Friday, October 23, 2009

al-Ijabah 33 – Panduan Membuat Rumah Kebajikan

Pada 13 Oktober 09 lalu, saya ada beberapa urusan di Medan Indonesia. Muqaddimah perjalanan saya dikejutkan dengan berita dari Abang Azizi yang mengatakan bahawa ada 40 orang anak yatim di Sungai Buluh yang terpaksa keluar dari tempat kediaman mereka.

Cadangan yang diberikan oleh Abang Azizi agar kami dari al-Ijabah mengambil tanggungjawab bagi kesemua anak-anak yatim ini.

Ketika saya berada di Indonesia, Abang Azizi telah memulakan urusan ini. Akhirnya, kami diberitahu bahawa, mereka kena keluar kerana beberapa sebab dan mereka telah pun dapat mengatasi masalaah mereka. Jadi, pihak al-Ijabah tidak jadi mengambil mereka kerana mereka telah dapat menyelesaikan masalah mereka.

Permasalahan mereka sebelum ini ialah ada pihak yang tidak berpuas hati dengan mereka kerana, pengusaha rumah ini menggunakan anak-anak ini untuk menjaga beberapa kedainya bagi menjana ekonomi.

Sebenarnya sidang pembaca sekelian, kejadian di atas banyak terjadi terutama yang melibatkan rumah-rumah kebajikan. Anak-anak yang berada di dalam rumah kebajikan ini diarahkan untuk bekerja sedangkan sepatutnya mereka, dengan keadaan umur mereka sekarang, mereka kena duduk dan memberi tumpuan kepada pelajaran.

Kalau sekali sekala, sebagai mendedahkan kepada mereka pengalaman, tidak mengapa, tetapi tidaklah menjadi sebagai satu kewajipan.

Itu yang kita dapat lihat ada di antara anak dari rumah anak yatim, dari sekolah tahfiz, dari rumah kebajikan menjual kelendar di stesyen minyak, menjual CD, menjual buku, duduk di kedai menjual barang-barang dan sebagainya.

Ada yang meminta saya untuk menuliskan bagaimana ingin membuat rumah kebajikan. Ramai orang yang lebih layak bercerita dan ramai yang lebih berpengalaman. Tetapi sedikit yang saya tahu, ingin saya tuliskan agar dapat dikongsikan, semoga mendapat manfaat bersama.

Untuk membuat sebuah rumah anak yatim yang baik, seeloknya, seseorang perlu mengumpulkan tenaga dari sahabat-sahabat yang dipercayai dan sama pemikiran dan yang ikhlas di dalam kerjanya. Walaupun ikhlas tidak dapat lihat, tetapi akan dapat dirasa.

Hindarkan kawan-kawan yang suka memburukkan orang lain di hadapan kita, kerana nanti satu hari nanti, pasti dia juga akan memburukkan kita dihadapan orang lain.

Cari kawan yang boleh berterus terang dengan kita. Jika dia tidak puas hati dengan kita, dia tidak akan jumpa orang lain dulu, dia tidak akan mengumpat kita, tidak mengata kita di belakang kita. Dia akan bertemu dengan kita dan akan berbicara dengan jujur mengenai diri kita.

Kita juga perlu jujur dengan kelemahan diri kita. Jika kita ditegur dan benar teguran itu, jangan sekali-kali kita rasa terhina untuk memperbaiki kelemahan diri ini.

Setelah kita dapat mengumpulkan tenaga yang ikhlas, kita bahagikan bidang tugas.

Tenaga yang ada, perlu dipecahkan kepada dua bahagian:-

1. Bahagian Pemegang amanah

2. Bahagian Perlaksana

Bahagian Pemegang Amanah merupakan bahagian yang akan membuat polisi bagi sesebuah rumah kebajikan. Bahagian ini akan menyusun segala peraturan dan undang-undang berkaitan rumah. Selain itu, bahagian ini juga yang akan mencari dana dan kewangan sesebuah rumah amal.

Bahagian perlaksana pula merupakan bahagian yang menjalankan perjalanan sesebuah rumah amal. Bahagian ini memerlukan orang yang boleh mengorbankan masa untuk rumah kebajikan ini. Dia tidak memikirkan keperluan rumah.

Keperluan rumah kena disediakan oleh bahagian pemeganag amanah.

Saya ada pendirian mengenai keikhlasan.

“Ikhlas tidak menafikan hak”

Jadi, orang yang berada di dalam bahagian perlaksana perlu dikira sebagai petugas yang perlu dipenuhkan keperluannya. Jika ia boleh dinamakan sebagai gaji, maka kita perlu membayar gaji mereka. Jika ia dinamakan elaun, maka, elaun mereka perlu dibayar.

Kebanyakkan rumah amal, apabila yang mencari dana juga adalah orang yang menjalankan rumah, akan timbul beberapa masalah.

Antara masalah yang akan timbul ialah:-

1. tekanan kerana keperluan rumah tidak cukup

2. ungkit mengungkit kerana dia rasa dia telah banyak berkorban dan orang lain tidak membantunya.

3. mudah timbul fitnah kepadanya kerana dia pencari dana, dia tidak ada kerja lain. Nanti orang akan mudah fitnah bahawa dia mencari dana untuk dirinya. Ini banyak berlaku kepada pengusaha rumah kebajikan

4. apabila keperluan rumah tidak dicukupkan, maka yang akan menjadi mangsa adalah anak-anak di dalam rumah kebajikan ini. Mereka yang akan kena bekerja untuk membayar sewa rumah, yang kena menjual itu dan ini untuk membeli beras dan makanan, yang kena meminta derma untuk memenuhkan keperluan rumah.

Kenapa perkara yang keempat boleh berlaku? Kerana, tidak ada bahagian pemengang amanah yang membantu mencari dana.

Membuat rumah kebajikan memerlukan jemaah perlaksana yang baik. Kadang kala, pengasas tidak mengambil orang untuk membantunya kerana dia takut, nanti orang lain akan jatuhkannya dan mengambil alih rumah tersebut.

Dan banyak juga perkara sebegini berlaku. Kerana apa? Kerana dari awal, kurang keikhlasan dan ada kepentingan.

Sebab itu dari awal, pilih kawan-kawan seperjuangan dengan ikhlas. Pilih mereka dengan istikharah, dan antara anugerah yang paling besar yang diberikan Allah di dalam sesebuah perjuangan ialah, sahabat-sahabat yang ikhlas.

Semoga kita akan terus berusaha untuk akhirat kita. Ketelusan amal di dunia akan membawa ketelusan hisab di akhirat.

“Mencari Kepulangan Yang Diredai”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

23 Oktober 09 jam 9.45 pagi.

**** artikel terdahulu mengenai rumah anak yatim di Sungai Buloh yang ingin ditutup

http://www.ustazamin.com/2009/10/al-ijabah-29-haaaaaaaaah.html

IMG_9541

Mesyuarat Majlis Tertinggi Darul Ukhwan Yayasan al-Ijabah

IMG_9543

Badan Pemegang Amanah Dan Perlaksana Perlu diwujudkan dan saling membantu

IMG_9552

“Kebenaran Tanpa Peraturan Akan Dikalahkan Dengan Kebatilan Yang Berperaturan”

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...