Sunday, October 18, 2009

Diari 121 - Institut Agama Islam Negeri Sumatra Utara (IAIN SU) Medan

13 Oktober 09, jam 9.40 malam, saya bertolak ke Medan Indonesia, menguruskan beberapa perkara sambil menziarahi anak-anak murid saya yang kini belajar di IAIN SU (Institut Agama Islam Negeri Sumatra Utara). Pejam celik, mereka yang diuruskan memasuki IAIN, sekarang hanya tinggal menulis tesis dan menamatkan pengajian mereka di peringkat Sarjana Muda Syariah.

Sejuk mata melihat bakal-bakal ustaz ini. Semoga Allah terus membimbing generasi agama ini.

Pagi 14 Oktober 09, saya diajak menziarahi kampus mereka. Kami menaiki kenderaan yang disewa. Pagi ini, kota Medan dibasahi dengan hujan renyai-renyai. Di hadapan gerbang kampus terdapat banyak angkut (kenderaan awam) berwarna kuning dan merah yang berbaris menunggu penumpang.

Kami mula memasuki gerbang kampus IAIN. Terdapat dua orang jaga yang ditugaskan menajaga pintu masuk kampus ini, pengawal tanpa pondok pengawal dan hanya duduk di kerusi yang disediakan.

IAIN Medan tidaklah berapa besar, barangkali seperti cawangan UiTM di sesetengah tempat. Tetapi jasanya di dalam melahirkan cendikiawan agama tidak dinafikan, dan sebab itulah juga, kerajaan Malaysia mengiktiraf graduan keluaran IAIN ini.

Saya diajak untuk melawat setiap penjuru Kuliah Syariah. Memang agak beza dari kelengkapan pengajian jika ingin dibandingkan dengan di Malaysia.

Dari satu kelas ke satu kelas. Saya memerhatikan setiap pelajar. Di sini, tidak seperti di Malaysia. Kebanyakkan pelajar agama di Malaysia mempunyai doktrin Bi’ah Solehah ( mewujudkan suasana persekitaran yang baik menurut syariat). Kalau di fakulti agama, pergaulan agak terjaga dan masing-masing akan menjaga perlakuan.

Di sini, pergaulan antara lelaki dan perempuan bukanlah sesuatu yang agak besar. Pelajar lelaki dan perempuan bergaul dengan agak bebas. Mereka bergurau senda sambil ketawa keriangan.

Sesekali kelihatan mahasiswa yang menggendong mahasiswi dengan motorsikal.

Di sekitar kampus ini juga kelihatan para pelajar bebas menghisap rokok, padahal mereka di bidang agama. Bagi masyarakat Indonesia, rokok adalah perkara yang menjadi amalan biasa.

Sebab itu ada gurauan yang berbunyi:-

“Jika kita ke Mesir, jangan Tanya kenapa para ulamanya tak ada janggut, jika kita ke Yaman, jangan Tanya kenapa ada para ulamanya yang mengunyah gad (sejenis daun yang disentil dimulut seperti orang dahulu menyentil tembakau), dan jika di Indonesia, jangan Tanya kenapa ada ulamanya ada yang menghisap rokok”

Ini kerana, janggut di Mesir adalah sesuatu yang melambangkan ala-ala pengganas, jadi, para ustaz jarang berjanggut.

Gad pula merupakan sentil harian di sesetengah tempat seperti kopi bagi orang-orang tua di Utara tanah air.

Manakala rokok pula menjadi kebiasaan masyarakat Indonesia seperti kebiasaan meminum Coca Cola bagi orang Arab.

Ketika saya bersarapan di kantin Fakulti, duduk di satu sudut pelajar-pelajar Master dengan seorang penyelia mereka. Masing-masing membuka kitab dan membahaskan antara satu sama lain sambil sesekali Doktor Penyelia tersebut mencelah dengan rokok yang sedang dihisap di tangan.

Di Malaysia, amat jarang menemui Doktor dalam bidang agama menghisap rokok dan jika ada sekalipun, jarang di khalayak ramai.

Apa yang menarik yang saya lihat di sini ialah, di satu sudut, terdapat penjualan makanan ringan, tidak ada orang yang menjaga. Masing-masing meletakkan duit dan mengambil makanan ringan yang terdapat disitu.

Ini beza, fakulti agama. Di dalam bab ini, kita tidak rungsing akan kehilangan.

Di sini ramai juga pelajar dari Malaysia. Kebanyakkan mereka mengambil jurusan Syariah. Untuk mengenal pelajar Malaysia amat senang. Kalau siswinya dapat dikenal dengan tudung labuhnya manakala lelakinya dari segi pakaiannya.

Perpustakaan di sini tidaklah berapa besar. Hanya kitab-kitab utama sahaja.

Sejam lebih di sini, saya mula beredar meninggalkan IAIN. Ini pertama kali saya ke IAIN Medan. Sebelum ini, saya hanya pernah melawat IAIN Jambi ketika menghantar beberapa murid saya beberapa tahun lalu.

Kita mengharapkan agar pelapis agamawan yang bakal dilahirkan di sini bersedia untuk tugasan besar di negara kita. Semakin ramai para agamawan, diharapkan semakin dapat mereka mendidik masyarakat satu hari nanti.

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

18 Oktober 09 jam 8.15 pagi

IMG_8061

terdapat angkut berwarna kuning dan merah

IMG_8063

gerbang masuk Institut Agama Islam Negeri Sumatra Utara (IAIN SU) Medan

IMG_8064

Ketika saya datang, ada majlis Halal Bihalal, satu program bermaafan sempena hari raya

IMG_8065

Dewan besar di IAIN

IMG_8157

IMG_8076

Perpustakaan yang agak sederhana

IMG_8079

Suasana dalam kelas

IMG_8080

Suasana mahasiwa/i di ruang legar

IMG_8083

Ini kelebihan fakulti agama, insyaAllah, tidak hilang walaupun jualan tanpa yang menjaga

IMG_8086

suasana dalam kelas

IMG_8100

Bilik Munaqasah bagi pelajar tahun akhir. Di sini mereka akan diuji oleh beberapa panel dengan soal jawab

IMG_8128

Pelajar Malaysia

IMG_8130

Merokok dapat dilihat di sana dan sini

IMG_8133

Pandangan biasa menunggang motorsikal bersama

IMG_8156

Mahasiswi Syariah IAIN

IMG_8162

Di kantin

IMG_8158

Bersama anak murid saya di IAIN, semoga bakal menjadi ustaz yang tawadhuk dengan ilmu

IMG_8167

Pengajian santai di Kantin

IMG_8173

Jaga di gerbang utama

4 comments:

Unknown said...

Salam ustaz,macam mana kalau saya berminat untuk menyambung pengajian master di IAIN SU nie?

Unknown said...

Salam ustaz...saya akan menamatkan penagjian saya pada peringkat diploma di universiti malaysia pd tahun ini....saya berhasrat untuk menyambung ijazah saya di IAIN SU...jd apakah yang perlu saya lakukan???dan berapa lama masa yang di ambil untuk saya menamatkan pengajian di IAIN SU????mohon penjelasan.....

ishaq said...

salam ustaz, kolej saya sedang mengadakan link dengan tempat pengajian medan ini, akan tetapi saya lebih berminat untuk menyambung disini, saya harap ustaz boleh berikan sedikit pencerahan untuk menyambung disana

Unknown said...

assamulaikum ada perpustakaan institut agak besar berbanding fakulti. harap maklum

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...