Thursday, October 29, 2009

Universiti Kehidupan 120 – Klip-Klip Iman

27 Oktober 09, jam 8.00 malam, saya dan beberapa orang sahabat berada di Kuala Selangor untuk melihat tapak cawangan Rumah al-Ijabah (jika jadi).

Kami dan tuan tanah berjanji akan bertemu di tapak rumah ini jam 9.30 malam. Jam 9.00 malam, saya sudah sampai di lokasi.

“Haji, dekat mana? Saya dah sampai dekat sini ni” kata saya pada tuan tanah.

“Ustaz, saya lambat sikit, ini dari Shah Alam, mungkin dalam setengah jam lagi baru sampai”. Kata tuan tanah.

“Lambat lagi ni, apa nak buat ye” kata saya pada ahli rombongan yang bersama saya.

“Kita ke Kampung Kuantan tengok Klip-Klip nak nak?” salah seorang ahli rombongan mencadangkan.

“Mmm, ok juga, kalau tak, nak buat apa?” Kata saya.

Klip-klip adalah sejenis binatang yang mempunyai cahaya di belakang badannya. Dahulu, TNB, pernah menjadikan kisah Klip-Klip ini tema iklan mereka.

Kami sampai di Jeti Klip-klip di Kampung Kuantan. Ramai orang sudah balik dan ada juga yang baru datang seperti kami.

Untuk menaiki sampan, kita perlu membayar RM 40.00 dan sampan boleh memuatkan seramai 4 orang.

Setiap penumpang akan dibekalkan dengan sebotol air mineral dan kami diwajibkan memakai jaket keselamatan.

Saya memerhatikan keadaan gelap sungai di Kampung Kuantan ini. Airnya keruh dan suasana jam 9.00 memang sudah sunyi. Barangkali tidak banyak rumah di sekitar sungai ini.

Kami mula melangkah masuk ke dalam sampan. Teringat ketika kecil-kecil dahulu, waktu datuk saya membawa saya balik ke rumahnya di Parit Yani Batu Pahat. Waktu tu, mesti naik sampan untuk melintas sungai.

“Kalau nak cantik, datang pada 1 hingga 6, dan 18 hingga 26 bulan Islam. Waktu tu, bulan tak ada. Kita boleh tengok dengan cantik Klip-Klip ni sangat terang”. Pak Fuad, pemandu sampan mula berceloteh.

“Aaa, cuba tengok sana tu, kalau kita tengok satu saat, kelipnya tiga kali, itu jantan, kalau satu saat sekali, itu betina. Dia menerangkan.

Klip-Klip jenis Tener, Valida dan Malaccae yang terdapat di kampong Kuantan ini ialah antara 2000 spesis Klip-Klip yang terdapat di dunia. Ia akan berkumpul di pokok Berembang yang terdapat di sini untuk mengawan.

“Bila musim mengawan dia orang ni Pakcik” Tanya Helmi.

“Klip-Klip ni macam manusia, tiap-taip hari dia nak, tiap-tiap hari ada” kata Pak Fuad sambil tersenyum.

“Kalau datang lepas Maghrib memang cantik la, sebab banyak, kalau dah pukul 10 dah kurang, sebab dia dah mula mengawan. Jadi, tak banyak, dua Klip-Klip tu dah jadi satu. Kalau kita tangkap dia, memang ada tengah melekat dua” kata Pak Fuad lagi.

“Macam tangkap khawlatlah ye” kata Helmi sambil yang lain turut ketawa.

Saya memerhatikan Klip-klip yang cantik berkelip seperti lampu-lampu kecil yang dipasang ketika hampir hari raya.

Saya merenung dan teringatkan ayat al-Quran di dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang berbunyi:-

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,

Makhluk lain pernah ditawarkan untuk di amanahkan di bumi, memikul agama, kefardhuan dan amanah-amanah yang lain. Semua mereka tidak berani memikul tanggung jawab itu. Kemudian Allah jadikan Adam dan Adam bersetuju membahu amanah ini.

Di dalam tafsir at-Tabari menyatakan, yang dikatakan amanah ialah jika berbuat baik akan diganjarkan dan jika mengabaikan akan dibalas.

Berkata pula Qatadah di dalam Tafsir Ibnu Kathir, amanah itu ialah agama dan segala kefardhuan.

Cuba banyangkan, si klip-klip, hidup dan mati tanpa tanggung jawab. Tak akan ditanya pasal solat, pasal zakat dan lain-lain. Tapi, manusia, semua akan ditanya.

Di dalam Tafisr at-Tabari, Abu Darda’ telah meriwayatkan dari Rasullullah saw, lima perkara, sesiapa yang datang dengannya pada hari kiamat dengan iman, akan masuk ke syurga.

1. siapa yang menjaga solat lima waktu, wudhuknya, rukuknya, sujudnya dan waktunya

2. Memberi zakat dari harta yang baik dan tidak akan berbuat demikian melainkan orang yang beriman

3. berpuasa Ramadhan

4. Haji ke Baitullah bagi sesiapa yang mampu

5. Menunaikan amanah

Kita lihat pula apa yang terakam di dalam tafsir Qurtubi,

Abdullah bin Amru bin al-Ash telah berkata, barang pertama yang Allah jadikan pada diri manusia ialah kemaluannya dan Dia berkata, ini adalah amanah Aku letakkan padamu. Maka janganlah kamu pakainya melainkan dengan hak. Jika kamu menjaganya, aku akan menjagamu. Maka kemaluan adalah amanah, dan telinga adalah amanah, dan mata adalah amanah, dan lisan adalah amanah dan perut adalah amanah dan tangan adalah amanah dan kaki adalah amanah. Dan tidak ada iman bagi sesiapa yang tiada amanah baginya.

Jadi hidup kita adalah amanah. Si Klip-Klip terbang dan hinggap tanpa soalan di akhirat. Tetapi kita, setiap saat, akan ditanya mengenai segala amalan-amalan dan tanggung jawab yang dibuat. Adakah ketika bertemu Allah, kita di dalam keadaan yang diredhainya atau sebaliknya.

Semoga terus kita mempertingkatkan diri, semoga Allah terus membimbing kita, amin…

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

29 Oktober 09 jam 8.45 pagi

IMG_9819

Nampak tak cahaya-cahaya kecil dari pokok Berembang ini

IMG_9823

 

IMG_9824

ia antara tarikan dunia di Malaysia. Semua memaparkan kebesaran Allah

IMG_9826 

IMG_9833

IMG_9834

IMG_9837

IMG_9855

Rumah yang kami lawat di dalam cita-cita membuka cawangan rumah al-Ijabah (jika diizinkan Allah)

IMG_9858 

IMG_9861 

Kawasan rumah. Semoga dipermudahkan, amin…

1 comment:

Anonymous said...

kalau ustaz nak tahu tulah kampung saye.tapi baguslah sebab rumah tu takde sape nak duduk

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...