Sunday, October 18, 2009

Universiti Kehidupan 119 – Bicara Mengenai Buku

Mari berkenalan dengan kedai buku di Medan ini. Ada banyak kedai buku sama ada yang kecil atau yang besar yang mempunyai rangkaian sekitar Indonesia.

14 Oktober 09, jam 11.00 pagi, saya dibawa ke kedai buku "Toko Sembilan Wali". Sebuah kedai buku agama yang agak terkenal di Medan ini.

Dengan pakaian seragam merah jambu, para pekerja di sini menyambut mesra kedatangan kami.

Apa yang menarik di Indonesia ini ialah budaya menterjemah buku-buku sama ada dari Arab mahupun Inggeris. Banyak buku-buku terkini dalam bahasa Arab atau Inggeris telah diterjemah. Memang, negara yang agak sederhana ekonominya, kebiasaanya mempunyai budaya penerbitan buku yang hebat.

Jika di negara Arab, Mesir antara negara yang agak sederhana tahap ekonominya dan budaya ilmu dan buku antara yang terbanyak di antara negara Arab.

Saya membelek buku-buku di sini. Satu kelebihan lagi, tajuk-tajuk buku yang diterbitkan sangat menarik walau pun isi kandungnya kadang-kala biasa sahaja. Penerbit di sini pandai memilih tajuk yang menarik para pembaca ketika kali pertama menatapnya.

"Ustaz, kami tak kisah berapa lama kat sini" kata Alif yang memang telah tahu perangi saya dengan kedai buku.

Sekali sekala mereka menunjukkan beberapa buku pada saya:-

"Ustaz, apa pandangan ustaz dengan buku ini", kata mereka.

Barangkali, pada pandangan mereka, jika nama ustaz, telah baca semua buku yang ada dipasaran.

Saya hanya tersenyum, memerhatikan gelagat bakal-bakal ustaz ini.

Tetapi sebenarnya, jika mahu menjadi pemegang amanah ilmu, memang kena usaha membaca sebanyak yang mungkin.

Saya teringat, ketika saya masih pelajar seperti mereka, saya menziarahi seorang mufti di negara ini di pejabatnya.

Di pejabat mufti ini, kebanyakkan majalah ada termasuk majalah anak-anak muda ketika itu seperti "Pedang Setiawan", "Raja Rimba" dan sebagainya.

Saya bertanya, adakah Dato' Mufti juga membaca semua majalah-majalah ini.

Sohibus Samahah Dato' Mufti mengiyakan dan menyatakan bahawa, beliau memang perlu membaca semua bahan bacaan di tengah masyarakat ini untuk memberi fatwa jika ditanya.

Itu antara amanah ilmu yang perlu dipikul oleh Para Mufti kita.

Mata saya tertumpu pada sebuah buku:-

Rangkaian buku atlas al-Quran, altas Hadith, atlas umat Islam yang telah diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu.

"Ya Allah, cepat betul budaya terjemah di sini" bisik hati saya.

Buku Atlas al-Quran dan Hadith ini merupakan buku yang baik. Ia menceritakan kisah-kisah al-Quran dan Hadith dengan melalui lakaran peta-peta. Saya telah membeli buku ini di dalam bahasa Arab, ketika kunjungan saya ke beberapa negara Arab beberapa tahun lalu. Tak sangka, telah ada terjemahan di dalam bahasa Melayu.

Ketika kemuncak keemasan zaman Baghdad, khalifah Abasiyyah memang menaja para penterjemah untuk membuat terjemahan buku-buku dari bahasa asing ke dalam bahasa Arab. Hasilnya, lahirlah perpustakaan Baitul Hikmah. Banyak aktiviti terjemahan dilakukan dalam bidang astrologi, matematik, pertanian, perubatan dan falsafah.

Baitul Hikmah dihanguskan ketika Monggol melanggar Baghdad pada tahun 1258 masihi.. Banyak kajian ulama dan terjemahan kitab-kitab dibakar dan dibuang di sungai Tigris hingga sungai itu menjadi hitam lantaran dakwat kitab ulama ini.

Ketika saya menziarahi Prof. Dr. Ahmad Hidayat Buang, Pengarah Akademi Pengajian Islam Univerisiti Malaya, minggu lepas, untuk membincangkan mengenai kajian Phd saya, beliau sering menekankan agar perlunya seseorang itu untuk rajin membaca.

"Bukankan ayat pertama yang diturunkan ialah Iqra", kata beliau.

Tetapi hakikatnya, di Malaysia sendiri, budaya membaca di kalangan masyarakat agak membimbangkan. Hasilnya, ramai yang lebih suka mendengar khabar-khabar melalui telinga dari membaca dan ada yang berpendapat bahawa business buku di Malaysia ialah dying business.

Kebenarannya, kita sahaja yang tahu...

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

18 Oktober 09 jam 9.30 pagi

IMG_8183

di hadapan “Toko Sembilan Wali”

IMG_8197

Kami disambut dengan pekerja yang berseragam merah jambu

IMG_8206

“Bagus tak buku ni?”

IMG_8211

Bakal-bakal ustaz 2010

IMG_8213

lambakan buku yang banyak

IMG_8218

IMG_8232

kedai buku “Sembilan Wali”

1 comment:

muhammad fakhruddin said...

Assalamualaikum ustaz,
jika hendak memperkatakan budaya membaca di Malaysia,sedikit sebanyak ada kebenarannya[kalau dibandingkan dengan Jepun].

Tetapi,kalau berdalilkan statistik rakyat Malaysia hanya membaca 2 buku setahun,saya kira statistik itu ada kekurangannya.

Di tengah kegawatan ekonomi,masih ramai yang berpusu-pusu ke Pesta Buku Antaraangsa KL baru-baru ni.Mungkin,orang Malaysia segan nak tunjuk kita ni kuat membaca kot...

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...