Friday, October 8, 2010

Diari 244 – “Melayu Dan Dunia Usahawan..”

“Mmmm, letihnya” bisik hati saya pada Selasa 5 September jam 9.30 malam.

Kala ini saya sedang bersiap untuk bergerak ke Johor kerana pada pagi esoknya saya mempunyai program bersama MARA Pontian dan UiTM Johor. Tapi program yang agak padat sedari pagi hampir-hampir membuatkan saya ingin bertolak ke Johor jam 3 atau 4 pagi.

Setelah duduk sambil menghirup segelas air teh suam madu, saya kuatkan semangat dan mula bergerak ke Pontian Johor jam 10 malam.

Perjalanan malam ini agak hening, tidak banyak kereta, barang kali bukan waktu cuti. Bertemankan anak buah saya, kami sampai ke Pontian hampir pukul dua pagi.

Terus “datar masuk” di Hotel Pontian. Satu keunikan Pontian ini, tak padan dengan bandarnya yang kecil, banyak juga hotel dan rumah tumpangan di sini. Barangkali, orang Singapura yang turun pada hujung minggu membuatkan industri perhotelan hidup di sini.

Setelah masuk ke bilik hotel, saya mengambil masa untuk menaip beberapa kerja yang perlu di siapkan. Sejam kemudian, barulah semua penulisan dapat di sempurnakan.

Saya menjeling jam, hampir pukul 3 pagi. Menjengah ke tingkap di luar, tidak ada orang yang lalu lalang. Hanya beberapa anjing yang ke sana ke mari dengan riang. Agaknya, gembira kerana merasakan “dunia ini ana yang punya”

Pagi ini, Rabu 6 September 2010, jam 9.00 pagi, saya telah berada di Kompleks Usahawan bersama pegawai MARA dan usahawan MARA daerah Pontian. Pagi ini, pihak MARA menganjurkan majlis bersama usahawan Melayu daerah Pontian.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa kemudian ceramah dari tokoh usahawan daerah Pontian.

Ceramah yang agak menarik ini, mengisahkan suka duka usahawan Melayu. Dari intipati, beberapa perkara dapat saya kongsikan.

Menurut penceramah yang merupakan Yang Dipertua Kontraktor Melayu Johor, faktor lokasi memainkan peranan penting untuk usahawan memulakan perniagaan.

Beliau memberikan contoh, Parit Raja Batu Pahat. Setelah wujudnya beberapa institusi pendidikan, maka tempat itu terus membangun dengan pesatnya.

Selain itu pesan beliau, seorang usahawan perlu peka dengan kehendak pelanggan dan menceburi bidang-bidang baru.

Saya teringat buku “Blue Ocean Strategy” yang pernah saya baca membahaskan mengenai keperluan seorang usahawan mencipta fenomena baru di dalam bidang yang diceburinya.

Umum tahu bahawa berniaga adalah sunnah Nabi dan memang ada orang yang Allah lahirkan dengan bakat berniaga dan ada yang tidak.

Allah jadikan manusia ini berbagai-bagai bakat dan minat.

Ada orang yang berbakat di dalam perniagaan, tetapi tidak ada minat berniaga, maka orang ini tidak akan menjadi seorang usahawan.

Ada orang yang tidak ada bakat, tetapi mempunyai minat, maka dia berniaga, akhirnya dia boleh berjaya di dalam perniagaan.

Ada orang yang ada bakat dan ada minat, maka orang ini akan mudah berjaya di dalam bidang perniagaannya.

Bagi kebanyakkan orang Melayu kita, kita perlu memupuk untuk minat di dalam perniagaan. Ini kerana, ia bukan sahaja sebagai usaha kita di dunia, tetapi sebagai amalan sunah Nabi SAW yang sangat berkat untuk kita ikuti.

Apapun, teringat saya mengenai satu hadis, walaupun kedudukan hadis ini tidak kuat, tetapi boleh digunakan untuk merangsang semangat.

“Hendaklah kamu di dalam bidang perniagaan, kerana perniagaan itu sembilan persepuluh dari pintu rezki”

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

29 Syawal 1431/ 8 Oktober 2010 jam 3.45 petang

Kompleks usahawan di Kayu Ara Pasong Pontian.

Majlis pagi ini adalah dialog bersama para usahawan

Perkongsian pengalaman berniaga dari orang yang telah berjaya.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...