Tuesday, May 18, 2010

Jom Kongsi Pengalaman 56 – Pengalaman Pertama Ke Turki 2006 – Isteri Yang Solehah

Ramai orang tidak menyedari mereka mempunyai pasangan yang baik, ini kerana mereka hanya memikirkan yang buruk

-al-Faqir Ila Rabbihi Muhamad Abdullah-

Kami telah menjadi tetamu di tempat Khalid, pada waktu malam Khalid akan masak untuk kami. Khalid memasakkan kami nasi dan kari. Dia tahu, antara masakan orang Malaysia adalah kari.

Orang Turki tidak biasa dengan masakan kari. Khalid pun boleh makan kari kerana lama duduk di Paksitan.

Dari pemerhatian saya, Khalid seorang arkitek yang hebat dan baik, tetapi, jodohnya belum sampai. Dia masih bujang. Dia pernah bercinta dengan perempuan Jepun, tetapi tidak direstui oleh keluarganya. 

Di dalam kesempatan bersama Khalid, kami dikenalkan dengan beberapa tokoh-tokoh agama di sekitar Istanbul. Kami sempat beramah dengan Imam Hafiz Uthman, imam masjid Al-Fateh. Dia pernah datang ke Malaysia menjadi pengiring peserta Turki di dalam majlis Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa. Pada waktu pagi khalid akan belanja kami sarapan. Kami banyak berbicara mengenai Turki.

Waktu pagi, saya akan bersarapan pagi dengan Khalid di kedai sekitar masjid al-Fateh ini.

Menurut Khalid, Turki adalah tempat yang baik melahirkan pahlawan-pahlawan. Bukan sahaja manusia, binatang-binatang yang jantan juga hebat-hebat.

Tetapi Turki tidak melahirkan srikandi-srikandi yang baik. Bukan sahaja manusia, malahan binatang-binatangnya yang betina juga tidak hebat.

Menurut Khalid, hingga ayam betina pun tidak banyak mengeluarkan telurnya sendiri di sini. Keperluan telur pun terpaksa diimport dari luar.

Menurut Khalid lagi, perempuan Turki garang-garang. Perempuan Turki tidak pernah dididik untuk menjadi isteri yang baik. Tetapi perempuan Turki adalah ibu yang hebat.

Menurut Khalid, perempuan Turki akan bermati-matian untuk menjadikan anaknya hebat, tetapi sering kali mengabaikan suami mereka.

Patutlah pada malam sebelumnya kami bertemu dengan seorang ahli perniagaan yang hebat. Daripada gaya dan lagaknya orang ini memang hebat. Dengan rambutnya yang botak, cara perbualan cara makan. Tiba-tiba dia meminta diri untuk pulang walaupun sebenarnya masih awal. Sebelum pulang dia menyatakan :-

“Sorry, I must go now, actually, I am a lion, but my wife is a dragon”

(maaf, saya terpaksa pergi sekarang, sebenarnya, saya adalah singa, tetapi isteri saya adalah naga)

Kami yang ada semua tergelak besar melihat gelagatnya.

Setiap kali saya teringatkan ayat ini, saya pasti tersenyum. Tetapi, beberapa hari di Turki, Saya banyak juga menyaksikan peristiwa-peristiwa yang membenarkan kata-kata Khalid ini.

Satu masa, kami berjalan dengan seorang pengamal kuat tariqat. Kira tahap ustaz juga, tiba-tiba, isterinya telifon. Punya kuat suaranya membentak suaminya itu sehingga kami boleh mendengar bentakkannya di luar telifon.

Suara garangnya sampai keluar dari telifon.

Apa yang boleh kita belajar? Tidak semestinya orang yang cantik rupanya itu akan menyenangkan hati kita. 

Sebenarnya, solehah atau tidak seseorang itu adalah terletak pada penghayatan agama seseorang itu. Bukankah Rasullullah S.A.W telah bersabda :-[1]

Sesungguhnya, perempuan itu biasanya dinikahi kerana agamanya dan hartanya dan kecantikannya, maka hendaklah kamu memilih dari agamanya maka sejuklah tanganmu

Menjadi wanita solehah akhir zaman ini satu perkara yang tidak mudah, tetapi ia bukan satu yang mustahil.

Untuk menjadi isteri yang soleh, seorang mesti ada tujuh syaratnya :-

1. Mesti ada hidayah dari Allah

Hidayah merupakan anugerah Allah. Sekali pun seorang yang duduk di samping suami yang soleh, jika tidak ada hidayah maka seorang itu tidak akan menjadi orang yang baik. Jika seorang itu diberi hidayah oleh Allah, sekalipun dia duduk di samping suami yang jahat, dia tetap baik seperti Siti Asiah. Di dalam al-Quran Allah telah menceritakan hal ini [2]:-

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)".

