Saturday, December 27, 2008

Sekilas 7 - Blog Menghina Nabi

Pada malam tadi sempat saya melihat Blog adibahahmad.blogspot.com ini. Dia menulis dengan kata-kata menghina dan dengan lukisan-lukisan yang menghina Nabi kita saw. Walaubagaimana pun, ramai juga yang percaya bahawa, gambar yang dipaparkan bukan gambarnya yang sebenar. Kita boleh rujuk di laman perisik-rakyat.com.

Di dalam sejarah ada lapan golongan yang pernah menghina Nabi.

1. Golongan kafir
Iaitu orang yang menolak Islam dan menghina Nabi. Mereka menghina nabi kerana yakin Nabi itu salah dan sesat. Mereka tuduh Nabi macam-macam. Golongan ini, sampai satu tahap, mereka diperangi. Ini berlaku seperti di dalam perang-perang di dalam Islam

2. Golongan munafiq
Golongan yang berpura-pura Islam dan menyembunyikan kekufuran. Mereka seolah-olah Islam tetapi ada perkara yang tidak mereka yakini. Golongan ini juga, sampai satu tahap diperangi.

3. Golongan ahli kitab
Golongan yang percaya pada Allah tetapi tidak percaya pada kenabian Muhamad s.a.w. Golongan ini, Nabi suruh raikan mereka selagi mana mereka tidak merubah hukum Allah. Jika mereka merubah, akhirnya juga mereka diperangi. Ramai juga akhirnya gologan ini yang memeluk Islam.

4. Golongan berkepentingan
Orang yang berkepentingan seperti Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya. Pernah di dalam hati mereka mengakui keimanan Nabi, tetapi, mereka merasa mereka akan hilang kuasa jika mereka mengakui kebenaran Islam. Akhirnya mereka memerangi Nabi kerana kepentingannya. Golongan ini, jika mereka menyerang Islam maka kita akan mempertahankan agama kita seperti mana mereka menyerang kita.

5. Golongan hasad dengki
Ada golongan yang hasad dengki dengan Nabi. Mereka dari orang Yahudi. Ini kerana mereka merasa mereka lebih mulia dari bangsa Arab pada ketika itu. Golongan ini di dakwah. Jika mereka perangi kita barulah kita memerangi mereka.

6. Golongan jahil
Golongan jahil ialah mereka membenci tanpa ilmu. Mereka merasakan diri mereka betul ketika menentang dan menghina Nabi. Golongan ini Nabi mendoakan mereka. Golongan ini adalah seperti golongan di Taif

7. Golongan bongkak
Golongan ini menolak Islam kerana sombong. Mereka menganggap mereka cukup cerdik dan agama ini hanyalah rekaan semata-mata. Golongan ini ada yang Nabi ajak untuk berdebat dan ada yang Nabi dakwah mereka dengan akhlak Nabi. Golongan ini banyak yang akhirnya Islam. Mereka terdiri dari sahabat-sahabat pada peringkat awal.

8. Golongan yang kecewa
Ada juga yang menghina Nabi kerana kecewa. Sebagai contoh, semua kaumnya telah Islam. Dia kecewa kerana dia tinggal seorang. Dia banyak bersangka-sangka yang tidak benar pada Nabi. Tetapi apabila berhadapan dengan Nabi, hatinya tertarik dengan akhlak baginda. Golongan ini seperti yang berlaku di ketika pembukaan kota Mekah.

Jika kita ingin lihat orang menghina Nabi akhir zaman ini juga boleh kita golongkan kepada lapan golongan ini juga. Cuma, setelah kita kategorikan, kita akan lihat, mana yang masih ada peluang kita dakwah atau mana yang peluangnya telah habis lantaran mereka tidak dapat ditarik kembali kepada Iman. Jika ada di antara kita yang berfatwa ingin dijatuhkan hukuman bunuh pada gadis ini, perhatikan kategorinya dahulu. Jika patut, maka teruskan fatwa itu tetapi jika dia termasuk di dalam golongan yang masih boleh di dakwah, tanggung jawab bersama untuk dakwah mereka.

Semoga kita terus menjadi daie-daie yang hebat untuk Islam di akhir zaman ini, amin..

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...