Monday, October 25, 2010

Universiti Kehidupan 171 – “Akhlak.. Manakah Asasnya…?”

“Kalaulah program “Bersamamu TV3” dibuat di sini” bisik hati saya ketika menziarahi rumah orang susah di sini. Takrifan orang susah di sini ialah orang yang betul-betul faqir kerana rata-rata orang sini susah.

Inilah keadaan di Cambodia ini.

Saya melangkah masuk rumah Mustafa, orang yang mempunyi enam anak. Barangkali rumahnya sebesar bilik anak-anak kita di Malaysia, atau besar sedikit dari  enam biji kereta disusun rapat.

Rumah kecilnya ini mempunyai satu bilik. Tinggal di dalam rumah ini 9 orang, Mustafa bersama isterinya, ibu Mustafa dan 6 orang anaknya.

Anak perempuan yang paling besar berumur 15 tahun, anak perempuan keduanya 12 tahun dan yang paling kecil 2 tahun.

Anak-anak dara yang sedang membesar juga tidur di satu ruang. Kalau di sesetengah tempat di Malaysia, rumah begini sudah tidak ada lagi dan bagi rumah flat sudah tidak diluluskan plan satu bilik kerana mungkin dan terjadi sumbang mahram.

Tetapi kejadian itu tidak berlaku di sini, kenapa?

Mustafa merupakan seorang yang buta mata sebelah kerana terkena serpihan kayu yang masuk ke dalam matanya ketika beliau bekerja menebang pokok. Sampai di hospital, doktor yang mengeluarkan serpihan itu mengeluarkan serpihan ini hingga luka matanya.Menurut Mustafa, setelah matanya dijahit, ia tidak lagi dapat melihat.

Saya memandang ke dinding rumah Mustafa, dindingnya dari buluh yang sudah terkopak sana dan sini, tetapi di dinding ini, tertampal kemas jadual waktu solat.

Terbisik di hati saya…

“Beginilah, sesusah mana pun, solat tetap dijaga, bagi anak-anaknya, solat tetapi dititik beratkan”

Ya.. itulah rahsianya, tidak pernah terjadi perkara buruk sekalipun duduk di rumah yang sempit. Pegangan kepada agama yang kuat.

Mustafa bekerja sebagai pengangkut barang dari pasar menggunakan kereta kuda uzurnya. Seluarnya sangat lusuh dengan jahitan seribu benang-benang yang lain warna dengan warna seluarnya.Tetapi ketika menghadiri solat di masjid, Mustafa akan memakai pakaian putih yang terbaik yang dimilikinya.

Di akan memimpin tangan anak kecilnya untuk dibawa ke masjid.

Ketika kami menziarahinya, seperti biasa, kami melihat aktiviti hariannya dan keluarganya. Dia memotong kayu untuk memasak nasi, tetapi ketika isterinya menyuapkan nasi ke mulut anaknya yang berumur dua tahun lebih, tidak ada lauk yang disertakan, hanya sesudu garam yang ditaburkan pada setiap suapan itu.

Tidak ada keluhan yang terdengar, selepas makan tetap mengucapkan kalimah pujian “Alhamdulillah”..

Sebagai seorang ibu, isterinya menjaga kebersihan anak kecilnya. Beliau melihat kuku anaknya yang panjang, diambilnya sebuah gunting, dan digunting kuku anaknya, tidak ada penyepit kuku, satu-satunya gunting yang dimilikinya menjadi alat untuk banyak perkara.

Pada waktu petang, anaknya akan bermain dengan anak-anak orang lain, bermain guli dan berkejaran, tetapi sampai waktu Maghrib, tak perlu dijerit, semuanya akan pulang ke rumah masing-masing.

Berbual dengan saudara Ali yang biasa menjadi jurukamera program “Bersamamu”..

“Beza ustaz, kadang kala saya tukang ambil gambar program “Bersamamu”, orang susah di negara kita, kadang kala mengucapkan pun tak ingat”

“Kadang kala saya yang ambil gambar ni pun, rasa macam angin juga tengok” kata saudara Ali lagi.

Kalau dah mengucapkan pun tak ingat, usah tanya soal solat. Kalau solat pun diabaikan, maka tidak pernah ada rasa untuk ingatkan Allah, dan apabila orang tidak ingatkan Allah, maka banyak perkara maksiat boleh berlaku.

Itu yang banyak berlaku. Orang susah yang tidak beriman menyumbang kepada gejala sosial. Orang susah tidak beriman paling banyak sumbang mahram, paling banyak bekerja di rumah urut, paling banyak jadi pelacur, paling banyak mencuri, paling banyak menghisap dadah.

Yang kaya tidak beriman dengan caranya di dalam jenayah kolar putih.

