Kami masuk ke Turkey dan semakin menghampiri Istanbul. Pandangan penulis mula baik terhadap orang Turkey. Beberapa kali orang ini membelanja kami minum.
“Eh!.. baik pulak? Entahlah..” bisik hati saya.
Kami sampai di Istanbul pada pukul 5 pagi dan terus mencari hotel. Kami mengikuti beberapa orang Arab Syria yang biasa ke Istanbul ini. Sampai disebuah hotel kami terus mandi dan rehat sekejap.
Selepas dua jam berehat, kami mula keluar dan berjalan-jalan di sekitar Istanbul. Di dalam benak pemikiran, masih basah lagi ingatan mengenai kisah kami di border dan tanggapan pertama mengenai orang Turki yang sombong.
Setelah penat berjalan, kami mula mencari Masjid biru, masjid yang selalu nampak di gambar-gambar apabila orang menggambarkan negara Turki. Kebanyakkan masjid di Turki binaannya sama sahaja dengan Masjid Biru.
Dengan berbekalkan bahasa Inggeris dan Arab, kami bertanya-tanya masyarakat sekitar dan akhirnya buat pertama kami di dalam hidup penulis, menatap masjid yang telah menyaksikan banyak sejarah di dalam peradaban Islam dari zaman jatuhnya kota Konstantinopel ini ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh sehinggalah orang Turkey sendiri yang memutuskan untuk manamatkan sistem Khalifah yang tidak pernah putus sejak dari zaman Rasullullah lagi.
Masyaallah, sayu hati saya apabila melangkah masuk ke dalam masjid tersebut. Setelah menunaikan solah tahyatul masjid. Saya menunggu masuknya waktu Zuhur dan berjemaah di dalam masjid tersebut.
Setelah sempurna menunaikan sembahyang, kami menuju ke Muzium Topkapi. Saya telah lama mengidamkan untuk manatap barang-barang kepunyaan Rasullullah. Tetapi, melihat barang-barang tidak menjamin apa-apa bagi iman kita melainkan jika kita kemudiannya mengamalkan apa yang Nabi S.A.W kita ajar.
Mudah-mudahan kita tergolong dari orang yang mencintai Nabi S.A.W
Ketika masuk ke Muzium Topkapi, saya bertemu dengan sekumpulan orang dari Malaysia, saya memberi salam kepada mereka, hanya seorang sahaja yang menjawab itu pun memandang atas dan bawah pada kami,
“Ya Allah, sombongnya orang ini” bisik hati saya.
Baru Allah izinkan berjalan ke Turki sudah sombong sampai memandang kami dengan pandangan yang amat dingin.
Melalui tepi mereka saya beristighfar dan mendapat satu pengajaran.
Rupa-rupanya sombong itu bukan milik sesiapa, bukan milik orang Turki, bukan milik orang Arab, bukan milik orang barat, ia adalah milik kepada orang yang miliki dua sifat ini iaitu :-
1. Orang yang merasa dirinya hebat
2. Orang yang memandang rendah pada orang lain
Jika mana-mana orang, dari mana-mana bangsa memiliki dua sifat ini, orang tersebut akan lahir sifat sombong di dalam diri mereka.
Di dalam al-Quran, Allah pernah menceritakan kisah Azazil (iblis) yang merupakan di antara barisan hamba-hamba Allah yang taat. Ketika diciptakan Adam A.S, maka turunlah titah perintah Allah untuk semua malaikat hormat kepada Adam.
Semua malaikat patuh dengan apa yang Allah perintahkan melainkan Iblis. Kenapa iblis ini tidak taat dan menjadi ingkar, ini kerana dia telah sombong dan terbit dua sifat tadi iaitu merasa hebat dan memadang rendah kepada yang lain. Allah menceritakan hal ini di dalam al-Quran :-
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir
Surah al-Baqarah ayat 34
Di dalam hadith, Rasullullah pernah bersabda di dalam hadith Qudsi yang menyebut:-
“Dari Abu Hurairah telah berkata Hannad, telah bersabda Rasullullah S.A.W, telah berfirman Allah S.W.T, Takabbur itu selindangKu dan kebesaran selempangKu, sesiapa yang mengambil dariKu satu daripada keduanya, aku campakkan dia ke dalam neraka”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Ini pengajaran Universiti Kehidupan, hari pertama saya berada di Istanbul, ketika pertama kali menjejakkan kaki di Turki.
Belajar mengenai adab, belajar mengenai tawadhuk dan belajar memahami perasaan orang lain.
Dengan cuba memahami perasaan orang lain, kita akan semakin menghargai diri kita dan menghormati orang lain.
Dua perkara ini yang telah banyak hilang di dada manusia.
Kurang menghargai diri akhirnya menyebabkan manusia selalu mengeluh dan kurang bersyukur.
Kurang menghormati orang lain menyebabkan manusia sering mengambil hak maruah, harta dan darah orang lain.
Semoga kita tergolong di dalam golongan orang yang sentiasa menghargai diri dan menghormati orang lain.
“Pengalaman Guru Tanpa Bicara”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
29 Jamadil Awal 1431/ 13 Mei 2010 jam 9.00 pagi
Mula-mula sampai dan mencari hotel
Di dalam metro ke masjid biru
Masjid biru
Muslimah sini sembahyang tak ada bertelekung
Penjual roti di masjid biru
Pedang sultan di muzium Topkapi
Dalam istana di Topkapi
Lukisan di dinding dalam istana
Apabila telah terlalu mewah, tandas yang mempunyai paip emas di istana
Balairong tempat menerima tetamu luar
Dalam istana
Seperti biasa, untuk rujukan, ke kedai buku
3 comments:
Salam Ustaz..
Terimakasih diatas peringatan...
Seronok ye..bila berkelana bersendirian..tapi kini org guna travel package jer..,pengalam tak mencabar kan...
Wslm
Salam Ustaz,
Terima kasih atas pengalaman ustaz diblog ini, banyak membantu saya ketika mengembara ke Turki.
Husnuzon ustaz. mungkin dia org tak dengo ustaz. ada yg kurang dengar ke ..leka taksub...yang jawab tu pulak tercengang camna ...ustazkan nampak macam orang mongolia...heran lah dia ..boleh cakap melayu...gurau je ustaz.
Post a Comment