30 April 09, saya dan rombongan memasuki kota Jerusalem melalaui Zion Gate (Bab Nabi Daud atau Bab Shahyoun). Nasir pemandu pelancong kami menunjukkan bekas lubang-lubang peluru di Zion Gate.
"Ketika Yahudi cuba menawan Jerusalem pada tahun 1967, di sinilah kubu terakhir tentera Islam. Ramai yang syahid pada ketika itu,". jelas Nasir sambil menunjukkan lubang peluru di Zion Gate.
Pada tahun 1948, Israel hanya dapat menawan sebahagian kecil dari tanah Palestin tetapi cukuplah untuk mengisytiharkannya sebagai sebuah negara. Pada tahun 1967, mereka berperang dan mengalahkan lima negara sekaligus iaitu Palestin, Mesir, Syria, Lubnan dan Jordan. Pada tahun inilah, kota al-Aqsa berada di bawah tangan mereka dan beberapa kali masjid ini telah dibakarnya.
Yahudi sedang mempromosikan Israel Raya iaitu satu negara besar mereka bermula dari Iraq ke Mesir, Madinah, Syria, Jordan dan Lubnan. Ini kerana, negara-negara ini mempunyai sejarah berkaitan dengan mereka. Peta Israel Raya telah dicop dan terdapat di syiling 10 sen mereka.
Kami memasuki pintu Zion Gate. Di satu sudut, saya terpandang sebuah besi lurus sepanjang sejengkal. Saya bertanya Nasir mengenainya.
"Oh, ini dipanggil Me'zuzah. Di dalamnya terdapat kitab Taurat kecil mereka. Mereka percaya bahawa Me'zuzah akan memberi kebaikan kepada mereka. Setiap kali mereka melalui pintu mereka akan memegang Me'zuzah ini dan dan kemudian tangan yang menyapu Me'zuzah ini akan diciumnya." Terang Nasir.
"Semua Yahudi buat macam tu ke?" Tanya saya ingin tahu lebih lanjut.
"Ya, walaupun mereka orang moden, mereka tetap percaya pada Me'zuzah. Orang yahudi memang percaya pada perkara-perkara ghaib dan mistik," Nasir menerangkan pada saya.
Setelah mengenal Me'zuzah, saya memerhatikan disetiap kedai yahudi di sini. Memang ada ditampal Me'zuzah walaupun mereka orang moden dan ahli perniagaan besar.
Orang Yahudi, walaupun kita lihat moden, mereka cukup mempercayai perkara-perkara ghaib.
Mereka percaya mengenai "Tabut" iaitu kotak yang menyimpan barang-barang Nabi Musa dan kitab Taurat. Mereka percaya, jika mereka mempunyai "Tabut" ini, mereka tidak akan kalah di dalam peperangan.
Mereka percaya bahawa harta Nabi Sulaiman ada tertimbus di sekitara al-Aqsa. Mereka caba menggali sebuah lubang dari Walling Wall ke arah al-Aqsa. Mereka percaya dengan penemuan harta Nabi Sulaiman, mereka akan dapat memerintah dunia.
Pada hari Sabtu, bandar Jerusalem akan agak lengang. Ini kerana mereka yakin bahawa hari itu hari rehat mereka. Jika mereka tidak rehat mereka akan menerima bencana.
Hinggakan perkhabaran Nabi saw mengenai mereka pun mereka ambil perhatian. Nabi saw pernah menyatakan bahawa:-
"Tidaklah akan berlaku qiamat, sehingga kaum Muslimin memenangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi disebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata, "Hai orang Islam, inilah orang Yahudi ada di belakang saya. Kemarilah! Dan bunuhlah ia! , kecuali pohon gharqad (semacam pohon yang berduri), kerana sesungguhnya pohon ini adalah dan pohon Yahudi (oleh sebab ini ia melindunginya).
Mereka menanam pokok gharqad ini, di tempat tinggal mereka, di tepi jalan dan di mana-mana.
Hairankan? Kenapa mereka boleh percaya sebahagian dari hadith tetapi mereka menolak sebahagian.?
Inilah sifat mereka. Allah memang telah memberitahu kita mengenai sikap mereka di dalam al-Quran:-
Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. Al-Baqarah ayat 85
Ayat ini menyelar orang yahudi yang mengubah kitab dan mempercayai sebahagian-sebahagian. Yang beriman tidak termasuk di dalam ayat ini. Ini kerana ramai juga ahli kitab yang kemudian beriman, masuk Islam setelah mendapat hidayah dan melihat keindahan Islam. Hingga saat ini pun, ada di antara orang Israel yang kembali kepada Islam.
Apa agaknya yang kita fikirkan selepas membaca ayat di atas?
Yahudi memang jahat, memang patut ditimpa kehinaan, yahudi memang laknat dan sebagainya.
Apa sebab itu semua? Sebab mereka menerima sebahagian kitab dan merubahnya.
Tapi, adakah kita perasan, kita orang Islam juga ada yang berperangai seperti ini. Sedar atau tidak, kita orang Islam yang juga ada yang mempercayai sebahagian dari al-Quran dan menolak sebahagian yang lain. Rasa atau tidak, kita orang Islam, ada juga yang merubah kitab seperti mana yang dilakukan oleh orang Yahudi? Jadi. apa bezanya kita dengan yahudi?
Melihat cara berfikir yahudi dari dekat, menyedarkan kita. Sesungguhnya Islam bukannya agama yang membenci bangsa. Islam menyelar kekufuran. Walau apa bangsa pun, jika kufur maka termasuk di dalam celaan Allah.
Bagi Israel yang Islam, mereka tidak pernah dikutuk oleh al-Quran, malahan al-Quran menyatakan bahawa mereka adalah golongan yang baik dengan Islam, Allah berfirman:-
46: Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): "Kami dengar", (sedang mereka berkata dalam hati): "Kami tidak akan menurut". (Mereka juga berkata): "Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk", serta (mereka mengatakan): "Raaeina"; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela ugama Islam. Dan kalaulah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami", tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antara mereka). Al-Baqarah ayat 46.
Kehinaan Yahudi apabila mereka mengubah apa yang diturunkan Allah. Oleh itu, janganlah kita termasuk di dalam golongan yang berperangai seperti ini. Semoga Allah yang Maha Pengasih sentiasa membimbing kita dan memberi kekuatan pada kita untuk menerima setiap apa yang disampaikanNya. Semoga dengan iman kita hidup, dengan iman kita mati dan dengan iman kita dibangkitkan. Dengan iman juga kita dimasukkan ke syurga. Amin…
"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
13 Mei 09 jam 10.15 malam
Mereka beriman pada sebahagian kitab. Gambar menunjukkan mereka mengutip derma untuk orang susah
Pembinaan kuil ketiga Yahudi, di atas al-Aqsa. Ini idaman mereka.
No comments:
Post a Comment