Monday, May 18, 2009

Universiti Kehidupan 68 - Mengenal Masjid Dua Keturunan - Masjid Khalilil Rahman, Hebron

Hebron adalah nama lain bagi al-Khalil iaitu satu tempat yang dinisbahkan dengan nama Ibrahim a.s. Ia merupakan kawasan yang tinggi iaitu 1000 meter dari paras laut. Pada musim sejuk, tempat ini akan dilitupi dengan salji.

25 April 09, kami serombongan menuju ke Hebron.Ia sebuah wilayah di bawah jagaan Palesitn. Oleh kerana ia di bawah Palestin, maka jika kita terputus duit, orang dari Malaysia boleh mengirimakan duit melalui Western Union yang terdapat di sini. Tetapi, jumlahnya tidak lebih dari 2500 USD sekali transaksi. Jika di wilayah Israel, tidak ada kemudahan begini. Ini kerana, di wilayah Israel, banyak negara-negara tidak mempunyai hubungan dengan mereka.

Kami melalui kem perlarian al-Arub. Apabila disebut kem pelarian, ia bukanlah khemah-khemah perlarian seperti di dalam peperangan, ia adalah kawasan penempatan baru bagi penduduk Palestin yang tanah mereka dirampas. Mereka duduk di rumah-rumah pangsa siap dengan kemudahan air dan letrik. Di sini juga terdapat sekolah dan kawasan kedai.

Di Palestin ini, mudah untuk kita mengenal kem pelarian. Biasanya, di kem ini mempunyai pejabat United Nation (UN) yang akan menjaga pembelajaran anak-anak Palestin.

Untuk sampai ke Hebron, kami melalui banjaran Judian. Di dalam bahasa Arabnya ia disebut sebagai Jabal Yahuda. Saya merasa pelik dengan nama tempat ini. Saya bertanya pada Nasir:-

"Kenapa mereka menamakan banjaran ini dengan Jabal Yahuda. Ia seolah-olah mengiktiraf bahawa kawasan pergunungan ini adalah kawasan mereka yang asal"

"Memang, orang Yahudi telah banyak memberi nama-nama baru dengan nama mereka di sini. Dahulu, kawasan pergunungan ini bernama "Jabal al-Quds", terang Nasir ringkas.

Begitulah Yahudi, mereka akan menamakan sesuatu tempat dengan nama mereka. Apabila generasi berpindah ke generasi seterusnya, maka akhirnya orang akan mengiktiraf nama baru itu.

Untuk sampai ke Hebron, kami melalui satu kawasan bernama "Hul-Hul", di sini adalah tempat Nabi Yunus a.s, terdapat makamnya Nabi Yunus di sini.

Di dalam perjalanan, saya memerhatikan kenderaan yang kami temui. Ada tiga warna flat kereta di sini, kuning, putih dan hijau. Saya bertanyakan kepada Nasir, apakah bezanya ketiga-tiga flat kereta ini.

Nasir menerangkan, warna kuning ialah kereta yang didaftarkan di wilayah Israel. Warna putih adalah kereta yang didaftarkan di wilayah Palestin dan warna hijau adalah kenderaan awam.

"Aik, warna pun ada beza ke?" Tanya saya pada Nasir.

"Memang beza, tapi kami dengan Israel sebenarnya sepupu, Mereka dari keturunan Nabi Ishak bin Nabi Ibrahim, kami dari keturunan Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim. Tapi, sepupu yang jahat, kalau kamu hendak sepupu saya, saya jualkan dengan harga 10 USD sahaja," kata Nasir sambil ketawa.

Hebron terkenal dengan orang Palestin yang paling keras tetapi paling mengamalkan agama. Di sini, kita tidak akan jumpa orang perempuan yang tidak memaki tudung, semuanya tertutup. Orang Hebron juga pandai berniaga. Barangkali, seperti orang Tataristan dan Checnya di Rusia dan orang Kelantan serta Aceh di Nusantara.

"Di sini, kalau kamu paku dinding, tiba-tiba paku itu tak boleh tembus, mesti ada orang Hebron tengah tahan dengan kepala dia" Nasir cuba menggambarkan keadaan orang di Hebron.

Pemandu Coster hanya tergelak sahaja, Namanya Soleh. Dia berasal dari Hebron. Sekali- sekala dia memandang kami dengan cermin pandang belakangnya sembil tersenyum. Dia gembira bersama kami. Ini kerana biasanya, dia membawa pelancong Kristian. Dalam tahun ini, baru dua kali dia membawa rombongan muslim.

Ada dua tempat yang paling terkenal di Hebron ini. Pertama Masjid Khalilil Rahman yang menepatkan enam makam iaitu Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah, Nabi Ishak dan isterinya Rifqah (Rebecca) serta Nabi Yaakub dan isterinya Liqiyyah (Liyah).

Tempat kedua ialah pokok yang ditanam oleh Nabi Ibrahim. Di pokok ini, Nabi Ibrahim sering menerima wahyu.

Masjid Khalilil Rahman ada sebelum kedatangan Islam lagi. Dahulu, Rom membuat sebuah bangunan untuk melindungi enam makam ini. Terdapat batu bersurat di dalam tulisan Rom kuno oleh Queen Helani dari Byzantin di dalam masjd ini.

