Saturday, April 3, 2010

Diari 196 - Ziarah Tuan Guru Baba Haji Yusuf

Hari ini 3 April 2010 jam 8.00 pagi, program ziarah Alim kota Mekah diteruskan lagi. Kali ini,  saya membawa anak-anak yatim dan tahfiz al-Ijabah menziarahi seorang Tuan Guru Fatani yang duduk di Mekah ini iaitu Baba Haji Yusuf Paku di kediaman beliau di Suud Ajyad.

Perkataan Baba bererti ayah. Sesetengah tuan-tuan guru besar di Nusantara, mereka akan digelar sebagai Baba bererti ayah. Tuan guru yang belum sampai peringkat Baba akan dipanggil dengan gelaran Tokku.

Perkataan Tokku sering kita dengar seperti yang digunakan di sesetengah tempat di Tanah Melayu . Kita mungkin pernah dengar seorang tuan guru yang masyhur bernama Tokku Paloh, Tokku Pulau Manis dan sebagainya.

Ada sesetengah tuan guru dipanggil dengan nama ayah. Ada juga panggilan ayah di dalam bahasa Arab seperti Abuya atau Buya seperti gelaran pada HAMKA. Orang memanggil beliau dengan Abuya HAMKA atau Buya HAMKA.

Apapun gelaran yang diberi, ia untuk merasakan bahawa tuan guru itu seperti ayah sendiri.

Kami pergi ke bukit Ajyad dengan menaiki van sewa. Sampai di bukit Ajyad, kami menaiki tangga untuk sampai ke rumah beliau.

Baba Haji Yusuf sekarang memegang amanah besar apabila beberapa tuan-tuan Guru besar di sini telah kembali kerahmatullah seperti Baba Haji Hussain Siraj dan Baba Haji Muhamad Sedawa.

Beliau yang berumur 70 tahun telah mula mengajar di kota Mekah ini sejak berumur 45 tahun.

Perbincangan kami bermula dengan sejarah orang-orang Melayu yang belajar di Mekah dan rehalh ilmu mereka di peringkat awal seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Arshad Banjari dan Syeikh Abdul Samad al-Palembangi.

Anak-anak Ijabah begitu tertarik dengan kisah pencarian ilmu orang-orang dari Nusantara satu ketika dahulu.

Jasa-jasa mereka menjadi wadah kepada perkembangan ilmu Islam di Nusantara.

“Ini semua anak-anak pelajar ke?” tanya Baba Haji Yusuf pada saya.

“Ye Baba, mereka anak-anak Yatim dan Tahfiz yang belajar ilmu agama, ilmu quran dan ada juga ilmu moden” jawab saya.

“Bagus, belajar rajin-rajin, orang Islam kena jadi orang berilmu dan hebat di dalam hidup. Kalau tidak ada orang yang mengusai sesuatu ilmu fardu kifayah, maka semua orang Islam berdosa” kata Baba Haji Yusuf.

Beliau kemudian, bercerita dan memberi semangat pada anak-anak Ijabah untuk terus rajin dan bersungguh-sungguh di dalam pelajaran.

Baba Haji Yusuf kemudian memberikan amalan penerang hati kepada anak-anak Ijabah.

“Baca amalan ini 3 kali setiap lepas solat” kata Baba Haji Yusuf.

Beliau kemudian mengijazahkan amalan itu kepada semua anak-anak Ijabah. Beruntung mereka dapat belajar sesuatu yang bermanfaat dari ziarah ini.

Kemudian Baba Haji Yusuf berpesan agar semua kami menjaga wara’. Kerana karamah dan keberkatan ilmu akan datang dengan wara’.

“Tapi itu, Allah beri pada siapa yang Allah kehendaki” pesan Baba Haji Yusuf pada kami.

“Sebab itulah kena selalu ingatkan Allah. Dulu, orang nak istiqamahkan untuk ingat Allah dengan berbagai cara, ada yang belajar kitab Hikam, ada yang belajar kitab Minhaj, ada yang dengan bertariqat dan berbagai cara lagi. Tak kira cara macam mana, asalkan ia betul dan akhirnya kita mengingati Allah, itulah sebesar-besar rahsia kehebatan umat Islam” Baba Haji Yusuf menekankan pada kami.

Kemudian Baba menganjurkan kami untuk selalu meminta ampun pada Allah kerana dengan bertaubat, ia akan menjadikan kita semakin menghampiri Allah.

