Monday, December 22, 2008

Universiti Kehidupan 20 - Maksiat Jangan Ditonjol

Setelah habis program korban di Kampung Cham, saya dan rombongan merancang untuk untuk pulang melalui jalan jauh. Kami pusing ke Siem Reap. Perjalanan dari negeri Kampung Cham ke Siem Reap lebih kurang lapan jam dengan separuh perjalanan merentasi jalan tanah merah yang berlubang seribu.

Kami sampai pada waktu malam dan terus ke hotel Sor-Phoun Villa. Ia di antara beberapa hotel milik orang Islam yang ada di sini. Di sini, hanya ada dua tiga buah sahaja hotel milik orang Islam. Kita mencari hotel orang Islam kerana lebih bersih dan suci dan juga terdapat restoren halal di sampingnya.

Pagi esoknya, kami berjalan sekitar Bandar Siem Reap. Tempat yang selalu dikunjungi pelancong adalah Angkor Wat. Saya dan rombongan bersetuju untuk ke sana dan insyallah, akan ada ilmu dan pengalaman yang boleh ditimba. Selepas sarapan pagi kami terus ke sana. Untuk masuk ke Angkor Wat seseorang perlu membayar tiket sebanyak USD 20. Di dalam nanti akan ada orang yang akan memeriksa tiket kita. Jika seorang masuk secara curi dia akan di denda sebanyak USD 500.

Angkor Wat ini terletak di dataran Angkor. Ia telah dibina oleh Raja Suryavarman II pada pertengahan abad ke 12. Ia memakan masa selama 30 tahun untuk disiapkan. Raja Suryavarman II membina Angkor Wat menurut kepercayaan Hindu. Dia menyakini bahawa gunung Meru sebagai pusat dunia dan merupakan tempat tinggal dewa-dewi Hindu. Dengan itu menara tengah Angkor Wat adalah menara tertinggi yang melambangkan gunung tersebut.
Sebagaimana dongeng gunung Meru yang kononnya dikelilingi gunung lain dan lautan, kawasan kuil Angkor Wat dikelilingi oleh dinding dan terusan yang mewakili lautan dan gunung yang mengelilingi dunia. Jalan masuk utama ke Angkor Wat yang sepanjang setengah kilometer dihiasi susur pemegang tangan dan diapit oleh tasik buatan manusia yang dikenali sebagai Barays. Terdapat patung-patung singa yang telah tercabut ekornya. Kami melalui tasik sejauh setegah kilometer untuk sampai ke gerbang pertama.

Mengikut kepercayaan mereka, jembatan yang kami lalui merupakan jambatan pelangi yang menyambungkan alam dunia dengan alam dewa.

Sekurun kemudian, Angkor Wat telah ditukar menjadi kuil Buddha dan digunakan secara berterusan apabila kepercayaan Buddha menggantikan kepercayaan Hindu di sini. Kuil Angkor ini pernah dijajah oleh Siam pada tahun 1431.

Kuil ini dipenuhi oleh patung-patung wanita tanpa pakaian. Ia berbeza dengan kuil lain yang ada di dunia. Hanya beberapa patung budha sahaja yang terdapat di sini. Yang lainnya patung-patung perempuan tanpa pakaian.

Apa yang mereka sembah dan puja sebenarnya? Bisik hati saya. Perempuan atau dewa.
Di dinding kuil penuh terdapat gambar perempuna bogel. Hanya ada beberapa sudut diukir gambar perang.

Ada sesetengah patung perempuan bogel itu licin bahagian dadanya. Rupanya ada juga orang yang terangsang nafsu melihat patung tidak berpakaian. Patung-patung tidak berpakaian ini habis diraba oleh sesetengah orang yang mungkin terangsang nafsunya.

Saya termenung seketika. Rupanya, perkara nafsu, jika di paparkan akan merangsang nafsu sekalipun mungkin niat asal pembinanya lain.

Sekalipun niat kita baik terhadap sesuatu, tapi jika perkara itu tidak baik, dia akan melahirkan banyak perkara tidak baik dari yang baik.Sebagai contoh, seorang yang ingin menderma melalui konsert amal. Niatnya baik tetapi perkara yang buruk akan lebih banyak berlaku.

Sebab itulah di dalam Islam ada prinsip, matlamat tidak menghalalkan cara. Jika niat kita baik sekalipun, tetapi perlaksanaannya itu ditegah oleh agama, maka kita tidak boleh melakukannya.

1 comment:

I love happily ever after. :). said...

Salam ustaz,
Saya mohon dapatlah ustaz dapatkan satu salinan doa yang ustaz berikan pada bulan september, yakni bulan puasa tahun 2008, selepas ustaz memberi ceramah di kaca tv tempoh hari. Terima kasih. Contohnya, "Ya Allah jika pada kesempatan hidup ada kesalahan kecuali engkau ampunka, jika ada hamba2 mu yang sakit, engkau berikanlah kesembuhan dan jika ada yg sedang susah, bantulah urusannya".

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...