Hari ini Ahad 9 Mei 2010, seperti yang dirancang, Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah telah mengadakan “Hari Terbukan “Jangan Tinggal Daku” di PKKN Sungai Buloh.
Darul Ukhwah adalah sebuah rumah kebajikan yang menjaga orang muslim HIV. Asal penubuhannya pada pertengahan 2009 ialah ketika kita membawa mereka keluar dari gereja.
Matlamat terbesar program ini ialah untuk mengajak ahli keluarga pesakit HIV menerima mereka dan juga sebagai program kesedaran untuk masyarakat bahawa mereka adalah golongan yang tidak boleh dipinggirkan.
Pada saya, yang paling menyentuh saya ialah ketika penghuni ini memberikan persembahan lagu tentang kematian “andaiku tahu….”
Program jangan tinggal daku ini dirasmikan oleh Dato’ Zaman Khan dan Dato’ telah tiba sejak jam 9.00 pagi lagi walaupun program hanya akan bermula jam 10.00 pagi.
Program hari ini juga mendapat sokongan dari sahabat dari media.
Peranan media sebenarnya penting bagi membantu memahamkan masyarakat bahawa golongan HIV merupakan sebahagian dari komuniti kita.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa mereka perlu dibiarkan lantaran latar belakang mereka yang gelap.
Tapi saya tetap yakin bahawa, mereka perlu dibela kerana sebelum ini, yang membela mereka adalah pihak gereja dan orang bukan Islam.
Pembukaan majlis dirasmikan oleh Dato’ Zaman Khan. Ia kemudian diteruskan dengan persembahan nasyid kumpulan “Heart of Sakinah”.
Selepas makan tengah hari, program diteruskan dengan rakaman al-Hidayah bertajuk “Jiwa Merdeka” ia akand itayangkan pada hari Israk Mikraj nanti.
Ahli keluarga waris pesakit datang memberikan sokongan padanya. Alhamdulillah, ada ahli keluarga yang pada mulanya membuang mereka, tetapi lama kelamaan dapat menerima hakikat bahawa anak mereka, walaupun HIV tetapi tetap sebahagian dari anggota masyarakat.
“Ada orang yang marah-marah, biarkan mereka mati sahaja ustaz, dulu mereka kan orang teruk”
Saya sangat berbeza pendapat dengan orang seperti ini.
“Selagi mana mereka ada nyawa, mereka tetap ada harga, siapa kita untuk membuang mereka, sedangkan Allah sentiasa menerima mereka”
Dan perkara inilah juga yang dipesankan oleh Pehin Mufti Brunei pada saya ketika saya menziarahinya hujung bulan lepas.
“Mereka tetap ada harga, dan kalau mereka bertaubat, mereka lebih mulia dari kita yang tidak bertaubat” kata Pehin Mufti Brunei”
Alhamdulillah, majlis dapat disempunakan dengan baik.
Terima kasih diucapkan kepada semua sahabat-sahabat Darul Ukhwah yang telah menjayakan program hari ini, pihak media terutama dari program al-Hidayah TV3, para penaja dan siapa sahaja yang menjayakan program ini. Semoga Allah membalas semua titik peluh tuan puan semua.
Saya bercadang untuk membuat program seperti ini setiap dua bulan sekali. Agar, matlamat menjadikan masyarakat tidak meminggirkan mereka satu hari nanti tercapai.
Ia bukan mudah, tetapi tidak mustahil. Semua atas izin Allah yang maha berkuasa.
“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
Isnin 26 Jamadil Awal 1431/ 10 Mei 2010 jam 8.15 pagi
Pameran dari agensi lain
Dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
Motivasi dari Dr. Norhayati, pakar dalam HIV
Persembahan lagu “andaiku tahu”
Persembahan kumpulan nasyid jemputan
Cabutan bertuah
Kenangan bersama rombongan dari Melaka
Sidang Media
Rakaman al-Hidayah TV3 “Jiwa Merdeka”
Antara yang hadir
Temuramah penghuni, tak boleh tunjuk muka..
No comments:
Post a Comment