Tuesday, May 11, 2010

Jom Kongsi Pengalaman 53 – Coretan Pengalaman Pertama Ke Turki 2006

Kali ini, saya nak kongsikan pengalaman pertama saya menjejakkan kaki ke Turki iaitu pada tahun 2006. Sudah tentu keadaannya tidak sebaik sekarang apabila parti Islam dapat menguasai Turki.

Waktu itu, negara Turki masih lagi dalam lingkungan sekular. Ketika itu, anak-anak perempuan hanya memakai rambut palsu ke sekolah sebagai ganti tudung mereka.

Pengembaraan saya ke Turki sebenarnya selepas ketika saya selesai menguruskan beberapa urusan di Syria. Oleh kerana jadual saya pulang ke Malaysia masih jauh, saya bercadang untuk menziarahi bumi Khilafah Uthmaniah ini.

Saya memilih jalan darat untuk ke Turki. Oleh kerana hari-hari sebelumnya, saya tidak rehat dan terlalu padat program yang ada, maka perjalanan pada malam itu dilalui dengan keadaan badan yang tidak berapa sihat. Badan rasa hendak demam dan perut pula sakit.

Tetapi setelah beristikharah, maka saya menguatkan juga hati untuk bermusafir ke Turki ini.

Saya bertolak dari stesyen bas Boolman, iaitu stesyen bas untuk destinasi luar Syria, hati saya berdebar-debar entah kenapa.

Perjalanan saya ke Turkei ditemankan oleh seorang pelajar Melayu yang belajar di Syria ketika itu, (kini telah belajar di Jordan). Pelajar yang bernama Shah Reza Kamaruddin ini lebih mesra menggelarkan dirinya dengan nama Sha.

Ketika sampai di stesyen bas, kami pun membayar harga tiket bernilai 1600 Lira seorang. Ia bersamaan lebih kurang RM 140. Bas mula meninggalkan stesyen Boolman pada pukul 10 malam.

Setelah berjalan selama empat jam, lebih kurang pukul 2 pagi kami tiba di border Syria-Tukei. Kami dan penumpang lain turun untuk prosedur biasa bagi meniggalkan sesebuah negara. Setelah selesai di sempadan Syria, kami terus ke border Turkei pula.

Di Turkey, kami berbaris untuk pengesahan pasport. Apabila tiba giliran saya, pihak imigresen Turki bertanyakan dari mana pasport kami dikeluarkan. Saya terus menjawab:-

“Dari Malaysia”

Pegawai imigresen ini tidak dapat mengecam apa yang saya katakan dan membelek-belek pasport saya. Kemudian, pegawai imigresen itu terlihat perkataan Israel dipasport saya dan menyatakan adakah pasport ini dikeluarkan di Israel.

Saya mengatakan bahawa pasport Malaysia adalah satu pasport yang tidak boleh ke Israel.

Setiap pasport Malaysia memang ada perkataan Israel yang menyebut bahawa pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel.

Pegawai imigresen itu dengan mudah terus membuat telahan bahawa pasport kami dikeluarkan oleh Israel.

“Iskh.. takkan cerdik sangat mereka ni sampai bahasa Inggeris pun tak tahu? Bisik hati saya.

Tapi itulah hakikat pada malam tersebut. Pasport kami berdua diletakkan ke tepi dan pegawai Imigresen tersebut meminta pasport orang lain dan seterusnya.

Setelah habis rombongan kami diperiksa, barulah dia memeriksa pasport kami semula. Kemudian, pihak imigresen tersebut bertanya kembali,

“apa tujuan masuk ke Turki?”

Saya meminta pemandu bas yang ada di sisi saya kami menterjemahkan bahawa kami ke Turkey untuk tujuan siahah (melancong).

Pemandu bas yang berasal dari Turkey itu boleh bertutur di dalam bahasa Arab. Tiba-tiba kami terkejut kerana dia memberitahu kepada pihak imigresen bahawa kami akan masuk ke Turki dengan tujuan tijarah (business).

Pasport kami berdua diletakkan ditepi lagi. Kemudian dia bertanya lagi kami ingin business apa?

