per...
-
7 April 2012, saya bersama dengan ahli rombongan ke Ben Yehuda St, penempatan orang Yahudi di Jerusalem ini. Nama jalan ini diambil sempena ...
-
“Mmm, ustaz, boleh tak ceritakan bagaimana Nabi Yahya dibunuh” Tanya seorang anak murid pada saya. Rupanya ada yang mengikuti kisah Nabi ...
No comments:
Post a Comment