Monday, October 18, 2010

Diari 279 - “Masih Ada Yang Sayang….”

Selasa 12 Oktober 2010….

“Mmm, untuk para pelajar ni” bisik hati saya ketika saya dijemput untuk menyampaikan ceramah “Sejarah Islam Nusantara” di Masjid Negeri Shah Alam (Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah)

Saya solat Zuhur di Masjid Negeri kerana program akan berlangsung jam 1.45 petang.

Saya menjengah ke dalam dewan.

“Eh, kenapa orang tua semua ni?”

Saya menghubungi AJK Program “Masih Ada Yang Sayang” ini. Biasanya, motto program seperti ini ialah untuk program anak yatim.

Seorang ustaz dari Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapatkan saya.

“Ustaz, program ini untuk pesalah jenayah Syariah Negeri Selangor, ada GRO, ada yang kena tangkap khalwat, ada yang sebab kerja di rumah urut, ada yang sebab beli nombor ekor, ada yang tak solat jumaat dan macam-macam lagi” kata Ustaz ini.

“Ooo, ingatkan untuk anak yatim” kata saya.

“Berapa umur peserta kita ni?” tanya saya lagi.

“Dari 18 hingga 60 lebih” jawab ustaz ini ringkas.

“Haa, 60 lebih pun ada” saya agak terkejut.

Terus terkeluar dari mulut saya…..

“Memang, seseorang memerlukan terbiah bagi memantapkan imannya…”

Ya.. semua kita memerlukan tarbiah (didikan dan ingatan) walau siapa pun kita. Jangan kita fikir kita dah pergi haji, atau telah tamat Diploma Syariah atau Usuluddin hujung minggu di Universiti Malaya, atau telah menjadi AJK masjid dan program agama, kita dah terselamat dari godaan syaitan.

Mungkin ada di kalangan kita yang keturunan tok guru atau pak kyai, keturuana aulia, tetapi ia tidak bermakna kita juga terselamat dari angkara iblis ini.

Lagi tinggi iman dan ilmu kita, lagi hebat syaitan yang akan datang pada kita.

Saya melangkah masuk ke dalam dewan.

Saya yang macam tak sanggup untuk melihat wajah mereka kerana ada yang sebaya dengan pakcik-pakcik saya.

Majlis petang ini dimulakan dengan peringatan dari pengerusi majlis mengenai sesetengah peserta yang merokok di kawasan masjid.

130 orang berada di dalam dewan.

Ceramah “Sejarah Islam Nusantara” di mulakan.

Kembang kempis hidung antara mereka kerana semangat ketika ceramah telah berlangsung.

Secara peribadi, saya melihat, 80 % peserta dalam dewan ini, mukanya bersih-bersih. Cuma dalam 20 % memang wajahnya nampak agak kasar.

Saya berfikir sendiri…

Sebenarnya, ramai orang yang fitrahnya baik, tapi jadi macam ni kerana pengaruh suasana, pengaruh kawan, kesempitan hidup dan jika ada orang yang boleh bimbing mereka, mereka boleh jadi baik.

Dari sudut para pendakwah kita pula, memang kebanyakkan para pendakwah lebih selesa berceramah di masjid dan surau. Amat jarang yang mahu turun kepada golongan seperti ini, sedangkan golongan seperti ini jika ada orang yang mahu mendampingi mereka, saya yakin, mereka boleh menjadi orang soleh.

Syabas dan tahniah kepada para ustaz dari Bahagian Penguatkuasaan JAIS. Mereka turun ke tempat maksiat, dan bawa orang ini ke masjid.

Kalau nak ikutkan, peserta bukannya ada hubungan darah pun, bukannya mereka kenal pun, tapi kerana ukhwah Islamiyyah maka program “Masih Ada Yang Sayang” ini dianjurkan.

Semoga, semakin banyak lagi program seperti ini dapat di anjurkan, dan semoga usaha menjaga Islam dan Umat Islam dapat dibahu oleh semua.

Amar Makruf Nabi Mungkar bukan tugas Jabatan Agama semata-mata, ia tanggung jawab kita semua untuk melaksanakannya. Inilah kelebihan umat Muhammad. Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa:-

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah (Surah Ali Imran ayat 110)

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

10 Zulqkaedah 1431/ 18 Oktober 2010 jam 7.30 pagi

IMG_4554

Cukuplah pamplet ini yang saya letakkan, tak tergamak nak letak gambar waktu program.

IMG_4555

“Masih Ada Yang Sayang” biasanya, motta ini untuk program anak yatim

IMG_4557

Saya mendoakan sahabat dari JAIS mudah-mudahan terus dirahmati Allah dan dibantu di dalam segala urusan, amin….

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...