Tidak ada orang yang dapat menafikan bahawa agama menjaga manusia menjadi baik, tetapi biasanya agama tidak dimulakan dari awal.

Anak dah mengandung luar nikah, baru cari ustaz yang ada pondok agama, anak dah tak boleh pakai dekat sekolah kebangsaan baru nak hantar sekolah agama.

Bagus dan tak salah, tapi alangkah baiknya jika agama dimulakan sejak awal. Kan lebih bagus.

Tapi tak ramai orang yang mempunyai pemikiran demikian.

Waktu sekarang tidak seperti zaman dahulu, kalau kita nak anak kita mahir dalam bahasa Inggeris, kita boleh hantar mereka ke tuisyen yang hebat-hebat dan dalam beberapa bulan, dia pasti akan dapat bertutur dengan fasih.

Kalau nak anak kita hebat dalam apa-apa mata pelajaran, kita boleh hantar dia kepada guru-guru hebat.

Kita nak pelajaran, kita boleh dapatkan dan tak perlu risau.

Tetapi, tidakkah kita bayangkan, jika anak kita rosak akhlaknya, tidak mudah untuk dipulihkan sikap dan peranginya?

Belum tentu seorang ustaz yang hebat dapat memulihkan akhlak seseorang yang rosak akhlaknya.

Merenung wajah Mustafa memberi keinsafan. Walaupun dia miskin harta, tetapi jiwanya cukup kaya dengan iman dan anak-anaknya juga terdidik untuk memegang agama dengan baik.

Semoga kita selalu mendahulukan pendidikan agama untuk diri dan anak-anak kita, semoga Allah terus anugerahkan kita akhlak yang baik seperti mana akhlak orang-orang yang soleh terdahulu, amin…

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Phnom Penh

17 Zulkaedah 1431/25 Oktober 2010 jam 11.00 malam

IMG_5917

Rumah Mustafa yang sangat uzur

IMG_5887

di dalam rumah ini tinggal seramai 9 orang

IMG_7517

Mustafa juga menjga ibunya yang telah tua, tidak diabaikannya, berbeza dengan anak sekarang yang terlalu sibuk bekerja hingga kadang kala tidak pernah rasa bersalah meletakkan ibu di rumah orang tua

IMG_5182

Wajahnya tidak pernah kusut dengan masalah, tenang dan sentiasa bersemangat mencari nafkah untuk keluarganya

IMG_5180

Inilah rahsia paling ampuh yang telah dilupakan, menjaga waktu solat untuk memastikan diri terjaga dari kehinaan dan maksiat

IMG_5892

Tanggung jawab ibu yang menjaga kebersihan anaknya, dengan berlantaikan buluh yang dibelah menjadi lantai, tidak pernah lari dari rumah meninggalkan suami kesusahan

IMG_5896

Berlaukkan garam, tetapi tetap sentiasa bersyukur pada setiap kali habis makan.

IMG_7539

Anak kedua Mustafa, tetapi menjaga auratnya sekalipun umurnya baru 12 tahun

IMG_5852

Antara aktiviti harian Mustafa

IMG_5873

Orang di sini susah bukan kerana malas, tetapi kerana ruang kerja tidak menjajikan pulangan yang besar

IMG_5863

Seribu jahitan di seluar, tetapi ketika ke masjid, dia memakai pakaian yang paling baik yang dia ada

IMG_7551

Antara kerja Mustafa, menjadi penghatar barang dari pasar ke rumah-rumah

6 comments:

sang sepakat said...

salam ustaz saya tetiba merasa sebak apabila ustaz menulis "selepas makan walaupun berlaukkan garam masih mengucap alhamdulillah". hebat sungguh orang islam disana kerana dihiasi kekuatan akidah dan amalan yang 5 waktu yang dijaga walaupun susah.

Anonymous said...

salam ustaz. terima kasih atas entry ini yang sangat berguna untuk saya muhasabah diri.. ternyata walau dari mata kasar mereka fakir, tapi sebenarnya mereka sangat kaya, KAYA JIWA.. malah, kita ini yang fakir .. :(

Anonymous said...

subhanallah .. masyaallah .. sebak saya membacanyer ..

emencer said...

insaf,,,,terima kasih....

farhan ali said...

memang menginsafkan..
ya Allah, moga2 ini dapat menjadi panduan dan motivasi untuk sy bina dan mentadbir keluarga kelak, insyaallah..

terima kasih ustaz.

Anonymous said...

Salam Ustaz Kesian seluar banyak jahitan Tapi bila ustaz tulis bila ke masjid dia memakai seluar yang terbaik. Ya Allah betapa mereka walaupun susah masih ingat Mu Allah yang Maha Besar....

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...