Monday, May 17, 2010

Jom Kongsi Pengalaman 55 – Pengalaman Pertama Ke Turki 2006 – Kawan-Kawan Di Sekeliling Kita

Ketika di dalam perjalaan dari stesyen bas Antakiya ke Istanbul, saya berkenalan dengan orang Palestin yang duduk di Syria. Namanya Abu Ibrahim. Dia telah beberapa kali ke Istanbul.

Abu Ibarhim seorang yang agak teliti di dalam hidupnya. Dia menunjukkan kepada saya mengenai cara dia menyimpan duit, sedikit di dalam poket tepi, sedikit di dalam poket belakang, sedikit di dalam stokin kanan dan sedikit di dalam stokin kiri.

Ketika berhenti makan, dia akan mengajak saya makan sekali. Di dalam begnya ada roti, jem sehinggalah kepada pemanas air dan teh segera. Semuanya ada di dalam beg musafirnya. Di dalam perjalanan yang jauh itu, saya sekali-sekala berbual dengannya. Dia tidak henti-henti menasihati saya mengenai keadaan di Istanbul.

“Muhamad, kamu macam adik saya, saya nak pesan pada kamu” kata Abu Ibrahim.

“Jika ada perempuan ajak ke sana ke mari jangan ikut, nanti dia cuba goda kamu dan akhirnya akan rompak semua barang kamu, jika ada orang bagi rokok jangan ambil, sebab rokok tersebut mungkin telah diletak dengan perkara yang memabukkan sehingga kamu tidak sedar dan akhirnya kita akan dirompak semuanya, jika ada orang beri air pun begitu, jangan minum, nanti dia letakkan benda yang buat kamu mabuk dan tak sedar diri dan dia akan rompak kamu” kata Abu Ibrahim pada saya.

Saya terkebil-kebil sambil menelan air liur pada keadaan Istanbul yang digambarkan.

“Duit hendaklah diletakkkan diberbagai tempat, itu lebih selamat, letakkan dekat stokin sikit, poket seluar sikit” pesannya lagi.

Itulah di antara nasihat Abu Ibrahim pada saya. Dari nasihat-nasihatnya sepanjang perjalanan menggambarkan kekalutan keadaan di bandar Istanbul. Itulah gambaran pertama yang diberikan kepada saya ketika perjalanan pertama saya ke Istanbul.

Sampai di Istanbul, Abu Ibrahim mencarikan untuk saya hotel yang bagus, selamat dan murah. Kami sampai disebuah hotel. Hanya 24 dolar sahaja sebilik.

Kami berpisah sebaik sahaja dia merasakan saya selamat di hotel tersebut. Saya sangat berterima kasih kepadnya yang banyak membantu mengenai gambaran tentang keadaan di Istanbul.

Setelah meletakkan beg dan berehat maka saya dan Sha (pelajar Melayu di Syria yang menemankan perjalanan saya) mula meninjau kota Istanbul.

Kami berjalan mencari Masjid Biru dan Aya Sofea.

Pada waktu hampir maghrib kira-kira pukul 8.00 malam(waktu Maghrib kala ini agak lewat kerana musim panas), saya sampai ke Masjid Sultan Muhamad al-Fateh.

Makam Sultan Muhammad telah tutup. Jadi saya hanya berada di luar makam. Tiba-tiba, ada seorang lelaki menyapa saya dan Sha. Dia memakai baju tebal lengan panjang dengan terdapat kulit yang berjahit di bahagian siku.

Jika di Pakistan, itu pakaian seorang polis, jadi dari pakaiannya itu, saya mengagak dia adalah polis. Dia mengenalkan dirinya dengan nama Khalid.

Khalid bertanyakan kami dari mana, dan kemudiannya mengajak kami berjalan-jalan sekitar makam Sultan Muhamad al-Fateh itu, dia juga mengajak kami berjalan sekitar masjid sambil menceritakan perihal Turki. Ketika hampir masuk waktu Maghrib, kami pun masuk ke dalam masjid dan menunaikan sembahyang maghrib secara berjemaah.

