Monday, May 25, 2009

Universiti Kehidupan 73 - Pertukaran Antara Tanah Dan Darah

27 April 09, kami serombongan meninggalkan Jerusalem untuk pergi ke Nazareth melalui Tel Aviv, Jaffa, dan Haifa.

Di pertengahan jalan, banyak bendera yang dipasang dan dinaikkan separuh tiang. Saya bertanya kepada Nasir mengenainya. Beliau menerangkan:-

"Hari ini merupakan hari berkabung buat orang Yahudi. Mereka memperingati tentera Israel yang terkorban. Bendera akan dinaikkan separuh tiang. Pada 29 April, mereka akan menaikan bendera sepenuhnya dan menyambut hari kemerdekaan mereka. Hari pembentukan Israel secara rasmi pada tahun 1948"

"Ya, saya juga merasa sedih, kerana hari ini tentu ramai tentera Islam yang syahid di dalam mempertahankan tanah air mereka," kata saya.

"Ya, nanti, saya akan tunjukkan kubu pertahanan yang dapat ditawan kembali oleh tentera Islam dan membantutkan kemaraan Yahudi ke Jerusalem pada 1948. Ia terletak antara Jerusalem dan Tel-Aviv. Ia bernama Castel. Selepas tumbangnya kubu ini pada tahun 1967, maka Israel dengan mudah sampai ke Jerusalam dan menawannya." Terang Nasir lagi.

Saya memerhatikan di luar tingkap. Terbayangkan, 61 tahun dahulu, bagaimana saudara seIslam kita syahid di sini.

Perjalanan kami melalui kawasan lembah-lembah subur. Jerusalem terletak di atas gunung setinggi 850 meter dari paras laut. Meninggalkannya bermakna kami terpaksa melalui jalan-jalan curam dan lembah-lembah subur. Kami melalui lembah Sarar, satu lembah yang terdiri dari batu-batu bulat yang kecil. Air sungai yang deras membentuk batu-batu ini menjadi bulat.

Kemudian, kami melalui Bait Ma'eer, iaitu satu penempatan Yahudi yang radikal. Kelompok Yahudi di sini terlibat dengan peperangan akhir di Castel iaitu satu laluan stratigik yang ditawan kembali oleh Abdul al-Qader Husayni, seorang pejuang yang berjihad mempertahankan bumi barakah ini.

Kami melintasi Castel, di kanan dan kirinya terdapat bangkai kereta kebal-kereta kebal yang disusun dengan diselubungi bendera Israel. Ia adalah kereta kebal yang tumpas di tangan Abdul Kader Husaini pada tahun 1948.

Ketika Bristish meninggalakan Palestin pada tahun 1947, mereka dengan sengaja meninggalkan pada askar Yahudi senjata-senjata berat untuk menawan Palestin. Para pejuang Islam hanya bersenjata ringan berjuang bersungguh-sungguh untuk memburu kemenangan terhadap musuh atau syahid. Darah yang tersimbah tidak sia-sia bagi mereka.

Abdul al-Qader Husayni ialah seorang pejuang yang berani dari kumpulan Munazzamat al-Jihad al-Muqaddas. Pada peperangan akhir 1948, yahudi telah dapat menawan banyak tempat. Di antaranya ialah Castel, laluan stratigik untuk menawan Jerusalem.

Bagi menahan kemaraan yahudi ke Jerusalem, Abdul al-Qader Husayni telah bertekad untuk mengambil kembali laluan stratigik Castel. Sebelum turun ke medan jihad, Abdul Kader Husaini sempat menulis surat kepada isterinya di Mesir,:-

"Tanah ini dipunyai oleh orang yang berani, ia adalah tanah nenek moyang kita, di atas tanah ini, Yahudi tidak boleh mendakwa, bagaimana aku boleh tidur sedangkan musuh ini telah semakin hampir, sesuatu telah membakar di dalam jiwaku, tanah airku sekarang memanggil ku"

Pada malam peperangan jihad ini, Abdul al-Qader Husayni berkhutbah kepada pengikutnya:-

"Saudara, kita ada tiga pilihan, pergi ke Iraq sebagai orang pengecut, membunuh diri sebagai orang berputus asa atau kita mati dengan memberi tentangan di sini. Kita akan menawan kembali Castel"

Perjalanan mereka ke Castel disemarakkan dengan laungan takbir.

Abdul al-Qader Husayni berjuang bersama sahabat-sahabat yang setia pada malam itu. Walaupun bilangan yahudi terlalu ramai dan bantuan tidak putus-putus tiba, ia tidak melemahkan semangatnya.

Setelah beberapa hari bertarung, akhirnya, pada malam 8 April 1948, Castel dapat ditawan kembali, laungan takbir bergema di sana sini.

Orang-orang Arab di Jerusalem dimaklumkan mengenai tumpasnya yahudi di Castel. Mereka semua menyambut kemenangan itu dengan penuh syukur. Gerakan yahudi terbantut apabila Castel berjaya ditawan kembali.

Kegembiraan itu tiba-tiba terhenti apabila Haganah's Arabic-Language Radio (radio Israel) mengumumkan bahawa seorang Arab telah terbunuh. Walaupun yahudi kalah di Castel, tetapi merek berjaya membunuh musuh mereka yang paling digeruni. Mereka menceritakan ciri-ciri tubuh yang berada di tangan mereka ini pada malam itu. Orang yang mempunyai raut muka yang putih bersih, mempunyai janggut nipis yang rapi dan terdapat al-Quran di dalam poket di dadanya. Orang itu adalah Abdul al-Qader Husayni.

Jenazah yang kemudian ditinggalkan disempurnakan sebagai seorang yang syahid. Tubuhnya dipenuhi lubang peluru, semuanya di bahagaian dada. Tidak satu pun dari bahagian belakang. Pertempuran mempertahankan Castel dibayar dengan syahidnya pejuang ini.

21 hari selepas tumpasnya tentera yahudi di Castel, mereka mengisytiharkan penubuhan negara mereka. Mereka berputih mata kerana mengisytiharkan negara tanpa Jerusalem yang mereka cita-citakan.

Laluan ke Jerusalem terus dipertahankan hinggalah ia dapat ditawan pada tahun 1967, 19 tahun kemudian. Dengan tumpasnya Castel, akhirnya, Jerusalem dapat ditawan.

Semoga semangat mempertahankan agama, dan negara yang ditunjukkan oleh para pejuang yang syahid bersama Abdul al-Qader Husayni menyuntik semangat buat kita, bahawa, seorang muslim, akan berjuang dengan kesungguhan yang luar biasa. Jika mereka kalah sekalipun, kalah dengan memberi tentangan yang hebat pada musuhnya. Bukan hidup sebagai seorang pengecut dan mati sebagai seorang hamba.

Al-Fatihah untuk seluruh pejuang yang gugur di pertempuran Castel dan seluruh muslimin muslimat sekelian yang mencintai agama mereka.

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"
Al-fakir ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam 25 Mei jam 9.00 malam
Abdul al-Qader Husayni, di tengah.
Abdul al-Qader Husayni, seorang yang mempunyai raut muka yang putih bersih, mempunyai janggut nipis yang rapi dan sentiasa terdapat al-Quran di dalam poket di dadanya

Menuruni cerum meninggalkan Jerusalem
Jalan meningggalkan Jerusalem
Lembah Sarir
Castel, tanah yang menyaksikan kemenangan Muslim terhadap Yahudi pada tahun 1948
Bendera yang dikibarkan untuk hari kemerdekaan Israel
Bangkai kereta kebal di kanan dan kiri di Castel.