Friday, December 12, 2008

Universiti Kehidupan 19 (Cambodia 2) Menghayati Kesyukuran

9 Disember, dalam pukul 10.00 pagi saya telah sampai ke kampung Pas. Di sini, ramai orang telah menunggu kedatangan kami. Para muslimah kampung ini, sibuk menyediakan rempah-rempah untuk dibuat kenduri korban. Melihat kami sampai, mereka semua mengerumuni van yang kami naiki. Ketika kami turun, mereka semua bersalaman dengan kami. Al-Hakim (gelaran untuk Imam besar di kampung tersebut) mengucapkan terima kasih pada kami. Kami mula melihat lembu-lembu korban yang telah ada di perkarangan masjid kampung Pas.

Mereka kemudiannya mengumpulkan kanak-kanak kampung untuk bersalaman dengan kami. Anak-anak ini berumur dari 3 tahun hingga 15 tahun. Inilah anak-anak saudara seIslam kita yang perlu kita bela. Mereka akan menjadi pelapis pada perjuangan Islam akan datang.

Setelah majlis salam menyalam selesai, al-Hakim berbincang dengan kami.

"Ustaz, hari ini kita sembelih 7 ekor dahulu, baki lagi 11 kita sembeleh esok ye".

"Tak apa, terpulanglah pada imam". Saya menjawab.

"Pagi ni, kita sembelih 2 ekor dulu untuk masak, petang nanti lagi lima ekor untuk diagihkan pada penduduk kampung". kata al-Hakim. Saya mengiyakan sahaja.

Dua ekor lembu ditarik di satu sudut. Saya menyembelih lembu yang pertama. Kemdian yang kedua disempurnakan oleh AJK masjid. Mereka menumbangkan lembu seperti biasa yang kita buat di Malaysia. Saya berbisik di hati saya, "tak ada lubang ke, macam mana nak sembelih ni"?,

Setelah lembu itu dipegang beramai-ramai, salah seorang dari mereka memberikan saya pisau sembelih. Dia kemudiannya menerbalikkan kepala lembu. Leher lembu itu berada di atas, tanduknya dipacakkan ke tanah.

"Oh! macam ni cara mereka sembelih", bisik hati saya. Patut pun tak perlu lubang. "Habis tu, mestilah darahnya menyembur ke atas", bisik hati saya. Kemudian datang seorang dari mereka membawa daun-daun pokok, daun pokok ini diletakkan di atas leher lembu. Ia dijadikan halangan bagi darah agar tidak menyimbah kepada saya.

Kemudian, nama-nama pembuat korban dibacakan, mereka semua bertakbir dan dengan nama Allah, saya menyembelih lembu yang pertama.

Setelah lembu disembelih, mereka mula melapah. Saya melihat cara mereka melapah lembu ini, tidak banyak beza dengan apa yang kita buat di Malaysia. Bezanya cuma pisau sembelih yang saya gunakan itu, digunakan juga untuk melapah daging.

"Aik!, pisau pun tak ada", bisik hati saya, tapi saya faham kekurangan masyarakat di sini. Dengan satu pisau itulah lembu ini habis dilapah.

Daging yang dilapah terus dibawa ke tempat muslimah. Mereka semua telah menyediakan rempah-rempah untuk di masak. Keadaannya, macam di kampung kita dulu kala. Mereka bergotong royong penuh harmoni.

Azan zohor berkumandang. Semua ahli kariah berhenti dan menunaikan solat zohor. Selesai solat, saya diberitahu ada orang yang ingin bertemu dengan saya. Saya pergi ke serambi masjid, ada empat orang yang sedang menanti saya. Kami bersalaman.

Rupanya, mereka adalah dari kampung-kampung bersebelahan dengan kampung Pas. Mereka meminta saya lembu. Di kampung mereka tidak ada lembu untuk dibuat korban. Ada yang meminta saya daging kerana esok ada kenduri kahwin. Daging itu bolehlah dibuat lauk tambahan bagi yang hadir.

Saya rasa amat terharu. Saya kemudian berbincang dengan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan pada saya bahawa 18 lembu yang saya berikan di Kampung Pas telah ada rancangannya. Dia telah berjanji kepada ahli kariahnya untuk diagihkan.

Saya faham rancangan al-Hakim. Ini kerana memang dari awal saya telah lafazkan lembu ini untuk kampung Pas. Setelah berbincang, akhirnya, al-Hakim, memberitahu saya dia akan memberikan dua ekor lembu ini kepada empat orang yang datang. Dua ekor ini akan dikongsikan pada empat orang ini. Mereka semua mengucapkan terima kasih.


Saya diajak untuk ke rumah al-Hakim. Makanan telah siap di masak. Kami makan bersama-sama sambil berbual-bual. Setelah makan, saya didatangi oleh dua orang lagi. Mereka meminta kepada saya lembu. Mereka dari kampung lain. Saya serba salah. Dengan hormat saya katakan pada mereka, bincanglah dengan al-Hakim. Jika dia beri, maka ada bahagaian untuk anda semua.
Saya tidak dapat memberikan kerana semua lembu ini telah lafazkan untuk kampung Pas. Al-Hakim telah ada rancangan pengagihannya. Hati saya terharu. Insyallah, tahun depan saya akan uruskan lagi untuk beberapa buah kampung. Saya tak sampai hati melihat muka mereka penuh harap. Tapi apakan daya, ini sahaja yang saya mampu uruskan bagi tahun ini.

Saya kemudian duduk di satu sudut di rumah al-Hakim. Saya melihat anak-anak kecil makan daging yang telah dimasak dengan selera sekali. Inilah peluang mereka makan daging. Dalam satu tahun, mereka hanya makan sekali sahaja daging iaitu di hari raya korban ini. Ini kerana tidak semua orang mampu makan daging sebagai makanan harian.