Setelah selesai solat maghrib, Khalid mengajak kami pergi ke pejabatnya. Rupanya dia menyatakan bahawa dia adalah seorang arkitek.

Sha terus setuju dan kami berjalan menuju ke pejabatnya. Sha yang sedang rancak berbual dengan Khalid tidak perasan yang saya melambatkan langkah saya kerana agak bimbang dan sangsi dengan kejujuran Khalid. Kami sampai dipejabat Khalid ditingkat tiga di kawasan Fateh, Istanbul.

Seribu satu perasaan di hati saya. Bertambah risau apabila teringatkan pesanan Abu Ibrahim pada saya. Sampai di pejabatnya, Khalid terus menuangkan segelas air pada kami. Sha tanpa ragu terus minum air tersebut.

Saya meminta izin untuk menggunakan tandas. Di dalam tandas, semua duit-duit yang ada saya pecah-pecahkan, sebahagian di stokin kanan, sebahagian di stokin kiri, sebahagian di poket seluar dan sebahagian di beg kecil yang saya bawa.

Saya tidak menyentuh pun air tersebut, bimbang jika ada campuran yang mungkin tidak diingini. Teringat pesanan Abu Ibrahim. Khalid menyuruh kami rehat dan dia akan masak makan malam untuk kami.

Di pejabatnya, ada bilik rehat kecil dan ada juga dapur untuk memasak.

Khalid membukakan komputernya kepada kami dan mempelawa jika kami ingin menggunakan internet sementara beliau sibuk mengeluarkan ayam untuk dimasak dari peti aisnya. 

Sha yang memang suka melayari internet terus duduk dan melayari internet. Saya duduk diam dan setelah setengah jam, melihat Sha ok dan tidak ada pening-pening minum air yang diminum itu, barulah saya berani meneguk air yang dihidangkan.

“Emm..lega rasanya, tak de pening pun? Haa..air sebenar ni” saya tersenyum sendirian.

Saya merasa hairan dengan kebaikan Khalid. Tak pernah kenal tapi baik semacam aje. Boleh percaya ke ni?.

Sambil masak diruang dapur di pejabatnya, saya sekali-sekala menjeguk dan berbual dengan Khalid. Sha sibuk melayari internet.

Saya bertanyakan mengenai persembahan tarian sufi yang ada disekitar Istanbul. Khalid memberi tahu kami bahawa pesembahan sufi yang ada itu tidak real, itu untuk komersial, dia akan menjemput kawannya yang benar-benar sufi.

Khalid menelifon kawannya dan bercakap mengenai sesuatu di dalam bahasa Turki. Tidak lama kemudian beberapa orang kawan Khalid datang, semua memperkenalkan bahawa mereka adalah orang sufi. Kami makan malam bersama-sama.

Perbualan kami menjadi lebih mesra apabila Khalid memberitahu kami bahawa dia teribat dengan sukarelawan pada kejadian gempa bumi di Pakistan pada Oktober 2005.

Rupanya, Khalid fasih berbahasa Urdu kerana dia pernah di Pakistan selama enam tahun. Dia merupakan arkitek lulusan Pakistan. Dia ke Pakistan pada gempa bumi lepas kerana menjadi juru bahasa kepada pasukan penyelamat Turki.

Saya menyatakan bahawa saya juga telah pergi ke sana sebagai sukarelwan. Dan kami bercerita dengan topik yang sama. Kadang-kala kami bercakap di dalam bahasa Urdu dan ia membuatkan lagi perbualan itu semakin ramah.

Setelah selesai, semua mereka mengajak kami minum teh di luar. Kami semua menaiki kereta. Kami diajak menziarahi makam Sahabat Nabi, Abu Ayub al-Ansari.

Aik!..mengeteh macam kat Malaysialah pulak.