Setelah kedatangan Islam, tempat ini dibuat masjid. Masjid ini kemudian dibaharui pada kurun ke 13 masihi oleh kerajaan Mamaluk. Batu mar-mar tiga warna iaitu merah, hitam dan putih yang menjadi identiti kerajaan Mamaluk menghiasi masjid ini.

Masjid ini, dibina di atas sebuah gua, iaitu tempat asal rumah Nabi Ibrahim a.s. Sekarang kita boleh melihat gua ini melalui lubang kecil dari dalam masjid. Lubang sedalam 15 meter ini dipasang dengan lampu. Kita boleh melihat kawasan rumah asal Nabi Ibrahim a.s ini.

Mihrab masjid ini sudah berumur lebih 1200 tahun. Ia dibina sejak zaman kekhlifahan Umayyah lagi. Mimbar di sini telah berumur hampir 1000 tahun. Ia dibawa oleh Salahuddin al-Ayubi dari Halab (Aleppo) Syria setelah mengalahkan tentera salib. Batu-batu dinding masjid ini berumur 700 tahun iaitu dari kerajaan Mamaluk Mesir. Batu-batu ini dibawa dari sana. Di tepi mihrab terdapat lilin lama yang dihadiahkan oleh Sultan Abdul Hamid dari Khalifah Uthmaniah. Cuba bayangkan, berapa juta manusia pernah bersembahyang di sini. Berapa ribu quran pernah dikhatamkan di sini. Kalau di Malaysia, pasti setengah orang sudah menganggap masjid ini masjid keramat.

Melihat masjid lama seperti ini, hanya satu sahaja yang saya renungkan. Ia masih masih lagi digunakan. Bermakna, orang yang membina masjid ini masih menerima pahala walaupun mereka telah mati ribuan tahun lalu.

Nabi pernah mengatakan:-

"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amalannya keculai tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan."

Semoga Allah memberi kita peluang untuk membuat amalan yang terus kekal pahalanya, amin..

Pada tahun 1994, seorang Yahudi bernama Barukh Goldistine memasuki masjid ini. Ketika itu, ahli kariah sedang menunaikan solat subuh. Dia menembak jemaah yang sedang solat. 29 jemaah mati dan 300 lain cedera.

Saya bertemu dengan seorang jemaah bernama Abu Hani. Beliau antara jemaah yang sedang solat ketika kejadian berlaku. Beliau menceritakan kepada saya keadaan detik-detik kejam itu berlaku.

Seperti biasa, Barukh Goldistine ditangkap, dibicarakan dan dilepaskan dengan alasan pada ketika itu dia kurang waras.

Kesan dari peristiwa ini, pihak Yahudi memagar makam Nabi Yaakub dan isterinya dan memperuntukkan bahawa tempat ini adalah untuk orang yahudi sahaja. Makam ini hanya dibuka untuk orang Islam sepuluh hari sahaja dalam setahun iaitu pada awal Muharam, hari raya Aidul Fitri dan Aidul Adha, tiga hari Tasyrik dan 4 kali jumaat pada bulan Ramadhan.

Beginilah keadaan di sini. Tetapi apa yang boleh dibuat. Negara Islam sendiri tidak banyak yang membantu saudara Islamnya sendiri. Arab Saudi hanya berdiam diri ketika Gaza diserang. Ketika Iran membantu, keluar fatwa dari ulama Saudi bahawa orang Gaza telah mula cenderung ke syiah sebab itu, tak perlu kita bantu mereka.

Di masjid al-Haram, doa untuk Palestin digugurkan. Imam yang cuba membaca, akan digam sementara. Ini belum Mesir lagi. Sepadan ditutup, bantuan ubat dan makanan hanya sedikit dibenarkan untuk melepasi sepadan Mesir-Palestin.

Semoga generasi muda akan sedar hakikat ini. Ukhwah itu penting, kerana ia membawa kepada keredhaan Allah dan redha Allah yang kita buru untuk keselamatan di dunia dan di akhirat.

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
18 Mei 09 jam 8.20 pagi.
Lubang gua, rumah asal Nabi Ibrahim a.s
Kita boleh melihat gua ini melalui lubang kecil ini
Mar-mar dari kerajaan Mamaluk yang dibawa dari Mesir
Mimbar yang dibawa oleh Salahudin al-Ayubi
Mihrab dari zaman Umayyah
Bekas peluru pada kejadian 1994
Batu bersurat dari zaman Rom di dalam masjdi ini.
Batu bersurat dari zaman kerajaan Mamaluk Mesir
Dalam masjid. Di kiri dan kanan ialah makam Nabi Ishak dan isterinya Rifqah (Rebecca)
Bersama Abu Hani, orang yang ada ditempat kejadian ketika Barukh Goldistine menembak mati 29 jemaah yang sedang menunaikan solat subuh. Lebih 300 jemaah cedera.
Tazkirah selepas solat
Di sebalik dinding ini, makam Nabi Yaakub dan isterinya Liyyah. Sekarang orang Islam tidak boleh masuk lagi ke sini. Nabi Yaakub dinisbahkan sebagai bapa Bani Israel.
Suasana dalam masjid.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...