Wednesday, December 10, 2008

Universiti Kehidupan 18 - (Cambodia 1) Kita adalah satu

8 Disember 2008, selepas menunaikan ibadah korban di Puchong, saya bergegas balik ke rumah. Jam menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Pukul 3.00 petang saya akan ke Cambodia. Ada dua tujuan saya ke sini, pertama kerana membuat korban, kedua menjalinkan hubungan dengan madrasah di sini untuk mengadakan program pendidikan tinggi bersama Universiti Malaya.

Saya bersama enam orang sahabat yang lain bertemu di lapangan terbang LCCT. Sepatutnya kami bertolak pukul 3.15 petang, tetapi kapal terbang delay hingga pukul 5.00 petang. Ada suara-suara sindirin kedengaran, ïnilah Air Asia, Everyone Can Fly, bu not on time", saya hanya tersenyum melihat mereka.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Kami sampai di Pnom Penh International Airport pukul 6.30 petang waktu Malaysia. Beza waktu Malaysia dan Combodia ialah sejam ke belakang. Jadi waktu mereka ialah pukul 5.30 petang.

Sampai di airport, kami telah ditunggu oleh Ariffin, seorang kenalan yang biasa datang ke Malaysia. Kami menaiki van yang telah disediakan. Perjalanan kami ialah ke Kampung Pas, iaitu tempat untuk kami membuat korban.

Kami singgah di Masjid Dubai, iaitu satu-satunya masjid yang ada di Bandar Pnom Penh. Selepas solat kami meneruskan perjalanan. Perjalanan mengambil masa lima jam lebih. Di sini, sistem kenderaannya adalah sebelah kanan. Di Malaysia, kita memandu disebelah kiri jalan.

Pemandu kami memandu dengan sangat laju. Van ini memotong motor dan kenderaan lain. Di sini penunggang motosikal tidak memakai topi keledar. Ada yang ditunggang hingga empat orang. Memang di negara yang susah, mereka lebih mengutamakan kegunaan dari pada keselamatan. Jika naik van penumpang, ada yang naik di atas bumbung. Tambangnya separuh harga dari yang duduk di depan.

Jalan di Cambodia ini agak teruk. Barang kali seperti jalan dekat felda kita sepuluh tahun dahulu. Jalannya sempit. Kenderaan banyak, horn tidak henti-henti dibunyikan. Di samping horn van yang dibunyikan, ahli rombongan juga tidak henti-henti membunyikan horn mulut, masing-masing menjerit, beristigfar, bertakbir dan lain-lain ketika pemandu membrek dengan tiba-tiba, memotong dengan bahaya dan melanggar lubang yang seolah-olah tidak wujud. Saya yang duduk di barisan paling belakang melambung-lambung ketika van merentasi jalan yang beralun. Kandang-kala kita tidak tahu mana laluan sebenar, sekejap ke kanan, sekejap ke kiri.

“Nasib baik kita muda lagikan ustaz”, kata haji Mokhdar yang sama-sama di dalam rombongan. “Kalau kita tua, mahu dah tercabut tulang-tulang ni”, sambungnya lagi. Saya hanya tersenyum, tak mampu nak meluahkan apa-apa perkataan.

Kami memasuki negeri Kampung Cham. Di negeri ini ada 16 daerah. Di negeri inilah ramai orang-orang Islam. Kami menuju daerah Kruchman. Di daerah ini ada 22 buah kampung. Malam ini kami akan singgah dan bertamu di kampong Chumnik. Kampung Chumnik antara kampong yang agak besar di daerah ini. Ia mempunyai 1652 keluarga. Terdapat 8 surau dan 1 masjid besar di kampong ini.

Di kampong, tidak ada sistem elektrik dan juga air dari kerajaan. Mana-mana kelurga yang mampu, mereka akan membeli generator untuk mendapatkan bekalan elektrik. Bekalan air di dapati dari sungai atau dari telaga yang digali. Bagi yang menggunakan air sungai, maka, airnya agak kotor, bagi yang menggunakan air telaga ia agak bersih.

Kami sampai di Chumnik lebih kurang pukul satu pagi, kami dihidangkan dengan makanan ala Melayu Cham. Tidak banyak beza dengan makanan Melayu di Malaysia.

Selesai makan, tuan rumah menyediakan bantal-bantal kecil pada kami. Kami membersihkan diri dan melabuhkan badan di lantai rumah papan ini. lega rasanya badan, yang lima jam dihanyak. Sebelum tidur, saya merenung atap rumah.

“Indahnya Islam”, bisik hati saya, kita ditautkan dengan iman, ukhwah dan akhlak. ke mana sahaja kita pergi, jika orang itu mempunyai ketiga-tiga perkara ini, sifat dan perangainya sama sahaja. Saya di sini ibarat sebuah keluarga, tidak ada rasa janggal dan tersisih. Semuanya meraikan kami dengan baik. Inilah yang diajarkan kepada kita sehingga Nabi menyatakan, “tidak sempurna iman kamu hinggalah kamu mengasihi saudara kamu seperti mana kamu mengasihi diri kamu sendiri”. Inilah dilakukan oleh Rasullullah. Baginda mempertautkan antara kaum Muhajirin dan Ansar, antara Aus dan Khazraj di Madinah dan antara Arab dan Ajam. Semuanya ibarat satu keluarga besar.

Berlakunya kekusutan masyarakat sekarang ialah apabila iman, ukhwan dan akhlak telah hilang. Masing-masing mementingkan diri dengan rasuah dan mengambil hak orang lain. Kadang-kala perkara kecil pun diambilnya, kertas pejabat, klip kertas pejabat, pen pejabat. Jika perkara kecil pun tidak amanah, apatah lagi pada yang lebih besar. Orang susah tidak dibela, anak yatim dibiarkan, orang yang berbuat kebaikan dianggap hina. Kadang-kala, waktu muda berebut jawatan di tempat kerja dengan mengaibkan orang lain, waktu pencen berebut jawatan nazir masjid atau surau, juga dengan mengaibkan orang lain. Aduhai.. Ya Allah,baikilah diri ini..

Oleh yang demikian, marilah kita kembalikan ajaran Nabi ini di dalam diri kita. kemudian kita panjangkan di peringkat keluarga, masyarakat, Negara dan ummah sekeliannya. Semoga sedikit ketaatan yang kita usahakan memadamkan kesusahan kita di akhirat. amin…

Kami sampai di Pnom Penh International Airport pada pukul 5.30 petang waktu tempatan.
Van penumpang yang dinaiki di atas bumbung. tambangnya separuh lebih murah dari yang duduk di dalam. Di negara-negara yang susah, kegunaan lebih diutamakan dari keselamatan.
Masjid Dubai, di Pnom Penh. Inilah satu-satunya masjid yang ada di Pnom Penh ini.
Kami bertamu di Kampung Chumnik. Sesampainya kami di sini, mereka telah menyediakan makan malam. Di sini tidak seperti di Malaysia. Di Malaysia kedai makan banyak di tepi-tepi jalan.

Kampung Chumnik

Suasana tenang di sini. Jalannya hanyalah tanah merah. Ia ibarat felda kita 20 tahun dahulu.
Tidak ada gas memasak. Semuanya dapur kayu
Jika mereka menggunkan air sungai, beginilah keadaan airnya. Jika mereka menggunkan air telaga, ia agak jernih.
Insyallah, kita akan kongsikan lagi perjalanan ini..



1 comment:

Hunny said...

Salam ustaz,

Agak2 berapa kilogram plak turun trip kali ni? Yelah.. Melambung2 duduk dalam van..:)

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...