Malam itu 26 April 2010, saya ada ceramah di Masjid Al-Amirah Al-Hajjah Maryam, Jerudong.
Kami masih berada di Labuan kala itu. Hanya menaiki feri jam 3.40 petang. Perjalanan dari Labuan ke Brunie mengambil masa 1 jam setengah.
Kami sampai ke Jeti jam 5.15 petang dan terus bergegas balik ke Hotel.
“Ok, cepat sikit, kita dah lambat ni” kata Abang Zulkifli.
Pukul 6.00 petang, kami bertolak dari Seamoa Voctect ke Jerudong.
Di pertengahan jalan, azan dikumandangkan.
“Terlambat kita ni” kata Abang Zulkifli sambil memecut Toyota Prado yang membawa kami.
“Ustaz, pakai kopiah, buat muka tegang sikit, nanti bila orang tengok, orang akan tahu, dah terlambat ni” kata Abang Zulkifli pada saya.
Ketika kami berhenti di sebuah lampu isyarat, saya berpaling ke kiri, melalui tingkap kereta. Sebuah Pajero berhenti betul di sebelah kereta kami, mukanya lagi tegang.
“Bang Zul, teknik kita tak menjadilah… orang sebelah lagi tegang mukanya” kata saya bergurau.
Semua yang ada di dalam kereta tergelak.
Kami sampai di Masjid al-Amirah ketika para jemaah berada di rakaat akhir solat Maghrib.
“Haa.. sempat pun, belum terlambat lagi” kata saya.
Selepas solat Maghrib, saya disambut oleh Ustaz Abdul Aziz, imam muda yang menjadi pegawai masjid. Malam pertama ceramah, ustaz Abdul Aziz juga ada mendengarnya.
Ustaz Abdul Aziz mempersilakan saya mengambil tempat. Kali ini, dia memanggil para jemaah untuk duduk membuat bulatan sebagai halaqah ilmu. Semua jemaah ke hadapan dan ia lebih tertib dari masjid pertama semalam.
Masjid ketiga terbesar di Brunei ini dihiasi dengan kain pintu kaabah sedangkan lampu ditengah masjid seperti masjid Nabawi di Madinah.
Malam ini, saya membawakan tajuk “Pengurusan Akhirat 2” menceritakan fasa-fasa akhirat dan apakah amalan-amalan yang Nabi saw ajarkan untuk kita selamat di fasa-fasa akhirat ini.
Ceramah di sini sama seperti hari semalamnya, tepat waktu Isyak, saya mengakhiri ceramah.
Kami solat Isyak berjemaah dan malam ini, imam membacakan doa qunut Nazilah di rakaat akhir.
Malam ini, pihak masjid telah menyediakan jamuan makan untuk semua jemaah.
“Wah, macam kenduri pula rasanya” bisik hati saya.
Perasaan berada di Brunei ini sangat selesa. Suasananya yang tenang dan gaya hidup orang di sini ala-ala orang Kelantan, cukup menghormati agama dan mengamalkan dengan cara terbaik yang mampu.
Habis jamuan, pihak masjid menyediakan pula hadiah berupa sebuah payung pada saya.
“Ini tanda supaya datang lagi ustaz” kata Haji Mustafa, salah seorang orang kuat masjid.
“Nanti mintakan ringkasan ceramah ni ye, untuk di masukkan dalam akhbar” kata Haji Mustafa lagi.
“Kuliah Maghrib pun masuk surat khabar juga” kata saya takjub.
Kalau di Malaysia, yang biasa menghiasi dada akhbar, kisah konsert artis, di sini, kuliah Maghrib yang masuk surat khabar.
Apa pun, seketika berada di Brunei ini, Alhamdulillah, banyak perkara yang dapat dikongsikan dengan sahabat di sini. Semoga Allah terus memberkati hidup kita semua, amin…
“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
Rabu 14 Jamadil Awal 1431/ 28 April 2010 jam 11.00 malam
Ceramah malam ini bertajuk “Pengurusan Akhirat 2”
Imam Abdul Aziz
Masjid al-Amirah ini ketiga terbesar dan dihiasi dalamnya dengan kain penutup pintu Kaabah
Di akhiri dengan doa
Antara jemaah yang hadir
Di sini, selepas ceramah, kita akan mengisi buku lawatan masjid
Ke dewan makan
Kenangan dengan AJK Takmir Masjid
No comments:
Post a Comment