Saya melihat anak-anak ini beratur untuk mengambil lauk. Mereka mengunyah penuh selera, ada yang datang meminta tambahan. Ada yang mendukung adik-adik mereka sambil makan. Kemeriahan majlis korban di kampung Pas melebihi kemeriahan kenduri kampung yang dibuat di sini. Ini kerana kenduri kahwin hanya terhad kepada jemputan tertentu. Mereka tidak mampu menjemput satu kampung, tapi majlis korban kali ini dihadiri satu kampung.

Saya merenung di sebalik kegembiraan anak-anak kampung Pas. Mereka berlari ke sana sini. Mereka begitu gembira dengan majis korban tahun ini. Saya teringatkan keadaan kita di Malaysia. Jika di Malaysia, daging korban sampai berlebihan, tapi di sini, ia diagihkan dengan baik sekali. Setiap keluarga mendapat bahagian mereka.

Masyarakat kita semakin banyak membuat korban akhir-akhir ini. Ia satu perkembangan yang baik. Cuma bagi tahun depan, di samping ibadah korban yang kita buat di tempat sendiri, saya ingin menganjurkan kita membuatnya juga di kemboja ini.

Ibadah korban di sini diagihkan kepada orang yang susah. Terasa korban ini sangat bermakna buat mereka. Bergaul dengan masyarakat yang susah membuatkan kita belajar erti menghargai. Jika kita selalu dibuai kesenangan, kita kurang menghargai nikmat yang ada.

Saya pernah melihat orang yang mengomel di hadapan lauk yang banyak. Ini kurang masin, itu kurang pedas, sana manis sangat. Sedangkan di luar sana, ramai manusia yang sangat susah untuk mendapatkan sesuap makanan. Kita kadang-kala lupa, makan dengan menghargai lebih nikmat dari makan dengan mengomel. Akhirnya, walaupun makan banyak, tapi hati sentiasa rasa mendongkol. Hati tidak pernah rasa cukup, hati hanya melihat apa yang ada pada orang lain sedangkan yang ada tidak dihargai. Hasilnya, lahirlah hati yang dilingkungi nikmat tetapi tidak rasa nikmat, selalu dirungsing, selalu gundah dan selalu berdukacita.

Ketenangan akan lahir dari hati yang selalu bersyukur dengan nikmat dan reda dengan musibah. Kedua-dua sifat ini merupakan induk kepada ketenangan hati. Ini kerana, kedua-dua sifat ini akan membuatkan kita ingat Allah dan sesungguhnya, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.
Semoga Allah mengurniakan saya, dan sidang pembaca sekelian hati yang sentiasa tenang di dunia dan bahagia di akhirat, amin..

Sesampainya kami di Kampung Pas, kami disambut oleh penduduk kampung dengan mesra sekali

Bersama penduduk kampung sebelum memulakan ibadah korban

Adik-adik dan anak-anak seIslam yang sama-sama memeriahkan lagi majlis korban
Mereka menjadikan leher lembu ke atas untuk disembelih, daun akan digunakan untuk menghalang dari darah terperecik
Daging yang selesai dilapah dibawa ke bahagian muslimah untuk dimasak.


Para muslimah yang sibuk menyiapkan bahan untuk dimasak

di antara periuk yang digunakan untuk memasak daging


kanak-kanak yang beratur di dalam majlis korban

mereka bergilir-gilir mengambil bahagian untuk makan tengah hari

antara adik kecil yang sedang menikmati makan tangah hari

adik ini yang gembira mendapat bahagaiannya
mereka dapat menikmati daging hanya setahun sekali ketika waktu hari raya korban ini.
tidak lupa membawa adiknya untuk mendapat bahagian kenduri
saya bersama rombongan, dikiri sekali ialah gambar ialah al-Hakim kampung Pas

semoga ukhwah yang terjalin akan mendapat keredhaan Allah, amin..

5 comments:

Azri said...

Salam Ya ustaz, Kampung Pas ni ada berapa keluarga ?

Ana ada mengikuti ceramah mengenagi orang islam mindanao. di sana lebih ramai orang susah dan keadaan mereka lebih teruk kerana ada perang ( tak keluar dlm Utusan ke BH ke ). di Kemboja orang islam kurang dari sejuta tetapi di Mindanao lebih dari sejuta. Tetapi lebih banyak lembu pergi Kemboja.
Jangan lupa mereka di Mindanao yang lebih dekat.

Nurhani Salwa Binti Jamaluddin said...

Salam ustaz. Terharu baca cerita ni.. bukan dongeng, tapi realiti.. tahun depan, kalau ada rezeki, bolehlah saya follow..

Ustaz Amin said...

Sebenarnya memang Mindanao Pilipina ramai saudara seIslam kita. Tetapi susah untuk orang kita ke sana. Tidak ada kapal terbang yang hampir dengan tempat mereka.

Orang di sana juga dahagakan bimbingan agama. Saya ada seorang kenalan yang pernah ke sana. Sampai di Mindanao, orang sana tidak memberinya pulang ke Malaysia. Mereka mengharapkan sahabat saya ini tinggal di sana mengajar mereka. Akhirnya, dia hanya dapat keluar dengan bantuan nelayan Sabah.

Insyallah,satu hari nanti pasti kita akan ke sana membantu apa yang termampu. Buat masa sekarang kita tidak melupakan mereka cuma kemampuan kita terbatas.

Shahabudeen Jalil said...

Jadi ustaz kena hati-hati kalau nak ke Mindanao.. takut kena tahan lagi. hehe.. Kami akan menyamar sebagai nelayan untuk selamatkan ustaz.

Azri said...

Ya ustaz. Orang sana tak offer kenalan ustaz tu isteri ....pilih saja mana suka....