Kami cuba memberitahu kembali bahawa kami datang untuk tujuan siahah bukan tijarah.

Rupa-rupanya driver Turkey tersebut tidak mahir di dalam bahasa arab dan telah salah menterjemahkan apa yang kami hasratkan.

Saya cuba membetulkan keadaaan, tetapi dengan sombong pegawai imigresen terebut telah memulangkan pasport kami dan tidak membenarkan kami masuk ke Turki.

Pada ketika memulangkan pasport kami, ada seorang perempuan yang sedang berbual dengan seseorang dengan bahasa arab. Saya terus bertanyakan adakah dia orang Turkey.

“Ya” jawab perempuan itu ringkas. Saya terus meminta perempuan itu menyatakan kembali kepada pegawai imigresen tersebut bahawa pemandu bas tadi silap terjemah dan meminta memberitahu kembali bahawa kami datang ke Turki kerana tujuan melancong.

Setelah bercakap beberapa perkataan perempuan itu menyatakan dia tidak dapat menolong apa-apa kerana memang pihak imigresen tidak membenarkan kami masuk ke Turki.

Kami pun keluar dari pejabat dan kemudian ingin masuk kembali agar dapat memujuk imigresen itu supaya membenarkan kami untuk masuk. Tetapi kami dihalang oleh seorang polis di sana. Polis tersebut boleh berbahasa Arab. Dia mengatakan biarkan, nanti dia sendiri akan cuba memujuk imigresen tersebut.

Bas sudah membunyikan honnya menandakan akan bergerak. Kami belum juga dipanggil untuk diberikan kebenaran untuk masuk ke Turki. Akhirnya, kami pun naik ke bas dan mengambi beg dan mahu turun. Apabila ditanya orang di dalam bas, kami menyatakan bahawa kami tidak dibenarkan masuk dan ia berpunca dari kesalahan kecil iaitu silap faham adakah kami masuk sebagai pelancong ataupun ahli perniagaan.

Ketika melangkah turun dari bas, seorang gadis Turki dengan sombongnya melontarkan perkataan

“Lain kali jangan salah lagi"

Aduh, terasanya hati. Kenapa dia berkata dengan sombongnya begitu, istimewa sangatkah Turki ni?

Pada ketika itu, tanggapan pertama pada orang Turki amat buruk. Kadang kala terasa juga benci. Mana tidak, dengan sombongnya menyatakan demikian dan dengan sombongnya menolak kebenaran kami masuk ke Turki.

Persoalan sekarang, macam mana kami ingin balik ke Syria dari border ini?

Sedang saya termenung, tiba-tiba, saya mendengar orang berkali-kali menyebut nama Malaysia. Saya memandang kanan dan kiri. Saya melihat empat orang Cina dari Malaysia juga tidak dibenarkan memasuki Turki.

“Hah, kami bukan berdua rupanya yang mengalami peristiwa ini, sekarang sudah berenam” bisik hati saya.

Penulis melihat seorang perempuan Cina itu membebel-bebel dan saya hanya tersenyum dari jauh.

Setelah habis, saya pun menghampiri perempuan itu dan bertanyakan,

“Dari Malaysia ke?”

“Aah” jawabnya pendek.

“Kawan-kawan lain juga dari Malaysia” tanya saya lagi.

Dia mengiyakan juga. saya tanyakan pada rakannya itu.

"Malaysia dekat mana?” Dia tidak menjawab. Seorang dari mereka menyatakan bahawa yang lain dari Johor dan tidak tahu cakap Melayu.

Saya berbisik sendiri kehairanan,

“Masakan lahir di Malaysia, menggunakan pasort Malaysia tetapi tidak tahu sepatah pun cakap melayu. Mustahil..., takkan perkataan siapa nama dan apa khabar pun tak tahu? Macamana jadi orang Malaysia tapi perkara macam itu pun tak tahu? Kitakan dah lama merdeka!.. Entahlah...”

Polis yang ingin membantu kami tadi menghampiri kami dan menyatakan adakah kami mengenali orang-orang Cina ini.