Setelah habis berbual, akhirnya mereka menghantar kami balik ke hotel dan mempelawa kami untuk duduk di tempat mereka.

“Tak payah sewa hotel lagi dah, tidur di pejabat saya sahaja” kata Khalid.

Esok mereka akan membawa kami ke Konya, berjumpa dengan seorang ulama di sana iaitu Syeikh Muhammad Konyave, di Konya, lebih kurang 400 km perjalanan dari Istanbul. Saya tidak terus membuat keputusan.

“Insyaallah, esok kami akan call” kata saya.

Khalid tiba-tiba memberitahu kami, “Sebenarnya kamu adalah tetamu Muhammad al-Fateh dan kamilah yang menyambut kamu”.

Saya dengan spontan menjawab,

“Jika begitu kamu adalah wakil-wakil al-Fateh!.. Khalid tidak menjawab dan hanya tersenyum sahaja.

Ketika di hotel, saya termenung sendiri. Benarlah kata Allah di dalam firmanya :-

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَنُدْخِلَنَّهُمْ فِي الصَّالِحِينَ

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, sudah tentu Kami akan masukkan mereka dalam kumpulan orang-orang yang soleh

(surah al-Ankabut ayat 9)

Sebenarnya, kita akan bertemu dengan orang macam kita di mana pun kita pergi. Jika seseorang itu kaki maksiat, pergi ke negara Arab pun kita akan bertemu dengan orang ahli maksiat. Tetapi jika seseorang itu orang yang baik, Allah akan aturkannya untuk bertemu dengan orang yang baik-baik.

Bukankah Nabi S.A.W telah bersabda :-

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Dari Abu Hurairah dia telah berkata, telah bersabda Rasullullah S.A.W, seseorang itu akan mengikut agama sahabatnya, maka hendaklah seorang kamu memerhatikan dengan siapa dia berkawan

(Hadis riwayat Tarmizi dan Abu Daud)

Oleh yang demikian, jika kita mahu di kelilingi dengan kawan-kawan yang baik, maka hendaklah kita memperbaiki diri kita dahulu, insyaallah, Allah akan mendatangkan kepada kita, di sekeliling kita, orang-orang yang baik.

“Pengalaman Guru Tanpa Bicara”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

3 Jamadil Akhir 1431/ 17 Mei 2010 jam 9.15 malam

P6110008

Kenangan bersama Abu Ibrahim

P6130077

Masjid al-Fateh

P6130078

Sejarah masjid al-Fateh

P6130084

Di dalam masjid al-Fateh

P6130090

Khalid, empat dari kiri

P6130091

Di hadapan makam Saidina Abu Ayub al-Ansari

P6130096

Di hadapan Aya Sofya, sekarang telah menjadi muzium

P6130100

Di hadapan Aya Sofya

P6130123

Di dalam Aya Sofya

P6130164

Makam Sultan al-Fateh

P6140167

Khalid bersalaman dengan Sha

4 comments:

~albazrah~ said...

Assalamualaikum

Lawak betoi la terutama yang part ustaz masuk tandas dan pecah-pecahkan duit letak sana sikit sini sikit.

PINATBATE said...

lagi lawak part ustaz tengok Sha selamat tak mabuk ..baru ustaz berani minum air..eloklah tu..berwaspada drp tu penting..

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz..maafla lari topik..
ana nak tanya kalo luar solat..
boleh x kita bersalawat tanpa ucap lafaz sayyidina dan kita ucap salam macam dalam tahiyyat samaada assalamualaika ayyuhannabiyyu atau assalamualannabiyyi...sampai akhir tu..

Anonymous said...

assalamualaikum uztaz..makcik adalah salah seorang silent reader uztaz..makcik terpanggil memberi komen untuk n3 ni..tersenyum makcik bila membaca cerita ni..lebih baik kita berwaspada daripada terkena kan tambah2 yg baru kenal..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...