Monday, April 19, 2010

Universiti Kehidupan 149 – Susuk Dan Perubatan Moden

Ada satu soalan yang ditanya pada saya mengenai “susuk” di dalam rangkaian soalan yang diberikan pada saya sebelum saya mengendalikan Seminar Fiqh Pergigian.

Saya agak hairan, apakah kaitan soalan susuk dengan fiqh pergigian. Soalan ini saya abaikan di dalam perbentangan saya.

Habis perbentangan kedua, saya dijemput untuk menjadi ahli panel di dalam forum fiqh pergigian ini.

Saya digandingkan dengan Dr. Sutina bt Kohir, Ketua Jabatan Bedah Mulut Hospital Kajang

Kali ini, soalan mengenai susuk ditanya pula secara lisan.

“Ustaz, saya nak tanya, kata seorang pelajar pergigian ini.

“Adakah doktor perlu menasihati pesakit yang memakai susuk setelah doktor menyedari kehadiran bahan itu selepas membuat radiograph. Bagaimana untuk ‘approach’ pesakit itu” soalan itu diajukan pada saya.

Saya berpaling kepada Dr. Sutina.

“Susuk boleh nampak dengan x-ray ke?” tanya saya.

Dr. Sutina menganggukkan kepala dan moderator memberikan laluan kepada Dr. Sutina untuk mengulas.

“Ye, saya juga mempunyai pengalaman dalam perkara ini” kata Dr. Sutina.

“Ketika saya membuat x-ray pada beberapa pesakit saya, memang ada pernah saya ternampak sesuatu di dalam filem imbasan x-raya ini. Ia adalah benda yang ditanam di dalam kulit muka” tambah Dr. Sutian lagi.

“Dan pernah saya membuat rawatan seorang pesakit saya dan saya dapati susuk yang dipasang dijangkiti kuman. Saya membuat pembedahan untuk mengeluarkannya” tambah Dr. Sutina lagi.

Saya agak tertarik dengan kenyataan ini.

Rupanya, susuk sekarang boleh dibuang dengan pembedahan.

Menarik…!

Kalau dahulu, orang yang memakai susuk sangat susah hati jika tok pawang yang menanamnya meninggal dunia. Ini kerana, susuk yang dipakai sudah tentu susah untuk dibuang.

Tapi, kalau benar kenyataan Dr. Sutina, tidak ada masalah lagi untuk membuangnya sekarang.

“Biasanya, kalau pesakit itu telah ada hubungan baik dengan saya, dan mahu berkongsi permasalahan dengan saya, saya akan cakap dengan di baik-baik agar membuangnya” terang Dr. Sutina lagi.

Alhamdulillah, memang, seorang doktor adalah antara watak penting di dalam dakwah. Ini kerana, orang yang sakit biasanya akan mendengar apa sahaja perkataan yang datang, asalkan sakitnya sembuh.

Jadi, pengamal perubatan merupakan pendakwah yang paling hampir dengan orang-orang sakit. Sebab itulah, jika pengamal perubatan tahu mengenai agama, maka sudah tentu, mereka adalah golongan pendakwah yang terpenting.

Sesungguhnya, dakwah milik semua muslimin. Ia disebut di dalam doktrin Amar Makruf Nahi Mungkar dan setiap orang Islam perlu melaksanakannya.

Inilah keistimewaan sifat umat Muhammad dibandingkan dengan umat terdahulu. Allah berfirman:-

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah Ali Imran ayat 110)

Sesungguhnya, kita semua adalah pendakwah, jika kita menyedarinya….

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

5 Jamadil Awal 1431/ 19 April 2010 jam 11.15 malam

IMG_7227

Sekitar bangunan di UiTM

IMG_7246

Forum “Islam Dan Pergigian”

IMG_7254

Dr. Sutina bt Kohir, Ketua Jabatan Bedah Mulut Hospital Kajang

2 comments:

atuk said...

Assalmualaikum Ustaz Amin

terima aksih atas info ini

Wassalam

Syurga fakir dunia said...

Sangat informatif ustaz...saya pun pernah jumpa orang yang pakai susuk...macamana la nak nasihat...tp i will try insyaallah.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...