2. Mesti ada niat untuk menjadi isteri yang solehah

Niat memainkan peranan yang penting di dalam menjadikan seeorang itu baik atau tidak. Jika seorang itu tidak pernah berniat menjadi baik, maka dia tidak akan dapat merubah dirinya ke arah yang lebih baik. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan bahawa :-[3]

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri

3. Mesti taat kepada suami

Mentaati suami merupakan perkara yang wajib selagi tidak melanggar syariat Allah. Di dala hadith Rasullullah S.A.W telah menyatakan [4]

Dari Ibnu Umar R.A dari Nabi S.A.W dia telah berkata, mendengar dan taat adalah hak (yang perlu ditunaikan) selagi tidak diperintahkan untuk maksiat, apabila telah disuruh kepada maksiat maka tiada lagi hak mendengar dan taat

4. Mesti ada sifat-sifat isteri yang solehah

Isteri yang soleh mempunyai sifat-sifat keibuan walaupun terhadap suami. Ia membelai, mendengar, menghargai dan berada di sisinya seolah-olah telah cukup segala yang ada. Rasullullah menggambarkan keadaan isteri yang sebegini dengan hadithnya yang berbunyi :[5]-

Dari Abdullah bin Amru bahawa Rasullullah S.A.W telah bersabda, dunia itu merupakan perkara yang menyejukkan, dan sebaik-baik perkara yang menyejukkan adalah perempuan yang solehah

5. Mesti ada amalan-amalan isteri yang solehah

Isteri yang solehah akan membuat perkara-perkara yang menyenangkan suaminya. Di dalam satu haditu Rasullullah S.A.W telah bersabda [6] :-

Dari Abi Ummah dari Nabi S.A.W bahawasanya baginda bersabda, tiada perkara yang paling menyenangkan bagi seorang mukmin selepas taqwa yang lebih baik dari seorang isteri yang solehah. Jika dia menyuruhnya isteri itu akan mentaatinya jika dilihat padanya maka isterinya itu amat menyenangkannya dan jika dia memberi isterinya itu akan menghargai dan jika dia tiada isterinya itu akan menjaga diri dan hartanya.

6. Mesti meletakkan Allah s.w.t dan Rasul sebagai sebagai cinta pertama

Perkara ini perlu kerana jika seseorang mencintai suaminya lebih, jika tiba-tiba suaminya itu berbuat sesuatu kesalahan atau kekurangan, maka dia boleh melawan dan derhaka kepada suaminya itu, sedangkan dia taatkan suami bukan kerana suami tetapi kerana Allah yang menyuruhnya. Banyak orang yang menderhakai suami di atas alasan jahatnya suami.

Yang kita mahu adalah keredhaan Allah. Oleh yang demikian kita taat suami kerana mahukan kasih sayang Allah, nanti Allah akan anugerahkan kasih sayang suami itu sampai akhirat. Di dalam al-Quran Allah ada menyatakan [7]:-

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani

7. Berdoa

Hidup kita tidak boleh lekang dengan doa. Kepentingan doa menjadi orang yang baik amat perlu. Ia perlu dipohon setiap hari. Oleh kerana pentingnya doa ini, Allah telah mewajibkan kita membaca satu doa setiap kali kita bersembahyang. Jika kita tidak membaca doa ini, maka tidak sah sembahyang kita. Doa itu berbunyi :-[8]

Tunjukilah kami jalan yang lurus

Oleh yang demikian, untuk menjadi isteri yang solehah, seorang isteri itu perlu mendoakan dirinya. Bagi seorang suami pula, mereka perlulah mendoakan isteri mereka agar menjadi isteri yang solehah.

Jika orang tua-tua kita pernah berkata, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, maka saya ingin menambah, sayangkan isteri doa-doakan.

Ini kerana, doa suami akan membantu perubahan diri isteri dalam usaha mereka untuk menjadi isteri yang solehah.


[1] hadith riwayat Muslim

[2] Surah at-Tahrim ayat 10

[3] Surah ar-Ra’du ayat 11

[4] Hadith riwayat al-Bukhari

[5] Hadith riwayat Muslim

[6] Hadith riwayat Ibnu Majah

[7] Surah Ali-Imran ayat 31

[8] Surah al-fatihah ayat 6

 

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

Isnin 4 Jamadil Akhir 1431/ 18 Mei 2010 jam 11.50 malam

P6120035

Menurut Khalid, perempuan Turki adalah ibu yang hebat tetapi agak mengabaikan suami

P6120020

Kenangan di Masjid Biru

P6120031

Di dalam Masjid Biru

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Aya Sofya

P6130101

Makam lama di Aya Sufya

P6130110

Pintu raja di dalam Aya Sofya

P6130116

Mar-Mar seperti botol di Aya Sofya

5 comments:

Anonymous said...

Salam. Terima kasih di atas peringatan ustaz.

Saya dahulu pun selalu nak marah dgn suami, tak puas hati ini dan itu. Tambah pula saya ibu bekerja sepenuh masa. Sampai jadi buntu.

Tapi satu hari saya tersentak seperti di beri peringatan. Macam nampak jalan yg terang di hadapan saya iaitu saya taat suami kerana Allah dan saya sayang suami kerana Allah, saya penat bekerja dan jaga anak kerana Allah. Bila di dalam hati saya ada perasaan begini, saya rasa lebih redha, lebih ikhlas dalam apa2 perbuatan saya.

Sekarang syukur alhamdullilah saya lebih tenang dan tak mengharap2 apa balasan dari suami atau anak2. Asalkan dapat keredhaan Allah.

Anonymous said...

Salam

article ini akan jadi peringatan dan pedoman kepada saya.
terus terang saya ingin mengucapkan berbanyak terimakasih kepada Ustaz kerana dari article2 & jawapaan dari persoalan di ustazamin.com banyak membantu saya.

napaloh

Anonymous said...

syukran ustaz atas entry ni =)
doakan sy agar berjaya mengaplikannya =)

Ibu Sayang said...

Salam Ustaz,

Alhamdulillah..peringatan yg sgt menyentuh perasaan org perempuan..
Terima kasih..

Masalia said...

syukran ustaz atas ilmu ini...

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...