“Jika kamu sudah selalu bertaubat, saya nak ijazahkan satu amalan pada kamu” kata Baba Haji Yusuf.

Saya terus mencapai buku dan pen.

“Nanti, kalau kamu sudah menjadi guru dan pendakwah, kamu amalkan ayat ini. Ayat ini untuk menjadikan orang merasa lunak hati dengan apa yang kamu katakan, inilah ayat yang diajarkan oleh guru-guru saya yang terdahulu di sini” kata Baba Haji Yusuf.

Baba Haji Yusuf mengajarkan kepada kami semua amalan ini. Alhamdulillah, hari ini sudah dua amalan kami dapat dari bumi Mekah ini.

Abang Azizi memandang saya dengan tersenyum.

“Wah, buat lembut hati bini ni” kata saya padanya.

Baba Haji Yusuf yang terdengar gurauan kami dengan senyum menyapa:-

“Bini kena didik, kalau bacakan ayat dia lembut hati tapi tak didik dia, tak sampai juga dia pada Allah nanti” kata Baba Haji Yusuf.

Tiga jam duduk bersama Baba Haji Yusuf terasa sangat singkat. Tapi sebelum berpisah, Baba Haji Yusuf memberikan saya satu amalan lagi untuk diamalakan bagi membuatkan pasangan suami isteri semakin kuat dan bahagia.

“Tak dibukukan ke amalan-amalan ini” tanya saya pada Baba Haji Yusuf.

“Tak, hanya diberi pada yang mencari” jawab Baba Haji Yusuf ringkas.

Sebab itulah kita memang kena selalu menziarahi orang-orang alim dan soleh untuk kita belajar dari mereka walau sepotong ilmu. Kerana ilmu akan disampaikan jika dicari.

Orang sekarang, bukan murid cari guru, tapi guru yang mencari murid.

Jam 11.00, kami meminta diri.

“InsyaAllah, panjang umur jumpa lagi ye” kata Baba Haji Yusuf pada kami.

Patutlah, orang-orang mengaji di pondok memanggil tuan guru mereka dengan panggilan ayah, kelembutan dan kasih sayangnya seakan-akan seorang ayah pada anak.

Bersalaman dan berpelukan dengan Tuan Guru Baba Haji Yusuf menyebabkan saya sebak, teringat ketika saya memeluk Allahyarham Ayahanda saya, satu ketika dahulu.

Satu yang saya amat syukur ialah, pendedahan menziarahi orang-orang Alim kepada anak-anak Ijabah. Semoga satu hari nanti, mereka akan meratau ke seluruh dunia, menziarahi orang-orang Alim, belajar dari mereka dan kembangkan kembali ke tanah air kita tercinta.

Supaya orang semakin tahu agama, dan dengan memahami agama, akan menyebabkan kita semakin menjadi baik dan memperbaiki diri.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Baity Bakkah Hotel, Makkatul Mukarramah

18 Rabiul Akhir 1431/3 April 2010 jam 6.00 petang.

IMG_5857

Pendakian ke Ajyad

IMG_5860

lorong-lorong Ajyad

IMG_5864

Berehat sebentar

IMG_5918

Baba Haji Yusuf menyambut kami dengan ramah

Beliau banyak memberi motivasi pada anak Ijabah

IMG_5881

Wara’ ditekankan untuk menjadikan sesuatu ilmu itu berkat

Dia mengajarkan kami beberapa amalan berguna

IMG_5890

Saya menyemak kembali amalan yang diberikan oleh beliau

IMG_5903

Beliau mendoakan kami semua

IMG_5899

Agar menjadi orang yang soleh dan baik

IMG_5909

Kenangan ziarah Baba Haji Yusuf

IMG_5919

Panjang umur jumpa lagi insyaAllah.

IMG_5922

Anak Ijabah

IMG_5929

Haji Najib, anak Allahyarham Baba Haji Muhamad Sedawa

2 comments:

zu said...

Assalamualaikum Ustaz,

Boleh tak ustaz kongsikan amalan yang di ajar oleh Baba Hj Yusuf supaya bole di amalkan?

Terima kasih

Din said...

Assalamualaikum Ustaz,
Saya Burhanuddin Jaffar dari S'pura boleh saya copy gambar orang2 alim yg ustaz postkan utk dairi saya.
JazakAllah khairon kasir.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...