Monday, October 26, 2009

Sekilas 25 – Isu Sejadah Berdiri

26 Oktober 09, seperti biasa, hari ini, saya dan anak-anak yatim dan tahfiz al-Ijabah sama-sama di dalam majlis bacaan selawat menggunakan kitab ad-Dibaie. Memang program setiap Ahad, anak-anak ini akan dibiasakan membaca selawat dan sirah Nabi.

Tamat jam 6.30 petang, saya membawa 15 orang dari mereka ke Bukit Jelutong untuk menghadiri majlis kesyukuran seseorang yang memasuki rumah barunya.

Majlis di pimpin oleh Ustaz Ramadhan dari Gerbang Perdana. Ia dimulakan dengan membaca Yasin, tahlil ringkas dan akan ditutup dengan solat meminta hajat, sejurus selepas solat Isyak.

Sewaktu menunggu solat Isyak, tiba-tiba saya dihubungi oleh kak Safiah dari seksyen 8.

“Ustaz, datanglah sini (seksyen 8), ada sejadah berdiri di rumah jiran saya ni, ramai orang berkumpul untuk tengok ni” kata Kak Safiah.

“InsyaAllah kak, saya dalam majlis ni, selepas majlis ni, nanti saya datang” jawab saya ringkas kerana telah hampir waktu isyak.

Selepas majlis di Bukit Jelutong ini selesai, saya bersama Ustaz Esamuddin (sahabat saya) pergi ke Seksyen 8, ke rumah jiran Kak Safiah.

Sesampainya saya di sana, ramai orang berkumpul di sana. Saya melangkah masuk ke dalam kawasan rumah.

Saya bersalaman dengan yang hadir, saya bersalaman dengan Dato’ Khusrin, pengarah JAIS. Beliau merupakan jiran tuan rumah ini.

“Saya dah hubungi Darul Syifa’, mereka kata tak ada apa-apa, lipat balik saja” kata Dato’ Khusrin.

Beliu juga menghubungi Dr. Amran Kasimin dan Dr. Amran juga menyatakan perkara yang sama.

Saya melangkah masuk. Diiringi dengan orang ramai.

“Alamak, kenapa dia orang semua follow ni, dah macam tok bomoh masuk rumah aje” bisik hati saya.

Saya dipersilakan masuk ke dalam bilik tempat sejadah yang dikatakan berdiri ini. Saya mengambil gambarnya dari berbagai sudut.

Sejurus sahaja mahu keluar dari bilik ini, beberapa orang bertanya saya. Keadaannya seperti seorang doktor yang keluar dari bilik pembedahan dan dikerumuni oleh orang banyak.

“Macam mana ustaz, apa pandangan ustaz” Tanya mereka.

“Tak ada apa-apalah” kata saya.

Saya memberi pandangan saya secara ringkas mengenainya.

Di sini saya ingin berkongsi pandangan mengenai kejadian sejadah berdiri ini.

Sebenarnya, perkara seperti ini bukan pertama kali saya dengar. Pertama sekali saya dengar di Mekah beberapa tahun lalu.Pada pertama kali saya dengan kisah ini di Mekah, saya membayangkan sejarah itu benar-benar berdiri, rukuk, sujud dan duduk tahyat.

Rupanya ia hanyalah sedikti sahaja dan tak sampai suku sahaja yang ternaik. Sebenarnya kita boleh buat terutamanya jika sejadah itu baru. Kita lipatkan dan naikkan seperti itu.

Beberapa sahabat saya yang belajar di Ummul Qura’ Mekah, berbual dengan saya mengenainya.

Saya pernah menziarahi beberapa orang ulama’ Pattani di bukit Jiyad, Mekah. Mereka tidak memandang perkara ini satu yang besar kerana Allah boleh buat apa sahaja yang Allah kehendaki.

Saya bersetuju dengan pendapat ini iaitu Allah boleh menunjukkan kekuasaannya pada siapa yang Dia kehendaki. Bukan sahaja sejadah berdiri, lebih dari itu pun boleh berlaku jika Allah ingin membuatnya. Di dalam surah Yasin, Allah menyatakan bahawa:-

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia.(surah Yasin ayat 82)

Di dalam tafsir Ibnu Kathir, pengarang membawakan sebuah hadith mengenai kekuasaan Allah untuk mengazab dan mengampunkan sesiapa sahaja yang dikehendaki.

Di dalam tafsir al-Qurtubi pula menyatakan bahawa, jika Allah ingin menghendaki sesuatu, tidak Dia berasa letih.

Pada saya ia tidak mustahil berlaku.

Cuma, jangalah peristiwa sejadah berdiri ini diceritakan dan kita merasa takjub dengan sejadah itu, kita rasa takjub dengan surau itu, kita rasa takjub dengan rumah itu dan sebagainya.

Jangan pula kita jadikan sejadah itu satu barang keramat untuk disimpan lantaran anehnya kejadian ini.

