Sunday, October 31, 2010

al-Ijabah 76 – “Akan Ku Usahakan Yang Terbaik Wahai Anakku….”

“Tahan… tahan..” bisik hati saya.

“Saya telah berusaha sedaya upaya” kata Doktor Lim.

Hati saya semakin berdebar…

“Kenapa pulak Dr.Lim ucapkan perkataan ini? Bisik hati saya.

“Pembedahan tidak dapat dibuat, sudah agak terlambat” Doktor Lim menambah lagi.

Kali ini saya tidak dapat menahan lagi, air mata saya mula bertakung di kelopak. Mungkin Dr. Lim tidak perasan atau buat-buat tak perasan.

Perlahan-lahan saya menyapunya dengan jari kecil saya.

“Ya Allah, ada juga hambamu yang kamu uji semaksima seperti ini” bisik hati saya.

Saya cuba mengawal reaksi saya agar tidak dilihat oleh orang-orang sekeliling.

Hari ini 29 Oktober 2010, sekembali dari program Terengganu, sepetang saya bersama anak yatim piatu yang di bawah jagaan rumah al-Ijabah ini. Adik kecil darjah lima ini sudah tidak lagi berpeluang untuk memanggil nama ayah atau ibu kerana keduanya telah dijemput pulang oleh Allah.

Nurasyiqin, saya memang akan mudah mengingati nama ini sejak dia bersama al-Ijabah pertengahan tahun ini kerana pernah seseorang datang kepada saya dan meminta saya menamakan anaknya, dan saya telah mencadangkan dengan nama ini.

Dia sudah dua hari di hospital Gleneagles hospital di Ampang, pemeriksaan bagi jantung berlubangnya ditaja oleh NST.

Sejak mula-mula Nurasyiqin bersama al-Ijabah, saya telah berbincang dengan beberapa doktor, beberapa hospital swasta tetapi nampaknya agak lambat berbanding dengan urusan yang dibuat oleh NST.

Ibu saya yang selalu melihat keadaannya dan menjaganya seperti beliau menjaga saya sewaktu saya kecil dahulu.

Jantungnya tidak boleh dibuat pembedahan setakat ini, sudah agak terlambat, maklumlah, ketika Allahyarham kedua ibu dan ayahnya ada, mereka bukannya dari keluarga yang senang.

Untuk enam bulan mendatang, Nurasyiqin akan dibantu dengan ubat, jika setelah enam bulan, perkembangannya baik, maka pembedahan akan dapat dibuat, tetapi jika keadaannya sama, maka pembedahan tidak akan dapat dibuat.

Yang menjadikan saya cukup sebak ketika doktor memberitahu menurut ilmu yang ada padanya tentang kebiasaan jangka hayat.

“Ah.. jangan percaya, umur urusan Allah” hati saya berdebat sendirian walaupun perkataan itu cukup menghiris.

Untuk lebih menenangkan hati lagi, saya cuba mengingati seorang sahabat saya yang ada penyakit yang sama, doktor mengatakan, dia boleh hidup hingga umurnya 21 tahun. Tapi sahabat saya ini telah menjangkaui telahan doktor dan masih hidup hingga sekarang.

Setelah bertemu doktor Lim, saya balik ke wad. Saya lihat wajah Nurasyiqin, cepat-cepat saya berpaling kerana terharu melihat wajahnya bersih.

Adik kecil ini mungkin tidak berapa faham keadaan dirinya. Dia kelihatan ceria melihat TV yang berada di hadapan katilnya. Saya yang mendengar taklimat doktor mengenai dirinya yang sedih.

Sedih kerana tidak mampu berbuat apa-apa setakat ini kerana pembedahan tidak dapat dibuat. Saya mendoakan agar enam bulan akan datang ada perkembangannya.

Sebelum pulang, Nurasyiqin muntah lagi, untuk beberapa ketika, dia masih lagi dipantau oleh petugas kesihatan.

Jam 5.00 petang, saya dimaklumkan bahawa Nurasyiqin boleh dibawa pulang.

Saya memandang wajahnya, bagaimana masa depannya?

“Ku serah padamu Allah, aku hanya mampu berusaha sebaiknya” bisik hati saya.

Semoga, untuk enam bulan ini, ada perkembangan baik dalam kesihatannya, amin…

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

23 Zulkaedah 1431/ 31 Oktober 2010 jam 11.30 malam

Adik Nurasyiqin, antara anak-anak kesayangan saya yang bersama di dalam al-Ijabah….

7 comments:

sufc said...

Salam,saya bayar fidayah ke akaun Yayasan Al-Ijabah RM28.00.Terima Kasih.

Anonymous said...

moga nurasyiqin cepat sembuh

..nOWa.. said...

insyaallah ustaz, semoga adik nurasyiqin cepat sembuh..

PINATBATE said...

salam
Ya Allah yg Maha Pengasih,peliharalah kesihatan adik Norasyikin ini,kurniakanlah kesabaran kepadanya dan orang-orang yang menjaganya.

Anonymous said...

salam ustaz boleh cuba rawatanislam2u kalau mahu cuba

Anonymous said...

Salam ustaz,
Saya nak bertanya, ustaz sudah cuba Dr. di IJN? Sebab IJN ada specialist untuk penyakit2 yang berkenaan dengan jantung, sekiranya belum, saya syorkan ustaz bertanyakan pada mereka. Kalau sudah, hanya doa yang mampu saya hulurkan untuk adik asyikin kita. Kuatkan semangat ye dik!

Anonymous said...

salam ustaz..
dulu ada kes penyakit jantung berlubang juga, pesakit alhamdulillah sihat walafiat & hilang jantung berlubang nya melalui rawatan ruqyah.

walaupun itu semua rezeki masing-masing, tapi ustaz boleh cuba.
saya cadangkan ustaz cuba ya.
cari lah mana-mana perawat ruqyah yang ikhlas ... bayaran pun ibarat sedekah dan tidak mahal2 macam hospital.

sekadar memberi pandangan. assalamualaikum.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...