24 April 09 dan 1 Mei 09 merupakan hari kami bersembahyang Jumaat di masjid al-Aqsa. Kedua-dua hari ini mempunyai pengalaman yang berbeza.
Pada Jumaat 24 April, kami mulai masuk ke Jerusalem menuju ke al-Aqsa. Dari kejauhan kami melihat empat orang tentera siap dengan senapang menjaga pintu masuk ke al-Aqsa. Mereka menahan orang-orang muda dan membiarkan hanya orang tua sahaja yang memasuki al-Aqsa.
Bagi orang muda, jika tentera yahudi membenarkan, mereka boleh masuk. Jika askar ini tidak membenarkan, mereka akan beredar dan akan mencuba pintu lain pula. Untuk masuk ke dalam masjid yang penuh barakah ini, kita boleh menggunakan 10 pintu.
Kami bertujuh mulai menghampiri pintu al-Aqsa. Seorang tentera menahan kami. Tiga dari kami mempunyai kamera besar dan disandang di bahu. Pada ketika itu, imam sudah memulakan bayannya (ceramah sebelum Jumaat). Ketika melihat kami, mereka tidak membenarkan kami masuk. Mereka mahu melihat surat pengesahan perjalanan kami di sini.
Nasir pemandu kami pula telah meninggalkan surat tersebut di dalam bas. Kami mula merayu untuk masuk. Askar ini tetap berkeras dan memerintahkan Nasir membawa kertas pengesahan perjalanan kami.
Dia membisikan pada Nasir dalam bahasa Arab:-
"Hari ini, aku nak susahkan mereka ini"
Saya yang memahami apa yang diperkatakan hanya memandang dengan hati yang mula mendongkol.
Seorang Arab tua yang lalu, berkata pada askar ini:-
"Biarlah mereka masuk, mereka datang dari jauh. Mereka tidak akan membuat kacau", dia merayukan bagi pihak kami.
Askar Yahudi ini buat tak tahu sahaja.
Kami duduk di tepi kawasan tembok setinggi enam meteri di al-Aqsa ini sementara itu, Nasir kembali ke bas untuk mengambil pengesahan perjalanan.
Ketika menunggu, tiba-tiba ramai orang lalu. Mereka membawa jenazah untuk disembahyangkan di al-Aqsa.
"Nak aje selet di tengah-tengah ramai orang yang ke al-Aqsa ini." bisik hati saya.
Tak lama selepas itu, Nasir kembali dan mengajak kami untuk cuba masuk sekali lagi.
Kali ini mereka tidak membenarkan kami masuk juga. Mereka menyuruh kami meninggalkan kamera yang kami bawa.
"Aduh, nak letak kat mana kamera ni. Nak balik ke bas jauh. Kenapa tadi tak cakap", bisik hati saya.
"bolehlah, kami datang dari jauh ni. Tak tahu lagi bila akan sampai. Benarkanlah kami masuk dengan kamera ini". saya memujuk askar yahudi ini.
"Biaklah, kamera kamu sahaja boleh, yang lain tak boleh. Yang lain boleh tinggalkan di mana-mana," jelas askar yahudi ini.
Antara kami ada yang menggeleng kepala tanda tak tahu apa lagi nak diperkatakan. Pada ketika itu, Nasir terus ke sebuah kedai, meminta jasa baiknya untuk dia tumpangkan segala kamera kami. Mujurlah tuan kedai berbangsa Arab itu menerimanya.
Untuk kali ketiga, kami cuba masuk. Kali ini sekali lagi dia menahan. Kali ini askar ini menyuruh kami membaca surah al-Fatihah. Ia untuk memastikan bahawa kami semua adalah Islam.
Setelah selesai barulah mereka mengizinkan kami memasuki al-Aqsa. Dengan doa dan kesyukuran kami memasuki al-Aqsa.
Beruntungnya kita. Masjid sentiasa terbuka tanpa halangan untuk dipenuhi. Tetapi adakah ia dipenuhi? Kenapa agaknya. Boleh bincangkan?
1 Mei 09, kami sudah ada pengalaman mengenai kamera di al-Aqsa. Jumaat kali ini kami datang lebih awal. Semua kamera tidak lagi disandang di atas bahu. Diletakkan di dalam beg dan dibungkus dengan kain.
Saya tidak membawa beg. Hanya plastik hitam kecil yang saya letakkan atas bahu. Di bahagian atas sekali, saya meletakkan buku saya, kemudian kain pelekat yang membungkus kamera.
Kali ini, teknik kami berjaya. Kami hanya ditahan seketika dan apabila tentera membuka beg, hanya pakaian sahaja di atas. Jumaat kedua, semua kamera dapat dibawa masuk.
