27 September 09, jam 3.00 petang. Kami bertolak meninggalkan Bandar Kerman, menuju ke Mashad, perjalanan yang akan menempoh lebih 1000 km.
Dari awal lagi, kami memang bercadang untuk singgah di tengah jalan, tidur dan berehat.
“takkan nak terus hingga 1000 km satu hari” kata salah seorang ahli rombongan.
Bentuk jalan yang kami lalai berbagai. Ada dua lane dan ada yang satu lane sahaja. Di kanan dan kiri jalan, gunung-gunung batu yang berbagai bentuk dan warna, ada yang berwarna hitam, ada yang berwarna coklat, kelabu dan perang.
Tidak ada lembah-lembah subur seperti perjalanan kami sebelum ini. Walaupun dikelilingi dengan bukit, kami tidak mendaki. Hanya berjalan di tanah rendah yang kering.
Sekali sekala, kelihatan, rumah-rumah tanah yang telah runtuh.
Hampir malam, barulah kami mula melalui bukit-bukit yang setinggi bangunan 20 tingkat. Semuanya batu, hanya rumput-rumput liar yang kecil sahaja tertompok padanya.
Kami sampai ke bandar Ravar, berhenti makan dan sembahyang di sini.
Jam 10.00 malam. Kami ingin meneruskan perjalanan.
“Ok, kita sekarang akan ke Kavir –E- Lut (padang pasir Lut). Kita akan melintasi sejauh 300 km tanpa ada apa-apa, tak ada orang, tak ada binatang, hanya bintang-bintang sahaja temankan kita” kata Ali pemandu kami.
“300 km tanpa apa-apa” bisik hati saya agak terkedu.
Kami mula meninggalkan bandar Ravar.
Memang benar seperti yang diperkhabarkan. Melintasi padang pasir Lut, satu pengalaman baru. Tidak ada apa-apa yang menemankan kita. Hanya kelihatan bintang-bintang yang cantik.
Kita seolah-olah duduk di dalam satu tempurung besar yang gelap. Di hujung sebelah kanan kelihatan bintang-bintang yangcantik. Hujung sebelah kiri juga sama. Di hadapan juga sama dan di belakang juga sama.
Kalau di Malaysia, kita hanya akan nampak bintang di atas kepala kita sahaja. Kali ini di setiap hujung kanan, kiri hadapan dan belakang sudah nampak bintang yang terang.
Cuba banyangkan, kita duduk di dalam tempurung besar yang sekeliling kita adalah bintang. Sangat cantik.
Saya pernah melintasi padang pasir di Sinai Mesir, di Mekah dan Madinah, di Maghribi, hingga di atas kapal terbang juga, kita tidak akan dapat pemandangan seperti ini. Sangat cantik dan sangat rapat dengan bintang-bintang.
Barangkali, kerana itulah, dahulu di sini terdapat penyembah bintang.
Menyentuh mengenai bintang-bintang, Allah swt telah menyatakan di dalam al-Quran:-
Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan hiasan, yaitu bintang-bintang,
Hari ini, saya menyaksikan betapa cantiknya Allah jadikan bintang-bintang ini untuk kita memandangnya.
Di dalam ayat yang lain, Allah menyatakan bahawa:-
Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui. (Al-An’am 97)
Di dalam Tafsir Tabari menyatakan bahawa ia sebagai petunjuk bagi pemusafir yang sesat sama ada di darat mahupun di laut
Bintang ibarat kompas bagi pemusafir di malam hari. Kedudukannya yang tersusun menjadikannya kita boleh menjadikan ia sebagai penunjuk arah.
Selain dari itu, Allah juga mengatakan bahawa bintang-bintang itu dijadikan untuk menjadi alat merejam syaitan
Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka siksa neraka yang menyala-nyala. (Al-Muluk ayat 5)
Bagi kita yang memerhatikan alam ini, Allah menyatakan, orang-orang Ulul Albab (yang berakal) ketika memandang kejadian alam ini, dia akan memandang kebesaran Allah. Seraya dia akan berdoa untuk meminta kebaikan dari Allah. Allah menyatakan di dalam al-Quran:-
190. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,
191. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.
Surah Ali Imran 190-191
Hari ini, saya dapat menyaksikan satu keindahan penciptaan langit. Semoga Allah menjadikan saya dan pembaca sekelian, orang yang sentiasa memandang sesuatu dengan keimanan, amin..
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Dubai International Airport
5 Oktober 09, jam 11.50 malam
Salah satu bagunan di Kerman
Perjalanan padang pasir
matahari yang hampir terbenam
Gunung ganang yang berbagai warna
Menurut Ali (pemandu kami) untuk mengenal masjid Ahli Sunnah di sini ialah jika kubahnya berwarna hijau
Memasuki Kavir-e-Lut
2 comments:
salam ustaz, gambar bintang² tue takde ker?
ha'ah..teringin jugak nk tgk..
Post a Comment