Friday, December 5, 2008

Universiti Kehidupan 17 - Susahnya berbakti

Petang ini, 4 Disember 2008, saya dikejutkan dengan berita dari mak saya yang dicintai. Suara mak agak tersekat-sekat. "Kenapa mak? saya bertanya. "kak Liza, nak kena soal siasat polis". Kata mak. "Hah! Kenapa? Tanya saya terkejut.

Kak Liza yang saya kenali sangat perihatin dengan orang-orang yang susah. Telah lama Kak Liza berkhidmat, mengorbankan masa dan tenaga serta wang ringgit untuk wanita yang teraniaya, anak-anak muallaf dan mengasaskan rumah perlindungan bagi perempuan yang mengandung di luar nikah.

"Daripada wanita ini pergi ke tempat perlindungan yang bukan Islam baik kita ambil tanggung jawab membela mereka", kata Kak Liza pada saya satu ketika dahulu.

Hal ini bermula dengan seorang anak muallaf yang kak Liza ambil. Anak ini dari seorang ibu muallaf yang telah bercerai. Mungkin kerana kesibukan menjadi ibu tunggal, dia tidak membela lagi anak ini.

Kak Liza mengambil tanggung jawab untuk menjaga anak sekecil lima tahun ini di rumah perlindungannya. Anak ini kadang-kala menangis teringatkan ibunya. Kebetulan pada hari kejadian anak ini terjatuh dan bibirnya luka sikit.

Ada di antara, jiran di sekeliling yang tidak pernah pun menjenguk usaha murni ini, lebih-lebih lagi hendak menolong, mendengar anak ini menangis. Ada di antara jiran pada hari itu membuat satu laporan polis yang mengatakan kak Liza mendera anak di bawah jagaannya. Pada malam kejadian, pihak polis datang ke rumah ini dan terus mengambil anak ini. Kak Liza terkejut dan pihak polis mengambil beberapa keterangan.

Anak ini dihantar ke hospital untuk pengesahan penderaan. Kak Liza agak kecewa dengan orang yang membuat laporang tersebut.

Inilah di antara ujian membuat kebaikan. Sudahlah jarang mendapat orang yang membuat usaha murni seperti ini, yang sudi membuat pula menghadapi tuduhan dari jiran yang tidak menjenguk pun.

Doktor telah mengesahkan bahawa anak ini tidak di dera. Ketika doktor menghubungi ibu anak ini, telifonnya tidak berangkat. Pihak hospital menghubungi kak Liza.

"Kak, anak ini kami dapati tidak ada apa-apa masalah, kami hubungi ibunya tidak berangkat, jadi siapa yang ingin mengambil anak ini?" kata pihak hospital.

Jika kita ditempat Kak Liza, apa perasaan kita?

Untuk setakat ini, Kak Liza agak terasa hati. Niat baik untuk membela telah menjadi tuduhan pula padanya.

Kak Liza menegaskan, "maaflah, saya tidak dapat mengambil anak ini lagi, hantarkanlah sahaja ke rumah kebajikan masyarakat".

Ketika saya menghubungi kak Liza, itu jawapannya. Saya saksikan usahanya yang murni dan saya juga pernah melihat anak kecil ini. Kedua-duanya tidak bersalah, kedua-duanya mangsa keadaan, tetapi inilah dunia. Tidak semua orang yang baik itu dihargai dan tidak semua kebaikan itu disenangi. Memang ada orang yang melihat kebaikan dengan rasa tidak senang. Dia lebih suka melihat keburukan dan keaiban orang lain. Dia tidak membantu, malahan menyusahkan orang.

Inilah dunia. Memang ada orang yang membuat kebaikan, dituduh dengan berbagai tuduhan. Tidak sedikit bendahari surau dituduh menggelapkan duit surau, tidak sedikit nazir masjid dituduh menyalah gunakan kuasa dan tidak sedikit, pembela anak yatim dituduh dengan memakan harta anak yatim.

Tulisan ini akan kekal. Tiga puluh tahun dari sekarang, jika anak ini membaca tulisan ini, saya harapkan dia akan tahu kejadian hari ini. Saya akan usahakan yang terbaik untuk mengambil anak ini kembali. Tetapi, jika tidak berhasil, saya harapkan anak ini akan faham konflik yang berlaku dan faham kenapa dia berada di rumah kebajikan masyarakat. Bukan tidak ada orang yang ingin membela, tetapi orang itu telah menghadapi satu ujian besar ketika membelanya.

Bagi kak Liza, bersabarlah, bagi anak ini, tabahlah, bagi yang membuat aduan, berubahlah, bagi kita yang membaca tulisan ini, doakanlah, dan bagi pihak yang berwajib, perihatinlah.

Semoga Allah memberikan kebaikan kepada kita di dunia dan di akhirat, semoga sedikit kepayahan di dunia ini memadamkan kepayahan di akhirat dan semoga Allah menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat. Amin..

Universiti Kehidupan, Universiti Sepanjang Hayat…

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...