Saya menyatakan bahawa saya tidak kenal tapi oleh kerana dari Malaysia kami berbuallah. Polis itu menyatakan bahawa dia akan menolong saya dan kawan saya tetapi tidak dapat menolong yang lain.

“Engkau tunggu sampai subuh esok, nanti tukar syif, cuba lagi” kata polis ini memberikan cadangan.

Pada pukul 7.30 pagi, syif telah tukar dan pegawai yang baru memanggil kami dan memberikan kami kebenaran masuk.

“Kenapa pula beri?” saya berbisik sendiri.

Tak ada alasan, yang penting malam tadi tak nak bagi dan sekarang saya nak bagi.

Persoalan seterusnya, sekarang dari border, macam mana nak masuk ke Turkey?

Polis itu memberitahu kami yang kami boleh tumpang mana-mana bas ekspres yang tak penuh. Kami cuba menahan mana-mana bas ekspres, tapi semuanya penuh. Akhirnya, kami dapat menahan sebuah bas ekspres yang buruk, daif lagi uzur. Yang ni tak penuh, dan driver membenarkan kami naik dengan tambang Lira 200 seorang, lebih kurang RM 17 untuk sampai ke stseyen bas Antakiya. Dari sana barulah kami akan cari bas semula ke Istanbul.

Sebelum bas meninggalkan border, kami diperiksa. Saya melihat beberapa bas lagi yang diperiksa. Saya melihat, memang sudah menjadi budaya, mana-mana bas yang datang dari Syria, pemandu bas akan membawakan apa-apa hadiah kepada pihak imigresen.

“Iskh, ini syarat negara atau budaya ni? Bisik saya pada Sha kehairanan. Atau rasuah yang telah ditukar nama sebagai hadiah.

Ada sesetengah bas yang diambil sebahagian minyaknya.

Bas mula bergerak, bas ekspres yang kami naik ini sangat daif. Barangkali bas ekspres untuk golongan bawahan.

Di dalam bas eksperes ini, saya boleh lihat orang kebanyakkan. Orang yang membawa barang-barang keperluan dari Syria dan ada juga barang yang diseludup.

Saya bertemu dengan dua orang Tunisia yang sering berulang dari Turki ke Syria dengan menyeludup barang-barang seperti rokok dan lain-lain.

“Alamak, bas penyeludup, kalau kena tahan ni, tak pasal dengan saya sekali kena” saya berbisik pada Sha.

Perjalanan dari sempadan Syria ke Turki sungguh menarik. Jalan-jalannya dihiasi dengan gunung ganang, dan pemandangan semula jadi yang indah.

Selain itu, jalannya di kelilingi dengan ladang dan ada air sungai yang jernih. Saya melihat ladang-ladang tempat menanam gandum. Sesekali ada juga ladang pokok bunga matahari. Mereka buat kuaci. Ada ladang jagung juga.

Kami sampai ke Antakiya pada pukul 9.00 pagi dan kami terus mendapatkan tiket untuk ke Istanbul. Bas akan bergerak selama dua puluh jam berikutnya untuk sampai ke Istanbul.

“Selamat Datang Ke Turkey” saya bersalaman dengan Sha.

“Pengalaman Guru Tanpa Bicara”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

20 Jamadil Awal 1431/ 11 Mei 2010 jam 12.30 tengah malam

P6110002

Saya naik bas orang menyeludup beberapa barang dari Syria. Gambar di atas adalah orang menyeludup rokok ke Turki

P6110004

Perjalanan melalui jalan darat memang cantik

P6110005

Bersama, orang Tunisia ke Turki

P6110006

Stesyen bas Antakya

P6110008

Salah satu perhentian

P6120009

Perjalanan yang sangat lama menyebabkan saya telah berkenalan dengan semua penumpang 

P6120010

Susu masam.

P6120011

Salah satu hentian

P6120028

Dalam masjid biru, lima tahun lepas

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Berlatar belakangkan Aya Sofea

2 comments:

Muhammad Hilmi said...

salam ustaz...

Alhamdulillah ..
satu perkongsian pengalaman dalam perjalanan..yang baik

mama ju, said...

Aslkm ustaz

Aduhai ustaz...tercabarnya....