21 Oktober jam 10.30 malam. Saya baru sahaja sampai ke rumah dan dua orang sahabat saya sedang menunggu untuk berbincang mengenai perihal asrama lelaki al-Ijabah dipecah masuk dan banyak barang-barang yang telah dicuri termasuk passport salah seorang pekerja al-Ijabah.
“Dia orang ni, rumah anak yatim pun nak curi juga ke “ kata saya.
11.40 malam, setelah habis berbincang, saya menghidangkan bihon goreng untuk sama-sama makan. Baru saya perasan, satu massage dari Kak Liza yang telah dihantar sejak pukul 10.47 malam,
“Kalau penghuni meninggal di Darul Ukhwah, nak urus dengan siapa”
“Allah.. apa hal pulak ni? Kata saya.
Saya terus menghubungi Kak Liza, rupanya, seorang penghuni kita tiba-tiba meracau dan tidak sedarkan diri.
Saya dan dua orang sahabat ini terus memecut ke Darul Ukhwah di Petaling Jaya.
Sesampai di Darul Ukhwah, saya melihat saudara kita ini terbaring di atas katil hospital, diletakkan ditengah ruangan rumah, dengan al-Quran digital diletakkan di telinga.
Pertama sekali saya memandang wajahnya, saya agak terharu. Penghuni yang ini memang baik orangnya, tidak banyak bercakap, menjaga solat dan dia antara yang dikeluarkan dari gereja tempohari.
“Ustaz, saya ada pengalaman semacam ini, biasanya, kalau pesakit, tiba-tiba tak kenal orang, meracau, kencing merata, tak hiraukan orang lain, biasanya nak sampai masa dah ni” kata Mat, salah seorang penghuni Darul Ukhwah.
“Memang, setiap pesakit HIV, dia tidak akan tahu serangan seperti ini, nanti saya dan semua yang ada di sini juga akan melalui perkara yang sama” Mat menambah.
“Kalau macam tu, kita bawa dia ke Hospital sekarang” kata saya.
Penghuni-penghuni yang lain, terus memakaikan baju saudara kita ini, memakaikan pampers dan menguruskan keperluan dan kad-kad hospital, rekod rawatannya.
Semua ibarat sebuah keluarga, yang diikatkan dengan agama yang memerintahkan kita saling berkasih sayang.
Bagi pesakit HIV, hanya ada satu hospital sahaja di Semenanjung ini, iaitu hospital Sungai Buloh. Dua orang dari Darul Ukhwah memangku saudara kita ini di dalam van.
Kami terus memecut ke hospital Sungai Buloh. Sesampai di hospital ini, terus ke bahagian kecemasan.
Sampai ke bahagian kecemasan, salah seorang penghuni terus turun,
“Dari Darul Ukhwah” katanya pada kaunter pendaftaran.
Petugas hospital yang telah mengenali rumah kebajikan ini terus mengambil katil beroda, dan Mat memapah saudara kita ini ke atas katil tersebut.
Kami semua mengiringi hingga ke dalam bahagian kecemasan. Malam ini, bahagian kecemasan tidak sibuk, hanya ada beberapa orang yang kelihatan di atas katil, diberi rawatan kerana kemalangan.
Petugas terus membuat pemeriksaan. Memasukkan air ke dalam badannya, mengambil darah untuk diperiksan dan membuat pemeriksaan di badannya.
Doktor di hospital ini yang telah biasa dengan pesakit HIV bertanyakan beberapa soalan pada sahabat dari penghuni Darul Ukhwah ini.
Setelah menguruskan kemasukkan ke dalam wad hospital, doktor perempuan ini berkata:-
“tak apa, kamu boleh balik dulu, nanti apa-apa hal, kita akan maklumkan” katanya pada kami.
Dalam perjalanan pulang dari hospital, saya tidak banyak bercakap. Hanya terus berdoa yang terbaik untuk sahabat kita ini.
Semoga Allah terus memberi kesihatan dan peluang umur baginya untuk beramal, dan jika ini penghujungnya, saya bersyukur kerana, ia berakhir bersama kita, bukan di dalam naungan gereja tempohari.
“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
22 Oktober 09 jam 8.40 pagi
Pendaftaran di bahagian kecemasan
Semoga Allah terus memberi kebaikan kepadanya
Semoga Allah terus memberi kesihatan dan peluang umur baginya untuk beramal, dan jika ini penghujungnya, saya bersyukur kerana, ia berakhir bersama kita, bukan di dalam naungan gereja tempohari.
No comments:
Post a Comment