Friday, May 22, 2009

Universiti Kehidupan 71 - Bagaimana Yahudi Menguasai Amerika?

1 Mei 09, hari ini merupakan hari Jumaat kedua kami di al-Aqsa. Pagi ini, kami berjalan-jalan, menerokai ke segenap penjuru kota Jerusalem lama. Di dalam kota ini sekarang terdapat banyak kedai membeli belah.

Di dalam kota lama ini terdapat empat penempatan iaitu penempatan Islam, Kristian, Armenia yang juga beragama kristian dan Yahudi. Di dalam kota inilah terletaknya al-Aqsa bagi orang Islam dan gereja Holy Sepulchre. (bagi orang kristian di sinilah tempat jesus di salib).

Ramai pelancong di dalam kota ini. Anak-anak kecil berbangsa Yahudi bersama rombongan persekolahannya terdapat di sana sini. Mungkin dari daerah lain. Terdapat beberapa anak-anak muda Yahudi berpakaian biasa berjalan dengan senapang di bahu. Ini tidak termasuk para tentera yang memang bersiap sedia berpakaian kalis peluru, senapang dibahu dan kelopak-kelopak peluru dipinggang. Gayanya seperti bersiap sedia untuk bertempur.

Penjual-penjual dari penempatan yahudi seperti biasa, ditempat yang dihias cantik dengan lampu-lampu yang indah menyinari terowong-terowong kedai, sedangkan kedai-kedai di penempatan Arab pula, agak tidak tersusun, suram dan tidak se”gah” tempat yahudi yang dipelihara dengan elok. Kedai-kedai kristian kebanyakkannya di lorong-lorong luar.

Kami serombongan berjalan-jalan di celah-celah kedai, melihat gelgat penjual dan pembeli yang ada. Sekali-sekala rombongan berhenti di kedai-kedai cenderamata. Di satu sudut, saya terpandang kedai menjual t-shirt. Macam-macam tertulis di dada baju. Apa yang menarik perhatian saya ialah satu tulisan di baju yang tertulis:-

“Don’t Worry America, Israel Behind You”

Saya merenung perkataan ini. Walaupun hanya tulisan di atas baju, ia melambangkan satu pandangan yang dijaja di jalanan.

Saya berbisik sendiri:-

“Bagaimana, sebuah negara besar boleh menurut kehendak Israel? Jika memang benar senario ini, sudah tentu, ada badan yang sentiasa melobi dan mempengruhi White House di dalam memutuskan sesuatu dasar luarnya”

Ya, Di Amerika ada satu pertubuhan yang telah dimulakan pada tahun 1953 iatu empat tahun selepas Israel ditubuhkan. Pada peringkat awal penubuhannya, ia diberi nama American Zionist Committee For Public Affairs. Setelah beberapa ketika, pertubuhan ini diberi kenali sebagai American Israel Public Affairs Committee (AIPAC)

Siapa golongan ini? Mereka adalah satu kumpulan pelobi yang di asaskan oleh Isaiah L 'Si' Kenen. Pertubuhan yang dianggotai lebih dari 100 000 orang ini akan menyusun seminar-seminar yang akan membincangkan mengenai masa depan Israel. Mereka akan menjemput mana-mana pemimpin Amerika yang berpotensi untuk pergi lebih jauh ke arena politik. Ia ibarat perangkap politik bagi mereka.

Pada ucapan di AIPAC, pertubuhan ini akan melihat pandangan yang dilontarkan. Jika seseorang itu menyatakan pendiriannya dengan pro Israel, maka dia akan diberi sokongan.

Obama dan Hallary Clinton juga tidak terlepas dari sifir ini apabila mereka juga bersama-sama menyampaikan ucapan di AIPAC Policy Conference pada tahun 2008.

Akhirnya, kita dapat melihat pandangan Obama yang disaksiakan oleh 6500 peserta seminar tersebut,

“I want you to know that today I’ll be speaking from my heart, and as a true friend of Israel. And I know that when I visit with AIPAC, I am among friends, Good friends. Friends who share my strong commitment to make sure that the bond between the United States and Israel is unbreakable today, tomorrow and forever”

Peranan AIPAC di dalam mendesak dan mempengaruhi dasar luar AS begitu ketara hingga AS membantu Tel Aviv dari banyak sudut, dari ketenteraan, perisikan ekonomi dan sebagainya. Pada tahun 2006, Wasington telah membantu Tel Aviv sebanyak USD 2.52 bilon. Pada tahun 2009 ini, AIPAC terus mendesak AS agar membantu Tel Aviv sebanyak USD 2.55 bilion.