Jangan pula kita rasa seram sejuk untuk membetulkan sejadah yang dikatakan seolah-olah sedang berdiri itu sedangkan ia tidak boleh sama sekali memberi mudharat dan manfaat pada kita.

Jangan pula kita berbangga bahawa ia berlaku di surau kita, di tempat kita.

Di setiap kejadian aneh yang berlaku ada tanda-tanda kebesaran Allah. Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa:-

Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al Quraan itu adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu? (surah Fussilat ayat 53)

Dan, di dalam setiap perkara yang berlaku juga, syaitan akan mengambil peluang untuk menyesatkan akidah anak Adam.Di dalam al-Quran, Allah berfirman:-

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma'siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, (al-Hijr ayat 39)

Jadi kesimpulannya, mengenai sejadah berdiri, ia tidak mustahil berlaku tetapi kembalikan semua peristiwa yang berlaku pada kekuasaan Allah. Jangan sampai syaitan berjaya memesongkan akidah kita dengan peristiwa aneh yang berlaku.

Semoga, dengan sentiasa memohon hidayah, Allah akan pelihara iman kita di mana sahaja kita berada.

“Sekilas Itu Realiti, Realiti Itu Kehidupan”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

26 Oktober 09 jam 8.45 pagi

IMG_9693

Petang ini, saya bersama anak ijabah membaca selawat-selawat dair kitab ad-Dibaie

IMG_9700

Sejadah yang dikerumi ramai orang di Seksyen 8 Shah Alam

IMG_9701

Jika nak dikatakan aneh, ia sebenarnya boleh dibuat dengan manual

IMG_9704

Mula-mula saya dengan mengenainya di Mekah, saya membayangkan bahawa ia berdiri sungguh hingga ke hujung benang di bawah sejadah

IMG_9709

Pada saya, peristiwa ini tidak mustahil berlaku tetapi jangan sampai ia melupakan kita pada Allah

7 comments:

Shahabudeen Jalil said...

kah kah kah kah kah.....

lawak betul...

tak habis2 dengan isu sejadah berdiri nie.. orang yang buat benda nie mesti dok gelak berdekah-dekah.

senang betul nak sesatkan akidah orang islam.. hantar seorang pencuri, tapi bukan untuk mencuri, tapi untuk masuk masjid dan rumah dan buat sejadah berdiri..

he he he.. pasti orang Islam berduyun2 percaya tahyul ini.

Anyway, ulasan ustaz bagus.. Allah boleh buat apa saja.

Pendapat orang Darul Syifa pun tepat. Amik lipat balik je. he he he..

lawak di pagi hari.. kah kah kah.

Mohd said...

haii...ini mungkin persediaan awal kot...sebelum menanti fitnah dajjal yg lebih dahsyat lagi, dajjal yg boleh menghidupkan org yg mati dan bermcm2 hikmat lagi, semoga kita diselamatkan dari fitnah dajjal kelak...aminn...

Hunny said...

Sejadah dah berdiri, orangnya bila nak berdiri atas sejadah pulak?

Agaknya sebab boring sangat sejadah tu, tak ada orang nak guna dan berdiri atasnya, terpaksa lah dia jadi attention seeker, dia pun buat2 la berdiri, hmmm...

Shahabudeen Jalil said...

agak bodoh kenyataan tukang komen yang kedua.

Fitnah dajjal tu memang la ada.. tapi kalau dajjal boleh hidupkan orang mati, adakah ko nak pergi sembah dia.

Kita kena sentiasa faham Allah Maha Berkuasa. Sama la dalam kes sejadah nie.

Anonymous said...

Islam x mengajar kite berbahasa kesat..mengajar org yg slh haruslah menggunakan bahasa yg sopan..walaupun kita bnyk berpengetahuan..tp jgn kita hina di sisi allah kerana bahasa kita sesama manusia..

Sejadah Ajaib said...

Mengapa sejadah Sajda Salah Mat semakin popular?

Dapatkan jawapan di sini:
http://sejadahsolat.blogspot.com/

islam agamaku.. said...

ma sha Allah...bertaubatlah pada sesiapa yg menafikan kejadian ini...pernah dgr kisah Nabi Muhammad s.a.w yg mnceritakan perihal bahawasanya baginda dihantar sbg utusan Allah...lalu ditertawakan oleh kaum Quraisy...ma sha Allah..ia masih berlaku pd zaman ini...bertaubtlah...sama2 kita bertaubat...ia mmg berlaku...tidak mustahil...kerana ia berlaku dpn mata saya sendiri...selepas solat tahajjud jam 4 pagi..demi Allah,bukan rekaan,ia benar2 berlaku...demi Allah,demi tuhan....bertaubatlah bagi yg mentertawakannya..juga pesanan utk saya sendiri....sesungguhnya tiada yg mustahil dgn kuasa Allah..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...