Di dalam al-Aqsa tidak seperti di masjid al-haram. Di Masjdil Haram, kita dilarang mengambil gambar. Di sini, kami disuruh untuk mengambil gambar banyak-banyak. Ini supaya gambaran al-Aqsa dapat dilihat oleh dunia luar. Ramai masyarakat di luar tidak dapat melihat al-Aqsa dari dekat. Tidak semua kamera dapat melepasi chek point tentera.
Berlainan dengan keadaan untuk masuk ke Masjid Khalilil Rahman di Hebron. Ia lebih ketat.
25 April 09, sesampainya kami di masjid ini, kami terpaksa melalui dua "Metal Detector". Semua barang besi hendaklah dikeluarkan. Pintu pertama "metal detector" dijaga oleh tentera. Memasukinya seperti stadium, beratur dengan pagar besi di kanan dan kiri, pintu mempunyai halangan besi. Hanya seorang sahaja dalam satu-satu masa boleh lalu. Pintu kedua sama, cuma kali ini ia dijaga oleh empat orang tentera. Setiap barang besi hendaklah dikeluarkan dan diletakkan diatas satu tempat. Salah seorang tentera akan membelek setiap barang besi. Dia akan membelek jam, menggoyangkannya membelek lagi sebelum dipulangkan kepada kami. Agaknya, barang besi sekecil jam pun mampu membuat bom.
Setelah selesai semua barang besi diperiksa, kami melalui satu lagi post pengawal. Mereka tidak memeriksa hanya memerhati dengan pandangan yang tajam. Di kanan dan kiri masjid Khalilil Rahman terdapat menara yang dikawal oleh tentera. Keadaan jalan masuk di masjid ini sama ketat seperti di airport.
Kenapa lebih ketat? Kerana kita berkongsi masjid dengan orang yahudi. Di masjid Khalilil Rahman terdapat enam makam.
Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah. Nabi Ishak dan isteriya Rifqah (Rebecca) , Nabi Yaakub dan isterinya Liqiyyah (Liyah).
Nabi Yaakub dan isterinya Liqiyyah di anggap sebagai bapa Bani Israel. Jadi, makamnya sekarang, hanya boleh dilawati 10 hari sahaja setahun. Ia pada hari-hari kebesaran Islam. Yang lain, semuanya untuk orang Yahudi.
Kawalan di sini lebih ketat kerana mereka takut, orang Islam akan membunuh orang Yahudi.
Ye ke? Dalam sejarah, tidak pernah orang Islam di sini membunuh orang yahudi yang ingin melawat makam Nabi Yaakub, tetapi dalam sejarah, orang yahudi pada tahun 1994 telah menembak jemaah yang sedang menunaikan solat subuh. Lebih 300 orang cedera dan 29 lagi syahid ketika sedang sujud menyembah Allah. Hasil dari kejadian itu, yahudi mahu makam Nabi Yaakub dan isterinya diserahkan pada mereka.
Jika itu yang mereka mahu, kenapa perlu menjandakan isteri dan menyatimkan anak kecil. Mereka tidak bersejata. Mereka ke masjid untuk menunaikan solat seperti biasa. Jika mahu pertarungan yang adil, bertarunglah sebagai anak lelaki yang sejati.
Tapi inilah keadaannya apabila negara umat Islam dikuasai dan diperintah oleh orang bukan Islam. Cuba lihat saudara kita di tempat lain, di Thailand contohnya, orang Islam ditembak tanpa mampu berbuat apa-apa.
Adakah kita boleh mengharapkan negara ini diperintah oleh orang yang bukan Islam? Adakah orang bukan Islam boleh diharapkan untuk membela agama kita? Dan adakah orang lain akan setoleransi umat Islam.
Jawapannya ada pada sejarah, jawapannya ada di depan mata kita. Jawapannya, ada di dalam dada kita semua.
"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"
Al-Fakri Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
17 Mei 09, jam 10.30 pagi
Lorong-lorong menuju masjid Khalilil Rahman di Hebron, masjid dan makam nabi Ibarahim a.s
Blog yang membicarakan mengenai perjalanan kembara dakwah, soal-jawab agama, masalah rumah tangga, keluarga dan rakaman rancangan Usrah TV9, Tanyalah Ustaz TV9, IKIM.fm Persona de Zahra, Al-Kuliyyah TV3, rumah kebajikan anak yatim dan hiv, juga undang-undang keluarga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...
-
Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr . Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara per...
-
7 April 2012, saya bersama dengan ahli rombongan ke Ben Yehuda St, penempatan orang Yahudi di Jerusalem ini. Nama jalan ini diambil sempena ...
-
“Mmm, ustaz, boleh tak ceritakan bagaimana Nabi Yahya dibunuh” Tanya seorang anak murid pada saya. Rupanya ada yang mengikuti kisah Nabi ...
No comments:
Post a Comment