AIPAC juga berjaya mengukuhkan kepentingan Israel apabila rumah putih melakukan tekanan kepada mana-mana pemimpin dunia yang berkonfrantasi dengan Tel Aviv selain memasuki urusan pentadbiran negara-negara Asia Barat.

Melalui peranan AIPAC juga, satu MoU telah ditandatangani antara AS dan Israel yang menyebut komitment memberikan bantuan keselamatan kepada Israel selama 10 tahun sebanyak USD 30 bilion.

Kita lihat bagaimana mereka membantu parti-parti yang bertanding di AS. Pada tahun 2008, calon dari parti-parti yang bertanding di AS telah membelanjakan sebanyak USD 833.8 juta berbanding situasi yang sama pada 2004 USD 717.9 juta, pada USD 343.1 juta (tahun 2000) dan USD 239.9 (tahun 1996).

Bagi seseorang senator, dia perlu mempunyai keupayaan menarik dana dan sokongan kewangan berbagai pihak untuk menjayakan kempennya. Kita semua sedar bahawa ramai teknokrat dan jutawan kaya di AS adalah orang yahudi.

Kita mungkin agak terkedu dengan peranan yang dimainkan oleh AIPAC. Tetapi satu soalan yang mungkin tertanya dibenak pemikiran kita. Kenapa negara Islam tidak membina persatuan pendesaknya sendiri sedangkan negara-negara Islam jauh lebih kaya dari negara Israel sendiri.

Kurniaan minyak di negara-negara OIC jauh lebih hebat dari sumber yang ada pada Israel. Kenapa tidak umat Islam dengan persatuan yang lebih kaya membantu pemimpin yang pro Islam untuk naik di AS.

Kita boleh fikir berbagai jawapan. Saya cuma ingin berikan apa yang pernah disabdakan oleh junjungan mulia:-

Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh-musuh kamu), sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan”. Sahabat bertanya, “apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?”. Rasulullah S.A.W menjawab, “bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih-buih di laut. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit AL-WAHAN”. Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah al-wahan itu ? “Jawab Rasulullah SAW “ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut. ” (Hadis riwayat Abu Daud)

Gaza diganyang dan Mesir tidak membuka sempadannya. Palestin diserang dan Saudi tidak berbuat apa-apa sekalipun mendoakan mereka di masjid al-Haram.

Apa sudah jadi?. Bukan sahaja tidak mampu melawan musuh, membela saudara sendiri pun tidak berani.

Sebab itulah yahudi tidak rungsing berada dicelah-celah negara Arab, ini kerana negara itu berada dicelah-celah kelengkang mereka.

Dibelasah tidak kesah, disepak tidak mengelak dan disembelih tidak beralih. Semuanya mengikut dan takut.

Kita mengharapkan agar Allah mengembalikan rasa hebat ini di dada- dada para muslim. Sekecil bilangan Badar yang mengalahkan 1000 Quraish Mekah, sekecil bilangan Muktah yang mengundurkan 200 000 Rom Timur.

Semoga, cita-cita untuk mengagungkan Islam, terus dipimpin oleh Allah dan mudah-mudahan, janji Allah bahawa Islam akan agung di akhir zaman sempat kita saksikan sebelum mata ini tertutup bertemu ilahi

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"
Al-fakri ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
22 Mei 09 jam 845 malam

2 comments:

Shahril Redza Ab Razak said...

Kita akan terus dibelasah, disepak dan disembelih dalam sistem kehidupan harian yang telah dibentuk dengan begitu individualistik hari ini.

Generalhoho said...

Kita susah nak ada kumpulan pendesak mcm AIPAC tu.. sbb kalau nak tubuh.. blum pape dah di cop terrorist la.. pelampau agama la.. haluan kiri la.. camne tu?

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...